SMK Bekenu akan laksana ‘pelan B’ jika banjir berlanjutan
- Admin UKK
- Berita
BEKENU, 8 Jan: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bekenu akan melaksanakan pelan alternatif bagi memastikan sesi persekolahan awal tahun 2026 tidak terganggu, walaupun sebahagian kelas digunakan sebagai pusat pemindahan sementara akibat banjir.
Menurut Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Bekenu Hartini Drahman, pihak sekolah telah menetapkan hari pendaftaran pada 10 Januari di kelas masing-masing.
Kata Hartini lagi, sekiranya kelas-kelas tersebut masih digunakan untuk menempatkan mangsa banjir, pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga akan mendaftar di dewan sekolah.
“Kalau sebelum ini, pelajar Tingkatan Satu sahaja yang akan mendaftar di Dewan Unimas (Dewan Sekolah) tapi kami akan kumpulkan Tingkatan 1 sampai Tingkatan 3 di sana. Sementara yang Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 di kelas masing-masing bersama guru kelas.
“Sekolah akan bermula pada hari Isnin, 12 Januari ini, namun kalau kelas-kelas masih digunakan untuk penempatan mangsa banjir, Tingkatan Satu hingga Tiga akan kami laksanakan PDPR, iaitu belajar dari rumah. Kami telah merancang apa aktiviti yang sepatutnya dilaksanakan untuk PDPR tersebut. Manakala Tingkatan Empat dan Lima akan terus hadir ke sekolah seperti biasa,” katanya kepada TVS hari ini.
Beliau berharap keadaan banjir dapat pulih segera agar sesi persekolahan tahun baharu 2026 dapat dimulakan dengan lancar dan teratur.
SMK Bekenu dijadikan sebagai PPS mangsa banjir bermula 4 Januari lepas untuk menempatkan mangsa dari sembilan buah kampung berdekatan di daerah tersebut. – TVS
