PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Ban pecah, 3,000 penduduk Kampung RTB Bukit Changgang dilanda banjir

KUALA LANGAT: Lebih 3,000 penduduk di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang di sini terjejas selepas kediaman dan laluan utama di kawasan itu dilanda banjir susulan ban Sungai Langat pecah kelmarin.

Kejadian itu dilaporkan terjadi selepas sebuah ban dekat kunci air di kawasan berkenaan pecah kira-kira pukul 10.30 malam sebelum air melimpah masuk ke kawasan perkampungan tersebut.

Seorang penduduk, Mohd. Fadil Md. Safi, 41, berkata situasi banjir itu tidak dijangka dan dibimbangi bencana tersebut akan berlarutan lebih seminggu kerana ban pecah mencetuskan bah termenung.

“Kalau setakat hujan, tiada banjir akan tercetus walaupun semalam hampir seharian hujan dari tengah hari hingga ke malam. Tetapi, apabila disebabkan ban pecah memang air Sungai Langat melimpah dan menyebabkan rumah penduduk tenggelam.

“Mula-mula ia melimpah di kawasan ladang kelapa sawit. Kemudian sekitar pukul 3.30 pagi tadi ia mula masuk ke kawasan rumah. Pukul 6.30 pagi, rumah kami sudah tenggelam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sehingga pukul 11.30 pagi, jalan-jalan utama di perkampungan tersebut dilihat sudah pun digenangi air walaupun cuaca cerah ketika ini susulan limpahan air dari Sungai Langat yang berada pada paras amaran, 4.18 meter.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di sana, Noor Hazmir Muhamad, 47, memberitahu, penduduk berharap tiada kejadian air pasang besar kerana akan memburukkan lagi keadaan.

Katanya, bencana tersebut dikhuatiri akan mengganggu kira-kira 21,000 penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Langat di Bukit Changgang sekiranya ban pecah itu tidak dibaik pulih segera.

“Kita kesan ban pecah selepas pemantauan oleh JPKK malam tadi dan sudah pun memaklumkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk baik pulih. Namun, banjir mula melimpah ke kawasan kampung kira-kira dua jam kemudian.

“Itu yang ramai tak jangka boleh banjir, sebab ban pecah. Bagaimanapun, sekarang sedang berjalan projek naik taraf ban di kampung ini yang bernilai RM4 juta. Kita harap selepas itu tiada lagi kejadian sama berulang,” jelasnya.

Katanya lagi, kejadian banjir pernah berlaku pada 2012 akibat ban pecah, kemudian berulang pada 2022 yang menyebabkan hampir keseluruhan kawasan kampung tenggelam.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menasihatkan penduduk di kawasan terjejas seperti di kawasan tersebut dan Taman Langat Utama supaya berpindah susulan air naik sehingga satu meter. – UTUSAN

Program Kesedaran Keselamatan Sungai perkukuh kesedaran komuniti Mulu

MULU, 12 Jun: Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai di Kampung Kuala Melinau, Mulu menjadi platform penting dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap aspek keselamatan pengangkutan sungai serta pemeliharaan kebersihan alam sekitar.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, sungai di kawasan luar bandar bukan sekadar laluan pengangkutan, malah merupakan nadi kehidupan masyarakat yang merangkumi sumber ekonomi, makanan dan identiti setempat.

“Keselamatan dan kebersihan sungai tidak boleh dipandang ringan kerana ia merupakan nadi kehidupan masyarakat di kawasan pedalaman yang banyak bergantung kepada pengangkutan air,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penganjuran program seperti itu penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mematuhi aspek keselamatan ketika menggunakan pengangkutan sungai, selain memastikan kebersihan sungai sentiasa terpelihara.

Tambah beliau, pelbagai usaha berterusan telah dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak bersama Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) termasuk program pendidikan, penguatkuasaan serta kempen kesedaran bagi meningkatkan tahap pematuhan keselamatan dalam kalangan pengusaha bot dan pengguna.

Menurutnya, peningkatan bilangan pengusaha bot yang memiliki Permit Pengangkutan Sungai yang sah menunjukkan perkembangan positif terhadap tahap kesedaran keselamatan di negeri ini.

“Pemilikan permit yang sah bukan sahaja memenuhi keperluan undang-undang, tetapi juga mencerminkan komitmen pengusaha terhadap keselamatan penumpang,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan kepentingan penggunaan jaket keselamatan dalam setiap perjalanan sungai walaupun dalam jarak dekat, kerana risiko kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa diduga.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa kebersihan sungai perlu dipelihara bersama bagi mengelakkan pencemaran yang boleh memberi kesan kepada kesihatan awam, hidupan akuatik serta meningkatkan risiko banjir kilat.

“Amalan membuang sampah ke dalam sungai perlu dihentikan kerana ia bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah menjejaskan kelestarian ekosistem sungai untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau turut menyeru kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, pemimpin komuniti, pengusaha bot, sekolah dan penduduk kampung bagi memastikan keselamatan serta kebersihan sungai sentiasa terjamin.

