PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Banjir Sarawak: PPS Saratok ditutup, mangsa tinggal 33 orang

KUCHING, 25 Jan: Jumlah mangsa banjir di Sarawak kini menurun kepada 33 orang daripada 13 keluarga berbanding 123 orang daripada 34 keluarga sebelum ini dengan hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di Bahagian Bintulu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak dalam laporan terkininya memaklumkan PPS Dewan Rumah Dayak di daerah Saratok, Bahagian Betong, yang sebelum ini menempatkan mangsa dari Rumah Tembawai Kapok, Awik, telah ditutup pada pukul 3 petang tadi.

PPS tersebut telah dibuka sejak Ahad lalu bagi menempatkan 90 mangsa daripada 21 keluarga yang terjejas akibat banjir yang melanda rumah panjang berkenaan.

Namun, PPS Rumah Steven di daerah Tatau, Bintulu, masih aktif dan menempatkan 33 mangsa daripada 13 keluarga dari kawasan Sekolah Kebangsaan Kuala Muput sejak Khamis lepas. -TVS

Angka mangsa banjir Sarawak kekal 123 orang

KUCHING – Jumlah mangsa banjir di Sarawak kekal 123 orang daripada 34 keluarga pagi ini, dengan dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di bahagian-bahagian Betong dan Bintulu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak melaporkan setakat 8 pagi ini, PPS Dewan Rumah Dayak di daerah Saratok, Bahagian Betong masih menempatkan 90 mangsa daripada 21 keluarga yang terjejas akibat banjir di Rumah Tembawai Kapok, Awik.

Sementara itu, 33 mangsa daripada 13 keluarga dari kawasan Sekolah Kebangsaan Kuala Muput juga masih berlindung di PPS Rumah Steven di daerah Tatau, Bahagian Bintulu.

Pemantauan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menunjukkan paras air meningkat di 18 lokasi di daerah Selangau, Matu dan Sebauh. – BERNAMA

Amaran cuaca peringkat waspada di Sarawak

KUCHING, 25 Jan: Pejabat Meteorologi Sarawak mengeluarkan amaran cuaca peringkat waspada melibatkan sebahagian besar kawasan di Sarawak.

Pengarahnya Khairul Najib Ibrahim berkata, amaran tersebut dikeluarkan berikutan keadaan cuaca lembap dan hujan berterusan yang berpotensi menyebabkan risiko banjir di beberapa kawasan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka terhadap perkembangan semasa dan memantau sebarang amaran dikeluarkan pihak berkuasa

“Pihak MetMalaysia telah mengeluarkan amaran peringkat waspada pada 24 Januari 2025 yang melibatkan sebahagian besar kawasan Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Mukah, Betong, Bintulu dan Miri. Justeru itu, orang ramai dinasihatkan supaya peka dengan amaran yang dikeluarkan.” katanya ketika dihubungi TVS, pada Sabtu.

Di samping itu katanya, orang ramai hendaklah bersedia menghadapi risiko kejadian banjir dan mematuhi arahan pihak berkuasa serta pastikan segala maklumat yang diperoleh adalah dari sumber sahih dan elakkan menyebarkan berita yang diragukan terutama semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, analisis terhadap model ramalan cuaca menunjukkan Luruan Monsun dijangka memasuki rantau negara bermula 26 hingga 30 Januari 2025.

Katanya, cuaca sejuk dan lembap diramalkan semasa sambutan Tahun Baharu Cina 2025, dengan hujan berterusan dijangka melanda Sarawak dari 27 hingga 30 Januari.

Tambahnya, keadaan tersebut berpotensi menyebabkan hujan lebat dan berterusan di Sarawak dan Sabah, serta amaran angin kencang dan laut bergelora di perairan Laut China Selatan dalam tempoh sama.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa merujuk laman web rasmi www.met.gov.my, media sosial MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih. -TVS

Landslide renders part of Jalan Jiwa Murni impassable

BELAGA (Jan 25): A section of Jalan Jiwa Murni here became impassable after a landslide occurred Saturday morning.

The Fire and Rescue Department (Bomba) operations centre in a statement said they received a call regarding the landslide at 10.31am, and immediately deployed three personnel from the Belaga fire station to the location.

The Belaga Public Works Department (JKR) also despatched three of its personnel to check on the situation.

“When the rescue team arrived at the scene, the found the road had completely collapsed, cutting off access between Belaga town and Bintulu town. Members of the public managed to create a temporary path at the side of the road to allow a single car to pass,” it stated.

JKR Belaga informed they would try to construct an alternative route as soon as possible.

Bomba said it would report the incident to the Belaga Disaster Management Committee for further action.

After gathering information and ensuring the situation was under control, the operations team wrapped up operations.

No casualties were reported.

Kilang barangan kitar semula diceroboh, dirompak sebelum terbakar, selain disita JAS tahun lalu

SUNGAI PETANI: Kilang barangan kitar semula yang musnah dalam kebakaran di Taman Ria, awal pagi tadi pernah disita Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah tahun lalu.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata premis itu disita dalam operasi yang turut disertai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad kerana disyaki menjalankan aktiviti pemerolehan kembali buangan terjadual secara haram buangan e-waste.

Beliau berkata, premis itu disiasat mengikut Seksyen 18(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana menjadi kemudahan penstoran luar buangan terjadual dan menjalankan aktiviti pemerolehan kembali luar tapak tanpa mendapat sebarang lesen daripada JAS.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 34A (6), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana menjalankan aktiviti pemerolehan kembali luar tapak tanpa Kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

"Selain itu, kilang itu juga disiasat mengikut Seksyen 34B (1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana menempatkan buangan terjadual tanpa terlebih dahulu mendapat apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekeliling," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sharifah Zakiah berkata, JAS Kedah menerima pemakluman kejadian kebakaran premis kitar semula daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani yang disalurkan menerusi JAS Cawangan Sungai Petani.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan premis terbabit yang menyimpan buangan terjadual itu terbakar pada awal pagi dan kerja-kerja pemadaman sedang dijalankan.

"Berdasarkan maklumat lanjut, premis itu diceroboh dan dirompak malam tadi dan berkemungkinan untuk tujuan mendapatkan logam dan barangan lusuh.

"Premis kemudiannya didapati terbakar pada awal pagi dan satu laporan polis dibuat oleh pemilik premis berikutan kejadian terbabit," katanya.

Sharifah Zakiah berkata, JAS Kedah juga turut membuat laporan polis berkaitan kes pencerobohan, kecurian dan kebakaran terbabit.

"Punca kebakaran masih disiasat oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah," katanya.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search