Hutan Paya Gelam, Pagoh seluas 54 hektar pula terbakar
- Admin UKK
- Berita
MUAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) mengesan satu lagi kebakaran semalam membabitkan kawasan hutan Paya Gelam, Mukim Jorak, Pagoh seluas kira-kira 54 hektar.
Kebakaran itu berlaku ketika operasi pemadaman di kawasan seluas 114 hektar milik Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) di Batu 13/14, Air Itam, di sini masih diteruskan.
Ketua Zon 4 JBPM Johor, Norshuhada Amsari, berkata kebakaran tanah gambut itu dikesan selepas anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh melakukan rondaan pemantauan sebelum ternampak kepulan asap ke udara.
Katanya, lokasi baharu itu juga hanya terletak kira-kira satu kilometer dari kawasan sektor D yang kini sedang terbakar namun pihaknya berdepan kekangan susulan tiada akses kerana terdapat anak sungai.
"Justeru, kami terpaksa keluar semula dari lokasi ini (sektor D) untuk ke sana (Paya Gelam). Lokasi kebakaran terbaru mengambil masa 45 minit perjalanan dari Balai Bomba Pagoh.
"Seperti mana arahan dikeluarkan sebelum ini, semua balai dalam kawasan saya diminta membuat pemantauan mana-mana lokasi yang ternampak asap. Jadi semalam, ada anggota balai membuat pemantauan sebelum mengesan kebakaran itu," katanya ketika dihubungi.
Norshuhada berkata, operasi pemadaman kebakaran hutan Paya Gelam sudah bermula hari ini yang mana membabitkan sebahagian daripada anggota bertugas di ladang milik PPNJ.
"Kita terpaksa mengerahkan separuh anggota yang bertugas di ladang ini, memandangkan kekuatan yang ada terhad," katanya.
Sementara itu, mengenai kebakaran di sektor D, Norshuhada berkata, operasi pemadaman menunjukkan impak positif dengan sebahagian besar daripadanya sudah berjaya dipadamkan.
Katanya, ketika ini anggota bertugas meneruskan operasi pemadaman bagi memastikan api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
"Sehingga semalam, sebanyak 38 daripada 110 hektar kawasan tanah gambut ladang PPNJ berjaya dipadamkan sepenuhnya.
"Operasi memadam kebakaran sudah memasuki hari kesembilan membabitkan empat sektor iaitu sektor A seluas 10 hektar, sektor B (empat hektar), sektor C (lapan hektar) manakala sektor D (88 hektar).
"Bagi sektor D yang ditutup memandangkan berlaku dua letupan, helikopter jenis Agusta AW139 (9M-BOD) digunakan untuk operasi pengeboman air.
"Semalam, sebanyak 40 jatuhan air dilakukan melalui pemadaman udara dengan keseluruhannya 32,000 liter. Alhamdulillah kami nampak ada perubahan memandang hujan mula membasahi lokasi kebakaran awal pagi tadi," katanya.