Program tersebut turut melibatkan taklimat keselamatan dan demonstrasi penggunaan jaket keselamatan kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan Batu Bungan sebagai usaha menerapkan budaya keselamatan sejak usia muda.

Sementara itu, Mulu yang merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO terus menjadi destinasi pelancongan utama Sarawak dengan kehadiran ribuan pelawat setiap tahun, sekali gus menjadikan aspek keselamatan pengangkutan sungai sebagai elemen penting dalam mengekalkan reputasi kawasan tersebut. – TVS

DoE arrests factory owner, supervisor over Pasir Gudang orange smoke

JOHOR BAHRU:
 The Johor environment department (DoE) has arrested a factory owner and a supervisor at the Pasir Gudang industrial area following an orange smoke emission incident suspected to involve scheduled waste.

Johor DoE director Famey Yusoff said the two men, aged 34 and 41, were detained at about 8pm yesterday with assistance from the department’s Pasir Gudang branch.

Famey said a preliminary investigation found that the premises had failed to comply with scheduled waste management procedures and licensing conditions under Section 16 of the Environmental Quality Act 1974.

“A thorough investigation by the Prescribed Premises for Scheduled Waste Unit at the location confirmed a serious violation of environmental laws,” he said in a statement.

Famey said air quality monitoring was being carried out at nearby sensitive locations, including SMK Taman Pasir Putih and SMK Pasir Gudang 3, using a portable multigas analyser.

However, no hazardous gas parameters have been detected in the surrounding areas as of today.

He said the DoE would not compromise with industrial operators who fail to comply with scheduled waste management to the point of endangering public safety and the environment.

Strict legal action would be taken against any party found violating environmental laws.

Photos and videos of orange-coloured smoke rising over the industrial area had gone viral on social media earlier.

 

Bomba kesan gas metana, syor tapak projek lebuh raya di Lawas ditutup

LAWAS, 12 Jun: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mengesyorkan tapak pembinaan Lebuhraya Pesisir Utara (NCH) Sarawak di Lawas ditutup selepas mengesan gas metana mudah terbakar yang mencapai tahap risiko tinggi.

Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemantauan selama tiga hari oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas bersama Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Zon Bintulu mendapati bacaan had letupan bawah (LEL) meningkat kepada 100 peratus berhampiran lokasi pengesanan gas.

Menurut JBPM Sarawak, bacaan diambil menggunakan peralatan pengesan gas mudah alih berhampiran lubang yang mengeluarkan gas, manakala pemantauan dalam radius lima meter di sekitar kawasan mencatatkan bacaan LEL sifar peratus.

“Pasukan Hazmat mengesyorkan kawasan berkenaan ditutup dan pihak berkuasa tempatan memastikan tiada sebarang aktiviti dijalankan di lokasi itu bagi mengelakkan risiko keselamatan,” menurut kenyataan itu.

Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kimia turut dimaklumkan untuk pengesahan dan khidmat nasihat.

JBPM Sarawak memaklumkan BBP Lawas menerima panggilan pada 12.33 tengah hari Rabu mengenai penemuan gas yang keluar dari tanah di tapak pembinaan lebuh raya berkenaan.

Gas itu dikesan selepas kontraktor menjalankan kerja penggerudian pada kedalaman kira-kira 45 meter, dengan aliran gas dilaporkan masih aktif di permukaan.

NCH merupakan projek infrastruktur bernilai RM6.8 bilion yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak melalui Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA). – TVS

608 penduduk Long Bemang terjejas akibat banjir

Miri: Seramai 608 penduduk melibatkan 103 rumah di Kampung Long Bemang di sini terjejas akibat banjir susulan hujan berterusan yang melanda kawasan tersebut sejak petang semalam.

Menurut laporan Persatuan Bomba Sukarela Long Bemang, banjir mula berlaku pada jam 3.45 petang, 12 Jun lalu dan setakat jam 6.44 pagi tadi, paras air menunjukkan trend meningkat.

Keadaan cuaca yang masih mendung menimbulkan kebimbangan paras air akan terus naik sekiranya hujan berterusan.

Difahamkan, antara punca utama banjir ialah hujan tanpa henti sejak beberapa hari lalu selain kedudukan sebahagian rumah penduduk yang berhampiran dengan aliran sungai.

Walaupun banjir menjejaskan ratusan penduduk, sehingga kini tiada perpindahan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dilakukan dan penduduk masih berada di kediaman masing-masing.

Persatuan Bomba Sukarela Long Bemang bagaimanapun menasihatkan penduduk yang terjejas supaya sentiasa berwaspada, memantau perkembangan paras air serta bersedia untuk berpindah sekiranya keadaan menjadi lebih buruk.

Pihak berkaitan juga terus memantau situasi semasa bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin sepanjang tempoh banjir.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search