Letupan paip gas : Hampir sebulan berlalu, penduduk Kg. Kuala Sg. Baru masih menanti jawapan
- Admin UKK
- Berita
SUBANG JAYA: Hampir sebulan berlalu sejak insiden letupan gas menggegarkan Putra Heights, namun bagi ramai penduduk terjejas, bencana itu masih belum berakhir.
Nasib mengenai kediaman mereka yang rosak akibat letupan pada 1 April lalu masih belum diketahui, dengan ramai yang terus sabar menanti jawapan daripada pihak berwajib.
Bagi pemilik rumah di Kampung Kuala Sungai Baru, Ahmad Baharudin Amir, ketidaktentuan mengenai proses pemulihan rumah menambah tekanan kepada mereka yang terjejas.
“Kita nak tahu kepastian sebab rumah yang kita duduki rosak. Nak baik-pulih macam mana ?.
“Adakah perlu melalui kaedah tertentu, atau kontraktor daripada kerajaan yang akan uruskan? Sekurang-kurangnya ada orang datang untuk menilai kerosakan, supaya semua orang dapat pembelaan yang adil. Kita bukan minta lebih pun,” katanya ketika ditemui Buletin Tv3.
Dia turut memaklumkan, satu pertemuan bersama pihak bertanggungjawab dijadualkan berlangsung Khamis lepas, namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan dimaklumkan.
Lebih menggusarkan beliau, hujan lebat yang turun hampir setiap petang mempercepatkan lagi kerosakan dalam rumah, dan sekiranya dibiarkan berlarutan, ia mungkin mengakibatkan struktur rumah lebih teruk terjejas.
Tambahnya lagi, kediaman sementara yang diduduki kini terlalu sempit untuk keluarganya yang besar. Sehubungan itu, penjelasan rasmi daripada pihak berwajib sewajarnya diberikan bagi menoktahkan segala keluh-kesah.
Sementara itu, bagi penyewa, Mohamad Amirul Fitri, dia berharap rintihan penduduk yang terjejas tidak diendahkan. Katanya, mereka tidak menuntut lebih, hanya sekadar peluang untuk membina semula kehidupan yang musnah.
“Apa yang jadi memang sudah terjadi. Kami berharap agar pihak berwajib betul-betul membantu kami semua untuk meneruskan hidup bermula dari kosong,” ujarnya.