Mangsa bah daftar di PPS terima RM1k sebaik balik rumah
- Admin UKK
- Berita
Mangsa banjir yang mendaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebaik pulang ke rumah selepas banjir.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Meor Ismail Meor Akim berkata, bantuan RM1,000 itu disalurkan menerusi Akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) dan mangsa yang mendaftar di PPS perlu mempunyai akaun terbabit.
“Matlamat kita dia (mangsa banjir) balik saja ( ke rumah), dapat (BWI) tapi semua melalui akaun BSN, tiada bantuan ‘cash. Yang tiada akaun BSN, pergi ke kaunter (membuat akaun).
“Bantuan itu sebenarnya untuk membeli keperluan asas sebaik pulang ke rumah, itu tujuannya dan nilai (masih) sama iaitu RM1,000 untuk satu keluarga, syaratnya, mesti berdaftar.
“Kami mohon semua mangsa berdaftar, daftar dan balik rumah pun tak apa sebab kadang-kadang ada yang perlu jaga rumah, keluar bekerja, cuma kalau ada mangsa dalam kalangan anak kecil, warga emas atau orang kurang upaya (OKU), minta kekal di PPS,” katanya ketika sidang media, di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geting, di sini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, dari segi aset dan kekuatan sumber manusia untuk penugasan banjir, semua terkawal dan tiada penambahan diperlukan.
Katanya lagi, setakat ini, 103,500 sumber manusia yang terdiri daripada agensi berkaitan siap siaga malah ada yang bertugas di lapangan.
“Penambahan sumber manusia memang tiada masalah, kita boleh tambah bila-bila masa.
“Kita ada Skuad Insan Madani diketuai Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan bila-bila masa boleh gerakkan bila ada keperluan tapi rasanya sekarang masih terkawal dan tidak memerlukan,” katanya.
