Bersedia hadapi kebakaran pada peralihan Monsun Barat Daya
- Admin UKK
- Berita
Kota Bharu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap sedia dalam berdepan sebarang kemungkinan sepanjang peralihan Monsun Barat Daya sehingga September depan.
Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, penerimaan empat pam air berkapasiti tinggi turut membantu penugasan pemadaman kebakaran terutama membabitkan kawasan luas contohnya tanah gambut.
"Kita terima empat pam air dengan kekuatan 30 kuasa kuda pada hujung tahun lalu yang mampu memancurkan 1,000 liter air per minit.
"Pam air ini ditempatkan di empat balai bomba dan penyelamat (BBP) yang sering menerima panggilan kebakaran tinggi seperti di Bachok, Tunjong, Pasir Puteh dan Tanah Merah.
"Jadi, tugas memadam kebakaran terutama di kawasan luas lebih mudah serta tidak mengambil tempoh yang lama dengan penggunaan empat unit pam air ini," katanya.
Terdahulu, beliau hadir dalam Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan di Tunjong, di sini, hari ini dengan diiringi Timbalannya, Aswafaizole Abdul Wahab.
Katanya, pihaknya turut bersiap siaga terhadap fenomena jerebu walaupun Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hanya melanda di Pantai Barat Semenanjung.