PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Menangis tengok 'homestay' ranap

Sekinchan: Pengusaha inap desa hanya mampu menangis apabila dua kediaman yang dijadikan 'homestay' di Kampung Parit Empat, di sini, musnah dilanda ribut, hari ini.

Norizan Mahari, 56, berkata, tiada apa mampu dilakukan apabila perniagaan yang diusahakan sejak empat tahun lalu terjejas dalam kejadian ribut itu.

"Saya dah ambil tempahan pelanggan sempena Aidilfitri ini. Tak tahu nak cakap apa kerana dua unit 'homestay' dan satu 'roomstay' rosak teruk terutamanya di bahagian bumbung.

"Walaupun kerugian hampir RM 8,000, saya reda kerana ini dugaan dari Allah SWT," katanya ketika ditemui, di sini.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, lapan kediaman di kampung itu musnah, namun tiada mangsa dilaporkan terbabit.

Seorang lagi mangsa, Azman Mastol, 58, berkata dia yang berada di rumah anak keduanya di Putrajaya mengetahui bencana itu selepas dihubungi jiran.

"Menjadi kebiasaan saya dan isteri duduk di rumah anak pada minggu pertama Ramadan dan kami bergegas pulang sebaik mengetahui berita itu.

"Sebaik tiba di rumah, perasaan sedih tidak terkata apabila melihat bumbung tercabut selain perabot dan barang elektrik rosak sepenuhnya," katanya.

Azman yang juga peniaga makanan berkata, dia terpaksa menanggung kerugian hampir RM 120,000.

"Rumah ini berusia 38 tahun dan warisan daripada ibu bapa saya. Boleh dikatakan setiap kali Aidilfitri, adik-beradik dan anak-anak akan berkumpul.

"Buat masa ini, berkemungkinan saya akan tinggal sementara di rumah anak kedua sambil memikirkan bagaimana untuk mencari sumber bagi membaiki rumah," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang, Nurul Syazwani Noh dan Adun Sungai Burong, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin turut melawat mangsa terjejas dan meluangkan masa selama kira-kira satu jam di lokasi kejadian.

Nurul Syazwani berkata, beliau meminta pihak berkaitan khususnya Kerajaan Selangor supaya membantu mangsa dengan kadar segera.

‘Fobia puting beliung sampai nyorok dalam almari’

PETALING JAYA – “Rumah pernah runtuh sebab puting beliung. Sampai masuk dalam almari bila angin kuat, fobia,” cerita seorang pengguna TikTok tokna_alina mengimbas kejadian puting beliung di kampungnya di Parit 4, Sekinchan, Selangor.

Wanita itu berkongsi kisah zaman kanak-kanaknya susulan kejadian sama ribut dan puting beliung berlaku pagi tadi di Jalan Ban Lesen Parit 4, Sekinchan.

“Teringat dulu masa kecil selalu ada puting beliung ni, sehingga fobia kami. Sawah di Tanjong Karang dan Sekinchan luas terbang, sebab itu mungkin angin kuat.

“Angin dari laut berhampiran, moga baik-baik sahaja,” katanya menerusi kapsyen video yang dikongsikan.

Katanya, puting beliung yang berlaku pada pagi tadi tidak melibatkan rumahnya.

“Alhamdulillah, rumah kami tak kena. Kasihan pada mangsa yang terkesan,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, beberapa penduduk ‘kehilangan’ bumbung rumah mereka selepas ditiup puting beliung dalam kejadian di Parit 4, Sekinchan, Selangor, hari ini.

Kejadian itu turut tular selepas video yang dirakam penduduk dikongsi di media sosial, selain beberapa gambar menunjukkan kerosakan pada kediaman mereka.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata, lapan rumah musnah susulan kejadian berkenaan dan seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pukul 7.48 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE

 

Ribut seperti filem, kenang nasib sambut Aidilfitri

SABAK BERNAM – Kedatangan Ramadan kali ini memberi dugaan besar kepada seorang peniaga gerai makanan apabila rumahnya musnah dibadai ribut dalam kejadian di Ban 4, Sekinchan di sini hari ini.

Azman Mastol, 58, antara tujuh ketua keluarga yang terjejas susulan ribut selama dua jam bermula kira-kira pukul 7.15 pagi yang memusnahkan lapan buah rumah keseluruhan.

