Pam kawalan gagal berfungsi punca banjir belum surut - Amirudin
- Admin UKK
- Berita
SABAK BERNAM: Beberapa sistem pam kawalan banjir di Selangor dikesan gagal berfungsi menjadi punca kelewatan dalam usaha mengawal air banjir di kawasan kritikal.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu dikenal pasti disebabkan bekalan elektrik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) masih belum disambungkan sepenuhnya di kawasan terlibat.
Menurut beliau, keadaan itu menjadi punca kelewatan dalam usaha mengawal air banjir terutama di Taman Sri Muda, yang sering terjejas setiap kali hujan lebat.
“Kami akan segera berhubung dengan TNB untuk memastikan bekalan tenaga disalurkan tanpa lengah.
Menurut Amirudin, kelewatan penyambungan bekalan elektrik itu menjejaskan kecekapan sistem kawalan banjir yang menjadi benteng utama kepada kawasan berisiko tinggi.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa projek infrastruktur tempatan berkaitan pengurusan banjir masih diteruskan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, penyelarasan projek infrastruktur itu perlu dipercepatkan bagi memastikan kesediaan sistem lebih mantap pada masa hadapan.
“Pelaksanaan projek-projek ini memerlukan kerjasama erat dan tindakan pantas antara agensi terbabit.
"Tindakan ini penting supaya kita tidak terus berdepan risiko kerugian dan kesan buruk akibat kelewatan," tambah beliau.
Sinar Harian pada Jumaat lalu melaporkan, hujan lebat berterusan sejak malam pada Khamis menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Selangor dilanda banjir kilat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sekurang-kurangnya 137 mangsa terjejas membabitkan tiga zon utama melibatkan Shah Alam, Petaling dan Klang setakat jam 8 pagi Jumaat. - Sinar Harian