Kebakaran Putra Heights: Hujan cabaran utama di 'ground zero' - Polis
- Admin UKK
- Berita
SUBANG JAYA - Keadaan cuaca yang tidak menentu termasuk hujan lebat menjadi cabaran terbesar kepada pasukan penyiasat di lokasi kejadian letupan paip gas d Putra Heights, di sini, pada 1 April lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam tempoh 28 hari siasatan dijalankan, 20 daripadanya adalah hari hujan.
“Apabila hujan kerja-kerja siasatan perlu dihentikan sementara kerana kita perlu mengambil masa hampir setengah hari untuk mengepam keluar air bertakung di dalam kawah sebelum dapat menyambung semula kerja penggalian paip yang terjejas," katanya selepas membawa pengamal media meninjau kawasan kejadian di sini pada Rabu.
Hussein berkata, hujan lebat membuatkan berlaku pergerakan tanah serta air turut melimpah masuk ke dalam kawah.
"Setakat ini tiga spesimen paip sepanjang 16 meter telah dikeluarkan dan satu lagi paip sepanjang lima meter masih perlu dibawa keluar untuk dianalisis Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bersama Sirim Berhad (Sirim)," katanya.
Katanya, kerja penggalian hampir selesai dengan kedalaman mencecah 16 meter dari permukaan jalan, namun pengambilan spesimen terakhir dijangka mengambil masa seminggu lagi sebelum siasatan lokasi dilengkapkan sepenuhnya.
“Laporan lengkap akan dikeluarkan JKKP selepas selesai ujian serta analisis struktur tanah oleh Jabatan Mineral dan Geosains.
“Selepas itu tapak akan diserahkan kepada Petronas bagi proses pemulihan yang mungkin ambil masa beberapa bulan,” katanya.
Insiden kebakaran saluran gas Petronas pada jam 8.10 pagi pada 1 April lalu, mengakibatkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Sebanyak 148 rumah terjejas dan mengalami kerosakan, tetapi boleh didiami selepas melalui proses pembaikan, manakala 87 lagi rumah mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh didiami.