PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Arab Saudi dijangka dilanda hujan lebat, ribut petir

RIYADH: Pihak berkuasa meteorologi Arab Saudi mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir yang dijangka melanda hampir keseluruhan negara sehingga Isnin ini.

Keadaan cuaca buruk itu diramalkan memberi kesan besar kepada kehidupan harian penduduk, dengan kawasan rendah dan lembah terdedah kepada risiko banjir kilat.

Menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM), keadaan cuaca berawan bermula pada 23 Januari dengan hujan sederhana hingga lebat di kawasan selatan dan barat laut negara.

Semalam, hujan lebat melanda kawasan utara dan selatan, manakala hujan lebat turut dijangka berlaku di ibu negara, Riyadh, pada hujung minggu.

"Hujan lebat dijangka di kebanyakan wilayah, termasuk Makkah, Riyadh, Al-Baha, Asir, Jazan, Qassim, Hail, dan Wilayah Timur. Angin kencang dan ribut petir dijangka diikuti dengan hujan," kata jurucakap NCM dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Pertahanan Awam mengeluarkan amaran keselamatan kepada semua penduduk, meminta mereka untuk menjauhkan diri daripada kawasan rendah dan lembah yang terdedah kepada banjir kilat.

"Elakkan daripada berada di kawasan lembah semasa hujan lebat, dan jauhkan diri daripada air bertakung yang boleh menjadi perangkap maut," katanya.

Bagi kawasan seperti Madinah, hujan ringan hingga sederhana dijangka berlaku, manakala Najran dan Tabuk mungkin hanya menerima hujan renyai. Angin kencang yang membawa debu juga dijangka melanda beberapa kawasan, menyebabkan jarak penglihatan berkurangan secara ketara.

Cuaca buruk itu berlaku ketika persiapan untuk bulan Ramadan dan musim haji sedang giat dijalankan.

Dalam usaha memastikan keselamatan jemaah, NCM melancarkan latihan bagi kakitangan Presiden Urusan Keagamaan di Dua Masjid Suci.

Latihan ini bertujuan untuk meningkatkan kesiapsiagaan terhadap kesan cuaca melampau yang mungkin berlaku semasa musim haji.

"Kami mahu memastikan bahawa semua pihak, termasuk jemaah, dapat menghadapi sebarang kemungkinan cuaca buruk dengan lebih baik," kata Dr Khaled Al-Zahrani, seorang pegawai kanan NCM.

Selain itu, penduduk juga digalakkan untuk sentiasa memantau perkembangan cuaca terkini melalui aplikasi rasmi NCM dan saluran komunikasi Pertahanan Awam. - AGENSI

Bangunan 3 tingkat runtuh di Turkiye

ISTANBUL: Sebuah bangunan tiga tingkat di wilayah tengah Konya, Turkiye, runtuh semalam menyebabkan operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran dilancarkan, lapor Agensi Anadolu (AA).

Kejadian itu berlaku di Daerah Selcuklu, yang mana saksi segera melaporkan insiden berkenaan kepada pihak berkuasa, lantas Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD), polis, serta perkhidmatan kecemasan bergegas ke lokasi.

Operasi mencari dan menyelamat dimulakan selepas laporan menunjukkan terdapat mangsa yang mungkin terperangkap di bawah runtuhan. Pihak berkuasa menggesa orang ramai yang berada di lokasi supaya kekal senyap bagi memudahkan usaha menyelamat.

Selepas lima jam operasi, dua mangsa berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans.

Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya mengesahkan pasukan respons terdiri daripada 99 anggota dan 27 kenderaan daripada Pengarah AFAD, bersama 120 anggota bomba, polis, dan pasukan perubatan.

 

"Pusat Panggilan Kecemasan 112 menerima panggilan pada pukul 8.05 malam (1705GMT) dan pasukan AFAD tiba di lokasi pada 8.15 malam (1715GMT)," tulis Yerlikaya di X.

Beliau turut memaklumkan pasukan tambahan dari wilayah berhampiran termasuk Ankara, Eskisehir, Antalya, dan Mersin telah dihantar ke lokasi.

Yerlikaya memberitahu wartawan bahawa tiga mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan dan sekurang-kurangnya seorang mangsa telah dikenal pasti masih hidup.

AFAD mengesahkan penghantaran 200 anggota termasuk pasukan penyelamat, polis, bomba, dan unit perubatan dengan bantuan tambahan dari wilayah berdekatan. "Kami memantau perkembangan secara dekat," kata kenyataan itu.

