Malaysia rayu Myanmar lanjut gencatan senjata
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR – Malaysia telah mengemukakan rayuan kepada Myanmar agar melanjutkan tempoh gencatan senjata yang dijadualkan berakhir esok, bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan secara menyeluruh tanpa diskriminasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, permintaan itu disampaikan kepada Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), Mahn Win Khaing Than.
“Kita telah menghantar satu lagi rayuan untuk lanjutkan gencatan senjata dan berharap semua pihak menghormatinya demi rakyat Myanmar yang sedang menderita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Belia Madani dan Rumah Mampu Milik Mukim Batu, di sini, hari ini.
Berhubung dakwaan pelanggaran perjanjian gencatan senjata oleh pihak bertelagah di Myanmar, Perdana Menteri memaklumkan tuduhan sedemikian tidak berlaku secara menyeluruh.
Terdahulu, junta Myanmar dilaporkan bersetuju melanjutkan tempoh gencatan senjata susulan gesaan daripada pertubuhan bantuan kemanusiaan dan pengantara antarabangsa yang mahu ruang masa tambahan untuk mengurus bantuan pasca bencana.
Negara itu kini berdepan kesan dahsyat selepas dilanda gempa bumi berukuran 7.7 magnitud, mengorbankan sekurang-kurangnya 3,700 nyawa serta memusnahkan sebahagian besar kawasan di tengah Myanmar. – KOSMO! ONLINE