Mangsa bah di 10 negeri berkurangan
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir di 10 negeri terus menunjukkan penurunan apabila setakat jam 6 petang semalam, seramai 22,983 mangsa daripada 7,300 keluarga direkodkan.
Menurut portal Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kelantan terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 9,564 orang yang kini ditempatkan di 40 pusat pemindahan sementara (PPS).
Daerah yang terjejas termasuk Tumpat, Bachok, Kota Bharu dan Pasir Puteh, membabitkan 3,530 keluarga.
Dalam pada itu, Perak menjadi negeri kedua paling terjejas dengan 3,092 mangsa yang berlindung di 35 PPS di Perak Tengah, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk, Hilir Perak, Muallim, Larut, Matang dan Selama, Batang Padang serta Kuala Kangsar.
Selangor pula merekodkan 2,729 mangsa daripada 751 keluarga yang berlindung di 20 PPS di Kuala Selangor, Shah Alam, Klang, Sabak Bernam, Hulu Langat, Sepang dan Hulu Selangor.
Di Kedah, jumlah mangsa setakat ini adalah seramai 1,503 orang membabitkan 481 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS di Kubang Pasu.
Pada masa sama, Perlis mencatatkan seramai 5,966 mangsa daripada 1,516 keluarga dan ditempatkan di PPS di Kangar, Padang Besar dan Arau.
Di Terengganu, merekodkan 19 mangsa yang dipindahkan ke satu PPS di daerah Marang, manakala Pulau Pinang mencatatkan 50 mangsa di satu PPS di Seberang Perai Tengah.
Bagi negeri terbaharu yang dilanda banjir semalam, jumlah mangsa yang dilaporkan di Pahang adalah seramai 42 orang daripada 19 keluarga dan ditempatkan di dua PPS iaitu di Raub serta Lipis.
3 mangsa di PPS
Seterusnya, Kuala Lumpur pula hanya merekodkan tiga mangsa membabitkan tiga keluarga dan ditempatkan di satu PPS di daerah Brickfields.
Keadaan banjir di Sarawak pula dilaporkan seramai 32 mangsa dengan satu PPS dibuka bagi menempatkan tujuh keluarga di daerah Miri.
Sementara itu, BERNAMA melaporkan beberapa kawasan rendah di sepanjang Sungai Golok membabitkan jajahan Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli diramal dilanda banjir mulai jam 6 petang semalam hingga 11 malam 27 November berikutan hujan berterusan serta peningkatan paras air sungai.
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran menerusi kenyataan semalam, memaklumkan ramalan itu dibuat susulan Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) dikeluarkan Jabatan Meteorologi serta status paras air
Sungai Golok yang dijangka melepasi aras bahaya.
Menurut kenyataan itu, kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer di sekitar Sungai Golok, Pasir Mas dijangka terjejas antaranya meliputi Alor Gajah, Kubang Binjai, Kubang Dapat, Kubang Hakim, Kubang Keroh, Kubang Pak Hitam, Lubok Kawah, Meranti, Senor, Kampung Siram, Kampung Bukit Lata dan Kampung Banggol Kong.
Lokasi dijangka banjir termasuk Rantau Panjang, antaranya meliputi Kampung Tersang, Kampung Lachang, Kampung Gual To’deh, Kampung Mak Ribi Jemerak Perol dan Pekan Rantau Panjang.
