Banjir daerah petaling pulih sepenuhnya, PPS mula tutup sejak semalam
- Admin UKK
- Berita
SHAH ALAM: Situasi banjir yang melanda sekitar daerah Petaling pulih sepenuhnya selepas semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir di daerah itu mula ditutup sepenuhnya bermula semalam hingga hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Petaling, Huzunul Khaidil Mohammed berkata, Bencana Tahap 1 membabitkan Kampung Padang Jawa, Kampung Bukit Lanchong, Kampung Lanchong Jaya, Kampung Tengah dan Kampung Kuala Sungai Baru di daerah itu kini tamat.
“Penutupan PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 16 Shah Alam dan Sekolah Kebangsaan Seksyen 16 Shah Alam berkuatkuasa jam 1 tengah hari tadi.
“Penutupan Dewan Kenanga MBSA Seksyen 28 Shah Alam dan Dewan Serbaguna MBSJ Camelia Putra Height ditutup berkuatkuasa masing-masing jam 5 dan 6 petang semalam.
“Terima kasih atas kerjasama semua agensi dan jabatan terbabit secara langsung atau tidak sepanjang menguruskan bencana banjir di kawasan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jumaat lalu, lima daerah di Selangor terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat sejak jam 2 pagi membabitkan daerah Petaling, Klang, Gombak, Sepang, Hulu Langat dan Gombak.
Banjir kilat menyebabkan banyak premis terutamanya kediaman penduduk dinaiki air sehingga paras paha dan mangsa terjejas melebihi 1,000 orang ditempatkan di enam PPS.