Perkasa komuniti jadi cakna, berdaya tahan hadapi bencana
- Admin UKK
- Berita
Timur Laut 2024/2025 yang bermula pada November tahun lalu sudah melepasi beberapa episod hujan lebat dan dijangka berakhir Mac ini.
Kemuncak cabaran Monsun Timur Laut setakat ini adalah pada 26 November hingga 1 Disember tahun lalu yang membabitkan 150,096 penduduk di negara ini.
Secara kumulatif, Monsun Timur Laut 2024/2025 bermula dari 5 November hingga 27 Januari lalu merekodkan 64,617 keluarga dan 206,680 mangsa terkesan ditempatkan di 1,082 pusat pemindahan sementara (PPS) di 12 negeri.
Di sebalik cabaran ini, pelbagai agensi kerajaan baik di peringkat daerah, negeri mahupun Persekutuan sentiasa berusaha tanpa mengenal penat lelah dan turut menjalin kerjasama erat dengan sukarelawan serta komuniti setempat.
Berpandukan kepada Arahan NADMA No 1, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Negeri dan Pusat menggembleng tenaga secara bersama membabitkan Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Setiap tindakan diambil pasti mengutamakan keselamatan nyawa, perlindungan harta benda dan kebajikan mangsa bencana.
Pengurusan bencana tidak hanya digalas pada bahu kerajaan semata-mata. Masyarakat turut memainkan peranan sangat penting dalam pengurusan bencana.
Komuniti yang cakna dan sentiasa siap siaga memainkan peranan penting, bukan hanya sebagai mangsa tetapi juga sebagai barisan hadapan dalam usaha mitigasi serta pemulihan.
Justeru, pemerkasaan komuniti dalam menghadapi bencana, menjadi antara tunjang utama yang tidak boleh dipisahkan bagi melengkapi ekosistem pengurusan bencana mampan.
Pendekatan menyeluruh komuniti dan kerajaan menjadi teras kepada pengurusan bencana berkesan, sekali gus dapat mewujudkan masyarakat berdaya tahan bencana.
Pemerkasaan komuniti oleh pihak kerajaan membabitkan perkongsian pengetahuan, kemahiran dan sumber yang diperlukan untuk masyarakat menghadapi bencana dengan lebih cekap dan berkesan.
• Pertama, pendidikan dan kesedaran, Komuniti yang disasarkan diberi pendedahan mengenai jenis bencana serta langkah pencegahan melalui kempen kesedaran dan latihan simulasi.
• Kedua, pembangunan kapasiti. Merancang skop latihan dan kemahiran seperti pertolongan cemas, pemadaman kebakaran dan penyelamatan. Ini juga membabitkan pembangunan infrastruktur yang tahan bencana.
• Ketiga, penglibatan komuniti. Penyertaan aktif komuniti dalam merancang dan melaksanakan program pengurangan risiko bencana, termasuk penilaian risiko dan pelan tindakan kecemasan.
• Keempat: sokongan sumber. penyediaan peralatan kecemasan dan bekalan asas yang mencukupi kepada mangsa bencana serta bantuan kewangan untuk pemulihan pasca bencana.
• Kelima, kerjasama dan rangkaian. Memastikan hubungan erat antara komuniti, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya tindak balas yang cekap dan bersepadu dapat dilaksanakan.
Perlu sokongan pelbagai lapisan masyarakat
Realitinya, usaha memperkasa komuniti memerlukan kesepaduan pelbagai lapisan masyarakat sivil seperti golongan belia, dewasa, kanak-kanak, penduduk setempat dan NGO.
Langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan kesan bencana, tetapi turut meningkatkan daya tahan komuniti dalam menghadapi cabaran bencana pada masa depan.
Kerajaan, melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, menjadikan Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) sebagai agenda utama.
Pelancaran Garis Panduan Pelaksanaan CBDRM oleh NADMA pada 14 Mei tahun lalu memperkukuhkan lagi strategi ini.
Garis panduan ini menyediakan kerangka pelaksanaan komprehensif bagi memastikan kesiapsiagaan seragam dan menyeluruh.
Program komuniti di peringkat tempatan dijayakan dengan sokongan daripada pihak NGO sentiasa dilaksanakan berpandu kepada modul CBDRM yang holistik dan relevan.
Platform Rakan NADMA diwujudkan bagi menghubungkan NGO dan sukarelawan dalam usaha meningkatkan inisiatif koordinasi bantuan.
Latihan seperti Rakan NADMA Disaster Emergency Simulation Exercise (RANDEX) memberi pendedahan kepada sukarelawan untuk bertindak pantas secara berkesan apabila berlaku sebarang bencana.
Perancangan, latihan dan koordinasi saban tahun dalam atur gerak pemerkasaan komuniti, NGO dan sukarelawan menunjukkan peningkatan dan prestasi yang amat memberangsangkan.
Sehingga 25 Januari lalu, di bawah inisiatif Misi Ihsan MADANI, seramai 17,163 rakan NADMA membantu menguruskan edaran barangan sumbangan kepada mangsa bencana sebanyak 450 tan bernilai kira-kira RM19 juta di seluruh negara.
Mereka turut membantu membersihkan 3,725 rumah terjejas dan mengedarkan sebanyak 205,000 unit makanan sedia makan; 22,000 makanan berbungkus dan 5,000 unit barangan keperluan persekolahan.
Di bawah inisiatif Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pula, penjawat awam juga turut digerakkan sebagai sukarelawan Skuad Ihsan MADANI dengan pembabitan seramai 5,490 petugas daripada 23 kementerian, agensi, pasukan sokongan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Kor Kadet.
Langkah ini membuktikan semangat kebersamaan antara kerajaan dengan rakyat. Komitmen ini bukan sahaja memenuhi aspirasi nasional tetapi juga sejajar dengan Kerangka Sendai untuk Pengurangan Risiko Bencana 2015-2030.
Kejayaan pengurusan bencana bergantung kepada solidariti dan usaha kolektif semua pihak. Kerajaan dan rakyat, sehati sejiwa, melangkah bersama membina komuniti yang lebih siap siaga.
Pada akhirnya, natijahnya tetap sama; urus bencana selamat nyawa adalah tanggungjawab bersama. Komuniti perkasa, cakna bencana, siaga sentiasa.