PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Jumlah kerugian akibat banjir 2024 cecah RM933.4j

Jumlah kerugian akibat banjir 2024 cecah RM933.4j

Kuala Lumpur: Jumlah keseluruhan kerugian akibat banjir pada 2024 dianggarkan RM933.4 juta, meningkat daripada RM755.4 juta pada 2023, bersamaan 0.05 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal berbanding 0.04 peratus pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (gambar) berkata, kerugian terbesar dicatatkan dalam sektor kediaman, meningkat RM372.2 juta berbanding RM168.3 juta pada 2023, diikuti aset awam dan infrastruktur RM303.4 juta berbanding RM380.7 juta pada 2023.

“Kerugian dalam sektor pertanian turut meningkat kepada RM185.2 juta berbanding RM120.6 juta pada 2023 manakala premis perniagaan mencatatkan kerugian RM54.1 juta berbanding RM53.2 juta pada tahun sebelumnya.

“Bagi kerosakan kenderaan, ia mencatatkan kerugian RM17.3 juta berbanding RM22.3 juta pada 2023, manakala sektor pembuatan merekodkan kerugian paling kecil, iaitu RM1.2 juta berbanding RM10.3 juta pada 2023,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Mohd Uzir berkata, dari segi tempat kediaman, Kelantan mencatatkan kerugian terbesar iaitu RM139 juta, diikuti Terengganu RM103.1 juta dan Kedah RM54 juta.

“Di Kelantan, daerah paling terjejas ialah Pasir Mas dengan kerugian RM46.2 juta diikuti Tumpat RM31.7 juta dan Kota Bharu RM19.2 juta manakala di Terengganu, Besut merekodkan kerugian tertinggi bagi tempat kediaman berjumlah RM38.4 juta, diikuti Setiu RM16.1 juta dan Kemaman RM14.2 juta.

“Di Kedah, Kota Setar dan Kubang Pasu mencatatkan kerugian tertinggi, masing-masing RM22 juta dan RM9.4 juta, diikuti Baling dengan RM6.9 juta,” katanya.

Katanya, Kelantan menanggung kerugian premis perniagaan terbesar berjumlah RM27.1 juta, diikuti Terengganu RM16.4 juta dan Kedah RM4.3 juta.

“Di Kelantan, Pasir Mas dan Kota Bharu mengalami impak kewangan paling ketara, masing-masing dengan kerugian RM9.8 juta, sementara Tumpat mencatatkan kerugian RM5 juta manakala di Terengganu, Besut merekodkan kerugian tertinggi RM6.4 juta, diikuti Setiu RM2.9 juta dan Dungun RM1.9 juta.

“Di Kedah, Kota Setar merekodkan kerugian tertinggi sebanyak RM2.8 juta, diikuti Baling dan Pokok Sena, masing-masing RM0.8 juta dan RM0.4 juta,” katanya.

Beliau berkata, Terengganu mencatatkan kerugian kerosakan kenderaan tertinggi berjumlah RM5.8 juta diikuti Kelantan RM4 juta dan Kedah RM2.1 juta dengan daerah paling terjejas ialah Besut RM1.4 juta, diikuti Kemaman RM1 juta dan Dungun RM0.8 juta.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search