PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

‘Selepas sebulan masih umpama medan perang’

‘Selepas sebulan masih umpama medan perang’

SUBANG JAYA – Keadaan perumahan di sekitar Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, setelah berlakunya kebakaran saluran paip pada 1 April lalu boleh diibaratkan seperti padang jarak, padang terkukur.

Tinjauan Kosmo! di lokasi kejadian mendapati kebanyakan rumah masih kekal tidak berpenghuni dan masih rosak akibat bahang api kebakaran yang berlaku dengan jarak kira-kira 200 meter.

 
Kawasan tersebut itu juga tidak ubah seperti tanah tandus berdebu dengan pokok-pokok yang mengering.

Dalam sekelip mata, kawasan kejiranan yang damai bertukar menjadi medan perang.

Kini hanya tinggal rangka besi dan abu yang berterbangan, menandakan betapa dahsyatnya api kebakaran tersebut yang memusnahkan segalanya dalam sekelip mata.

Akibat bahang daripada api kebakaran saluran paip gas itu, taman permainan di kawasan perumahan yang dulunya ceria dengan gelak tawa kanak-kanak, dilihat cair dan melebur.

Bagaimanapun, kelihatan di kawasan yang kurang terjejas di taman perumahan yang sama, pemiliknya sudah beransur membaiki rumah masing-masing.

Kawasan perumahan itu masih lagi dikawal ketat oleh pihak berkuasa kerana kerja-kerja pengorekan masih dijalankan di ‘ground zero’ berhampiran.

Buat masa ini, orang awam dilarang untuk melepasi pagar biru yang menutupi ‘ground zero’ atas faktor-faktor keselamatan.

 

Insiden kebakaran saluran paip gas yang berlaku pukul 8.10 pagi pada 1 April lepas, menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Insiden itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas. – KOSMO! ONLINE

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search