Barangan IKS diutamakan bantu mangsa banjir
- Admin UKK
- Berita
SUBANG JAYA: Kerajaan mengutamakan penggunaan barangan keluaran industri kecil dan sederhana (IKS) dalam pengurusan bantuan bencana khususnya bagi persiapan menghadapi Monsun Timur Laut yang akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata, langkah itu telah diarahkan supaya barangan IKS digunakan dalam pengagihan bantuan kepada mangsa dengan penyelarasan dilakukan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Saya telah mengarahkan agar barangan yang akan diedarkan ketika Monsun Timur Laut nanti adalah barangan IKS yang akan dikoordinasikan oleh NADMA sendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pelancaran Kempen Mega Rahmah Ramadan dan Kasih Syawal di Mydin Hypermarket, hari ini.
Semasa berucap dalam program itu, Ahmad Zahid bersetuju produk tempatan diberikan keutamaan dan dibiayai melalui Nadma dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu mangsa banjir.
“Kalau kita tidak membantu usahawan kecil dan tempatan khususnya pengeluar produk halal, siapa lagi?” soalnya.
Ahmad Zahid turut memuji pencapaian produk halal keluaran Malaysia yang mendapat sambutan memberangsangkan di peringkat antarabangsa termasuk dalam kalangan negara bukan Islam.
Katanya, produk tempatan berjaya mencatatkan jualan melebihi RM3 bilion dalam tempoh tiga hari hasil promosi dan pameran seperti Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) dan program pemasaran di Dubai dan Shanghai.
“Ini menunjukkan kepercayaan tinggi terhadap produk keluaran usahawan kita dan ia sangat membanggakan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa usahawan mikro, kecil dan sederhana supaya mempelbagaikan jenis produk yang dihasilkan dan tidak hanya tertumpu kepada sektor makanan dan minuman.
“Tumpuan kita banyak kepada makanan dan minum sahaja, sebenarnya banyak lagi produk lain yang boleh kita pasarkan dan jadikan sandaran harapan,” katanya. – UTUSAN
