Tanah runtuh di lereng bukit Kampung Tarahad, Bekenu
- Admin UKK
- Berita
BEKENU, 8 Jan: Hujan berterusan menyebabkan kejadian tanah runtuh di lereng bukit setinggi kira-kira 40 kaki berhampiran jalan utama menuju Kampung Tarahad di sini, hari ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah yang diketuai PBK II Mohd. Khaider telah dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 9.59 pagi.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati tanah runtuh telah mengakibatkan pokok tumbang dan menimpa kabel elektrik, sekali gus menjejaskan laluan utama ke kampung tersebut.
“Pasukan Keluaran Operasi segera menjalankan penilaian dan bekerjasama rapat dengan pihak Sesco serta Majlis Bandaraya Miri bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan pemotongan kabel yang terjejas,” kata kenyataan itu.
Operasi pembersihan dilaksanakan sehingga keadaan disahkan selamat. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini.
Operasi melibatkan enam anggota bomba bersama sebuah jentera FRT serta kekuatan enam anggota dari Sesco Sarawak dan enam anggota dari MBM. – TVS