Datuk Bandar Konya, Ugur Ibrahim Altay memaklumkan bangunan itu mempunyai lesen tetapi tidak termasuk dalam projek pembaharuan bandar.

"Bangunan ini mengandungi 14 unit apartmen, namun 12 daripadanya dilaporkan kosong. Operasi mencari dan menyelamat sedang diteruskan. Kami berharap untuk berita baik dan memohon doa," tulis Altay di X.

Naib Presiden Turkiye, Cevdet Yilmaz, yang berada di Konya untuk mesyuarat melawat lokasi kejadian dan menegaskan keutamaan adalah menyelamatkan nyawa.

"Matlamat utama kami adalah menyelamatkan nyawa. Semua sumber yang diperlukan telah dikerahkan," katanya.

Muhammed Veli Kahya, 22, menceritakan detik-detik cemas sebelum bangunan itu runtuh.

"Isteri saya menelefon, mengatakan bangunan bergoncang. Saya bergegas pulang dan membantu jiran keluar. Sebaik saya melangkah keluar, bangunan itu runtuh di depan mata saya," katanya. – BERNAMA-AA

 

Selepas api marak, hujan lebat pula ancam LA

LOS ANGELES - Sejak beberapa hari lalu, enam kebakaran baharu direkodkan di sejumlah daerah Los Angeles (LA) dan sebahagian besarnya berlaku di California Selatan.

Enam titik panas itu dinamakan sebagai Laguna, Sepulveda, Gibbel, Gilman, Border 2 dan Hughes Fire selepas dua kebakaran besar Palisades serta Eaton Fire mengakibatkan kemusnahan dahsyat termasuk membinasakan lebih 14,000 struktur sejak awal bulan lalu.

Ketika usaha mengawal api sedang dipergiatkan, LA diramalkan bakal berdepan malapetaka baharu pada akhir minggu ini.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan memaklumkan, hujan lebat dibawa ribut musim sejuk dijangka melanda California Selatan dan dikhuatiri mencetuskan banjir kilat, sekali gus mengakibatkan bencana berganda setelah LA tidak mengalami hujan selama kira-kira lapan bulan.

Sebagai persediaan awal, kru telah mendirikan sekatan di kawasan berbukit bagi mengelakkan aliran lumpur dan sisa kebakaran yang mungkin dibawa hujan lebat tersebut memandangkan penduduk sudah mula kembali ke kawasan Pasific Palisades dan Altadena.

Selain itu, amaran pemantauan banjir juga telah dikeluarkan di kawasan terjejas kebakaran dan titik panas yang masih aktif.

Pada Jumaat, Presiden Donald Trump turut mengadakan kunjungan ke zon bencana kebakaran di California dan bertemu pemimpin komuniti termasuk Datuk Bandar LA, Karen Bass.

Ketika pertemuan itu, Trump berjanji untuk menandatangani perintah eksekutif yang akan mengepam air dari bahagian utara ke selatan selepas beliau mengkritik pengendalian bekalan tersebut hingga menjejaskan usaha mengawal api. - Agensi

Kerugian akibat kebakaran hutan di California dianggar lebih AS$250 bilion

NEW YORK – Kebakaran hutan yang masih ‘menyeksa’ California Selatan dianggarkan mengalami kerugian ekonomi kepada lebih AS$250 billion.

Jumlah itu menjadikannya salah satu bencana alam paling mahal dalam sejarah Amerika Syarikat.

“AccuWeather dan JP Morgan meletakkan anggaran awal kerosakan sebanyak AS$50 bilion dolar, tetapi jumlah yang dijangkakan dengan cepat meningkat kepada lebih tiga kali ganda jumlah itu apabila kebakaran terus merebak melalui kawasan kejiranan di Altadena, Pacific Palisades dan Malibu,” lapor Los Angeles Times.

Dalam tempoh dua hari ini, beratus-ratus anggota bomba bertempur dengan pelbagai kebakaran di bukit sekitar Los Angeles dan daerah Ventura, termasuk kebakaran besar-besaran berhampiran Castaic.

Kebakaran awal pagi Khamis di Sepulveda Pass telh mengancam komuniti Brentwood dan Bel-Air. , dan satu lagi yang masuk ke tanah ladang Ventura County,

Anggaran terkini daripada perkhidmatan ramalan cuaca AccuWeather meletakkan jumlah jangkaan kerosakan dan kerugian ekonomi kepada antara AS$250 bilion dan AS$275 bilion.

Itu termasuk kos kerosakan, kehilangan nyawa, penjagaan kesihatan, gangguan perniagaan dan kesan ekonomi yang lain. – Agensi

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search