Kerajaan bimbang situasi bah walau sudah laksana mitigasi
- Admin UKK
- Berita
Nairobi: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata banjir yang menenggelamkan banyak kawasan di Malaysia mencetuskan kebimbangan serius ketika kerajaan sudah membelanjakan peruntukan yang besar untuk kerja-kerja mitigasi.
Perdana Menteri berkata, beliau sentiasa memantau perkembangan banjir di tanah air dan menerima laporan berkala mengenai situasi itu ketika berada dalam lawatan ke Afrika bagi menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Johannesburg serta persinggahan di Addis Ababa, Ethiopia dan Nairobi, Kenya.
“Saya memang memantau… dua kali sehari. Kita sudah mengarahkan semua agensi, termasuk NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) untuk melakukan yang maksimum… apa sahaja yang perlu bagi meringankan beban mangsa banjir,” katanya.
Anwar berkata, keadaan banjir itu amat membimbangkan kerana kerajaan sudah menyalurkan sejumlah besar dana bagi projek mitigasi banjir.
Beliau berkata, sebelum ini, kerja mitigasi banjir mengambil masa untuk disiapkan disebabkan isu seperti pengambilan tanah, kontrak dan urusan tender. Namun kini, katanya, sebahagian besar kerja berkenaan sedang berjalan.
“Sebagai contoh, di beberapa kawasan di Kelantan di mana projek mitigasi banjir sudah disiapkan, kita dapat lihat pengurangan ketara dari segi impak dan kerugian,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan kini memberi tumpuan kepada pelaksanaan langkah segera bagi membantu mangsa.
Perdana Menteri berkata beliau dimaklumkan keadaan masih berubah-ubah dengan beberapa pusat pemindahan sementara ditutup dan pada masa sama pusat lain dibuka.
“Bahagian yang membimbangkan ialah jumlah mangsa yang terjejas terlalu ramai,” katanya.
Ditanya mengenai tahap kesiapsiagaan pasukan pengurusan bencana, Anwar berkata, pelbagai agensi sudah menjalankan tugas dengan baik dalam membantu mangsa banjir.
“Kita boleh bandingkan dengan banyak negara lain. Kita sebenarnya cukup bersedia.
“Mesyuarat diadakan beberapa bulan sebelum ini, dipengerusikan oleh Datuk Seri (Dr Ahmad) Zahid (Hamidi), dan kita menerima laporan mingguan… bahkan sebelum saya berlepas,” katanya, merujuk kepada Ahmad Zahid yang juga Pengerusi NADMA.
Anwar berkata, pihak berkuasa sudah menjangkakan hujan bakal menjejaskan kawasan tertentu dan NADMA mengambil langkah membuka pusat pemindahan lebih awal.
PM dimaklum situasi banjir
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, Perdana Menteri sudah dimaklumkan mengenai perkembangan terkini situasi banjir Monsun Timur Laut (MTL) yang menjejaskan beberapa negeri sejurus tiba di tanah air selepas lapan hari mengadakan lawatan rasmi ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya.
Katanya, beliau sempat memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri selain hal berkaitan perkhidmatan awam.
“Alhamdulillah, YAB Perdana Menteri selamat tiba di tanah air setelah lapan hari bermusafir membawa agenda besar negara ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya.
“Dalam kesempatan yang singkat, saya sempat memaklumkan perkembangan terkini berhubung situasi semasa musibah banjir MTL yang sedang melanda beberapa negeri dan hal-hal berkaitan perkhidmatan awam,” katanya menerusi hantaran di media sosial, semalam.
