Cuaca buruk, banjir tambah penderitaan
- Admin UKK
- Berita
Gaza: Ratusan khemah di kem pemindahan di pelbagai kawasan di Rafah dan Mawasi Khan Younis di Semenanjung Gaza mengalami banjir akibat hujan lebat, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Penduduk yang terpaksa berpindah berkata, khemah mereka diterbangkan angin kencang, menyebabkan mereka menghadapi kesejukan tanpa perlindungan.
Hujan lebat yang melanda seluruh wilayah Gaza menambah penderitaan puluhan ribu penduduk tempatan yang rumah mereka terjejas teruk akibat pengeboman intensif.
Golongan yang terpaksa berpindah kini berdepan keadaan yang sangat mencabar akibat kesejukan dan angin kencang, kerana ribuan daripada mereka tinggal di khemah diperbuat daripada nilon dan kain nipis yang tidak banyak memberi perlindungan daripada hujan dan ribut.
Mereka yang kembali ke utara Gaza juga bergelut untuk mendirikan dan mengukuhkan khemah mereka, selain menghadapi kekurangan serius bekalan makanan dan bahan pemanas.
Kekurangan bahan api memburukkan lagi krisis, kerana banyak keluarga tidak memperoleh sebarang cara untuk memanaskan diri disebabkan suhu rendah pada waktu malam. BERNAMA