Angin baratan sehingga 52km/j faktor ribut badai Kedah
- Admin UKK
- Berita
ALOR SETAR: Kejadian angin kencang akibat ribut petir yang melanda 10 daerah di Kedah, semalam berpunca daripada ribut anjakan udara angin baratan dengan kelajuan 33 kilometer sejam (km/j) hingga langkisau (angin kencang tiba-tiba) berkelajuan 52km/j.
Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Kedah, Muhammad Khalil Abd. Aziz berkata, kelajuan angin yang direkodkan di Stesen Meteorologi Alor Setar pada pukul 9.15 malam itu dikategorikan sangat kencang dan mengakibatkan pokok tumbang.
“Kejadian ribut petir yang berlaku di hampir seluruh Kedah semalam adalah akibat daripada keragaman cuaca iaitu ribut dan hujan yang berlaku di luar musim walaupun jarang terjadi. Kebiasaannya Kedah mengalami ribut petir sekitar bulan September dan Oktober,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ujarnya, MetMalaysia juga menjangkakan kejadian ribut petir yang mengakibatkan angin kencang dan hujan lebat itu berlangsung sehingga awal minggu depan.
“Menurut ramalan cuaca yang dikeluarkan, kelajuan angin baratan diramalkan lebih kencang di kawasan utara Semenanjung termasuk perairan Selat Melaka Utara dan Phuket.
“Keadaan ini berpotensi menyebabkan laut bergelora, terutamanya pada awal tempoh ramalan. Selain itu, pengurangan taburan hujan turut dijangka berlaku di kebanyakan kawasan dalam negara termasuk Kedah,” katanya.
Tambahnya, MetMalaysia turut memberi amaran bahawa pembentukan garis badai yang membawa hujan lebat, ribut petir dan angin kencang masih berpotensi berlaku di negeri ini terutama pada sebelah lewat petang dan malam di kawasan pedalaman.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd. Suhaimi Mohd. Zain berkata, 10 daerah terjejas akibat ribut dan angin kencang yang menyebabkan pokok tumbang serta kerosakan pada rumah penduduk dan infrastruktur awam.
Katanya, jumlah keseluruhan kediaman yang terlibat masih dalam proses dikenal pasti pihaknya namun setakat ini, daerah Yan antara kawasan terjejas teruk apabila 22 rumah mengalami kerosakan termasuk di Mukim Sala Besar, Sungai Daun dan Mukim Singkir.
“Daerah lain yang terlibat adalah Sik, Padang Terap, Pendang, Kota Setar, Kubang Pasu, Langkawi, Baling, Kuala Muda dan Pokok Sena. Petugas Pusat Kawalan Operasi Daerah sedang membuat pemantauan di kawasan terjejas,” katanya. – UTUSAN