Malaysia rugi RM933.4J akibat banjir pada 2024
- Admin UKK
- Berita
Keseluruhan kerugian akibat banjir pada 2024 dianggarkan sebanyak RM933.4 juta, meningkat daripada RM755.4 juta pada 2023, bersamaan 0.05 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal berbanding 0.04 peratus pada tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kerugian terbesar dicatatkan dalam sektor kediaman, meningkat kepada RM372.2 juta berbanding RM168.3 juta pada 2023, diikuti oleh aset awam dan infrastruktur sebanyak RM303.4 juta berbanding RM380.7 juta pada 2023.
“Kerugian dalam sektor pertanian turut meningkat kepada RM185.2 juta berbanding RM120.6 juta pada 2023, manakala premis perniagaan mencatatkan kerugian sebanyak RM54.1 juta berbanding RM53.2 juta pada tahun sebelumnya.
“Bagi kerosakan kenderaan pula, ia mencatatkan kerugian sebanyak RM17.3 juta berbanding RM22.3 juta pada 2023, manakala sektor pembuatan merekodkan kerugian paling kecil, iaitu RM1.2 juta berbanding RM10.3 juta pada 2023,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Mohd Uzir berkata, dari segi tempat kediaman, Kelantan mencatatkan kerugian terbesar sebanyak RM139 juta, diikuti Terengganu dengan RM103.1 juta dan Kedah sebanyak RM54 juta.
“Di Kelantan, daerah paling terjejas ialah Pasir Mas dengan kerugian berjumlah RM46.2 juta, diikuti Tumpat (RM31.7 juta) dan Kota Bharu (RM19.2 juta) manakala di Terengganu, Besut merekodkan kerugian tertinggi bagi tempat kediaman berjumlah RM38.4 juta, diikuti Setiu (RM16.1 juta) dan Kemaman (RM14.2 juta).
“Di Kedah, Kota Setar dan Kubang Pasu mencatatkan kerugian tertinggi, masing-masing RM22 juta dan RM9.4 juta, diikuti Baling dengan RM6.9 juta,” katanya.
Kerugian premis terbesar
Beliau berkata, Kelantan menanggung kerugian premis perniagaan terbesar, berjumlah RM27.1 juta, diikuti Terengganu sebanyak RM16.4 juta dan Kedah sebanyak RM4.3 juta.
“Di Kelantan, Pasir Mas dan Kota Bharu mengalami impak kewangan yang paling ketara, masing-masing dengan kerugian RM9.8 juta, sementara Tumpat mencatatkan kerugian RM5 juta, manakala di Terengganu, Besut merekodkan kerugian tertinggi sebanyak RM6.4 juta, diikuti Setiu (RM2.9 juta) dan Dungun (RM1.9 juta).
“Di Kedah pula, Kota Setar merekodkan kerugian tertinggi sebanyak RM2.8 juta, diikuti Baling dan Pokok Sena, masingmasing RM800,000 dan RM400,000,” katanya.
Beliau berkata, Terengganu mencatatkan kerugian kerosakan kenderaan tertinggi berjumlah RM5.8 juta, diikuti dengan Kelantan sebanyak RM4 juta dan Kedah sebanyak RM2.1 juta dengan daerah yang paling terjejas ialah Besut (RM1.4 juta), diikuti dengan Kemaman (RM1 juta) dan Dungun (RM800,000).
“Bagi Kelantan, Tumpat merekodkan kerugian kenderaan tertinggi berjumlah RM1.8 juta, diikuti Pasir Mas (RM1 juta) dan Kota Bharu (RM500,000), manakala di Kedah, Kota Setar mengalami kerugian tertinggi sebanyak RM900,000, diikuti Pokok Sena (RM500,000) dan Baling (RM300,000).
“Untuk sektor pembuatan, Kelantan mencatatkan kerugian sebanyak RM1.1 juta, dengan Pasir Mas mengalami impak tertinggi berjumlah RM1 juta, manakala Pasir Puteh dan Tumpat merekodkan kerugian lebih rendah, masing-masing di bawah RM100,000,” katanya.