Menurut Azman, semasa kejadian dia berada di rumah anaknya di Putrajaya sebelum dimaklumkan insiden tersebut oleh jirannya.

Katanya, ini merupakan kali pertama kejadian seumpamanya yang berlaku sehingga memusnahkan rumah pusakanya itu.

“Saya tiba kira-kira pukul 11 pagi dan dapati bumbung dapur dan depan hilang.

“Kebetulan hujan lebat masa ribut tersebut telah menyebabkan rumah ditakungi air pada paras buku lali. Banyak peralatan elektrik rosak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Bapa kepada tiga anak itu menganggarkan kerugian mencecah RM120, 000 selain mengakui runsing melihat keadaan rumah itu terutama bagi sambutan Aidilfitri nanti.

“Biasanya sambut di sini bersama isteri, anak, menantu dan dua cucu. Tahun ini, tengoklah bagaimana kalau tidak dapat siap terpaksa beraya di rumah anak,” jelasnya.

Bagi G. Rani, 40, bersyukur apabila anak perempuannya berusia empat tahun tidak dibawa bersama dalam pusaran angin yang memusnahkan bahagian atas rumahnya.

“Saya sempat membawa turun anak. Kalau lewat mungkin termasuk dalam pusaran. Bahagian atas rumah memang ‘total lost’.

“Sangat menakutkan dan sepanjang tempoh ribut itu hanya mampu berdoa bersama lima lagi ahli keluarga saya,” ujarnya.

Sementara itu, seorang mekanik, V. Murugaya, 39, keadaan ketika itu tidak ubah seperti filem termasuk berlaku percikan api dari tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Semasa kejadian saya baharu hendak mandi sebelum bumbung tercabut. Saya cuma fikir keselamatan keluarga sahaja dan masa kejadian tidak tahu hendak lari mana,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, fenomena alam tersebut berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi dengan anggota bomba yang tiba kemudiannya mendapati ada rumah sedang dilanda ribut.

“Sebanyak lapan buah rumah musnah melibatkan 36 mangsa ada antara mereka kini tinggal di rumah saudara mara.

“Semua agensi turut hadir termasuk TNB memotong bekalan elektrik bagi mengelakkan arus di kawasan rumah terjejas,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Toddler, elderly among those rescued in Melaka flash flood

MELAKA: A one-year-old toddler and an 85-year-old grandmother were among several people rescued from their homes after flash floods struck various parts of the state.

Heavy rainfall since the early hours of Thursday (March 6) led to severe flooding across two districts, submerging multiple areas.

The baby boy and his 41-year-old mother were rescued from their home at Lorong Pandan in Taman Kesidang, while the elderly woman was rushed to Melaka Hospital from her residence in Semabok, here.

A Melaka Fire and Rescue Department spokesperson reported that a couple in their 50s was also rescued from their home in Pengkalan Rama Pantai on Thursday morning.

 

"We also rescued a 58-year-old man from Merlimau," the spokesperson added.

Meanwhile, the Melaka Civil Defence Force confirmed that evacuation centres have been established at SMK Dang Wangi Anum in Jasin district, SJK(C) Malim and SK Seri Duyong in Melaka Tengah district. Evacuee registration is currently underway.

Jalan Ong Kim Wee, Kampung Pengkalan Rama Pantai, Banda Kaba, Taman Desa Duyong, Jalan Munshi Abdullah, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) in Cheng, and Kampung Chetti were among the affected areas.

In Jasin, Kampung Kilang Berapi has also been inundated due to continuous heavy rainfall.

 

Berpuluh rumah di Sekinchan ranap akibat kejadian puting beliung

SEKINCHAN: Berpuluh rumah penduduk sekitar ban 1 dan ban 2, Parit 4 di sini, mengalami kerosakan teruk susulan kejadian puting beliung awal pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 7.30 pagi itu, kejadian angin kencang berputar itu menerbangkan atap dan bumbung kediaman penduduk rata-ratanya di kawasan sawah bendang.

Bencana ketika hujan lebat itu turut meranapkan deretan kedai, rumah inap desa dan bengkel jentera penanaman padi.

Berdasarkan video yang tular, angin puting beliung itu dilihat menerbangkan bumbung kediaman penduduk setinggi lebih 50 meter ke udara.

 
 
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search