PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Individu, NGO perlu hubungi PKOB untuk salur bantuan

Individu, NGO perlu hubungi PKOB untuk salur bantuan

Kuala Lumpur: Semua pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu perlu berhubung dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri atau daerah sebelum menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir pada musim Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Meor Ismail Meor Akim, berkata ia susulan rungutan diterima daripada NGO dan individu yang tampil memberikan bantuan barangan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka dan diselaraskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“NADMA dan seluruh jentera kerajaan amat berterima kasih dan menghargai keprihatinan semua pihak dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa.

“Bagaimanapun, semua bentuk sumbangan yang diterima perlu diselaraskan terlebih dahulu pada peringkat sekretariat sebelum diedarkan ke kawasan terjejas banjir,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Elak lambakan

Jelas beliau, tindakan itu penting supaya semua sumbangan yang diterima bersesuaian dengan keperluan di lapangan dalam jumlah yang mencukupi.

Meor Ismail berkata, ia juga bagi mengelakkan berlaku lambakan serta pembaziran sumber yang akhirnya akan merugikan tenaga kerja serta berlaku kerosakan atau pertindihan barang bantuan.

NADMA dan seluruh jentera kerajaan amat berterima kasih dan menghargai keprihatinan semua pihak dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa

Meor Ismail Meor Akim, Ketua Pengarah NADMA

“Semua pihak yang ingin memberikan sumbangan sepanjang musim MTL perlu berhubung dengan PKOB negeri atau daerah berkaitan bagi mendapatkan maklumat keperluan mangsa bencana dan lokasi sebenar sebelum mengatur pergerakan penyampaian sumbangan.

“Tindakan ini amat penting kepada PKOB untuk merekod jenis barangan dan jumlah bantuan daripada penyumbang luar supaya memudahkan koordinasi penyaluran bantuan dari satu saluran,” katanya.

Meor Ismail memaklumkan bahawa kerajaan sentiasa komited memastikan setiap tindak balas dilaksanakan secara teratur dan menyeluruh dalam pengurusan bencana supaya keselamatan dan kebajikan mangsa bencana sentiasa terjaga.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search