PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Kebakaran Los Angeles serlah kepentingan pengurusan logistik bencana

Kebakaran Los Angeles serlah kepentingan pengurusan logistik bencana

LANDSKAP Los Angeles dilaporkan berubah menjadi 'kanvas kemusnahan'. Sebanyak 27 nyawa melayang, lebih 13,600 bangunan lebur dan puluhan ribu penduduk terusir. Inilah statistik mengerikan Kebakaran Hughes, menyusul selepas kebakaran Palisades dan Eaton.

Langit berwarna hitam asap dan api merah menyala didorong angin menjadi peringatan mengenai potensi alam membawa bencana dan kemusnahan.

Kebakaran Hughes, terkini dalam siri kebakaran membinasakan di Los Angeles, merentas komuniti, meninggalkan jejak duka dan kemusnahan.

Laluan kecemasan terputus dan terhalang. Lebuh raya utama, yang dahulunya menjadi urat nadi komunikasi dan penyelamatan, bertukar menjadi penghalang mencabar pasukan penyelamat.

Pada saat krisis ini, logistik bencana bukan sekadar cabaran teknikal, malah ia bertukar menjadi talian hayat antara kelangsungan hidup dan kehancuran total.

Menurut Pengarah Eksekutif American Logistics Aid Network (ALAN), Kathy Fulton, lawatan ke pelbagai organisasi terbabit dalam usaha bantuan awal kebakaran mendedahkan realiti mengejutkan.

Walaupun pelbagai berita menyarankan keperluan mendesak terhadap makanan, air, pakaian dan komoditi lain, keadaan sebenar di lapangan jauh lebih rumit.

Pasca kebakaran Palisades dan Eaton mendedahkan sisi terbaik serta terburuk tindak balas tindakan kecemasan. Solidariti komuniti meningkat menerusi sumbangan mengalir ke pusat bantuan. Namun, kemurahan hati melimpah ini mendedahkan kelemahan logistik signifikan.

Sukarelawan bergelut mengurus, menyusun dan mengagihkan bantuan yang tiba dalam pelbagai bentuk serta kuantiti. Kelewatan ini menyebabkan mangsa memerlukan bantuan segera tidak dapat menerimanya dengan pantas.

Bekalan kritikal tertangguh, menyebabkan mangsa paling memerlukan bantuan, berada dalam keadaan menunggu. Kekacauan ini bergema dengan cabaran serupa dalam bencana global, termasuk usaha bantuan banjir di Malaysia.

Laporan ALAN mendedahkan lebih 40 peratus kos bantuan mangsa kebakaran itu dibazirkan akibat pengurusan tidak cekap. Ia bukan sekadar nombor.

Di sebalik setiap titik peratusan terdapat kisah manusia mengenai masalah bekalan perubatan tertangguh, mangsa kelaparan kerana bantuan makanan tidak tiba dan penderitaan berpanjangan akibat kelemahan penyelarasan bantuan.

Malaysia, yang kerap menghadapi risiko bencana alam, boleh mengambil pengajaran kritikal daripada pengalaman di Los Angeles. Bagi organisasi yang terbabit dalam membantu mangsa banjir termasuk aktivis, kumpulan, syarikat, agensi, dan sukarelawan, mereka perlu memberi perhatian khusus kepada pengurusan logistik kecemasan.

Latihan bencana proaktif adalah kunci utama dalam mempersiapkan pasukan tindak balas kecemasan. Ia memerlukan pembangunan program latihan logistik menyeluruh seperti simulasi bencana sebenar yang mana setiap ahli pasukan diberi pendedahan mendalam cabaran pengurusan bencana.

Perlu sistem cekap agih sumbangan

Pengurusan sumbangan sistematik memerlukan satu garis panduan jelas untuk menyusun, mengasingkannya mengikut kategori dan mengagihkan bekalan kecemasan secara cekap.

Contohnya, menggunakan sistem penandaan warna untuk kategori bekalan atau membangunkan platform digital bagi menjejak aliran gerakan ke mana sumbangan diagihkan dan kepada siapa diserahkan.

Koordinasi berpusat menjadi nadi kepada kejayaan usaha menyalurkan segala bantuan kepada mangsa amukan alam. Ia menjadi pengajaran besar kepada negara untuk beradaptasi dengannya.

Pembentukan pusat kawalan logistik tunggal berfungsi 24 jam perlu diwujudkan bagi menyelaras usaha mengagih dan menyalur bantuan dengan lebih teratur, sekali gus membolehkan pemantauan berterusan dan pengagihan sumber adil.

Kebakaran di Los Angeles bukan sekadar tragedi bersifat tempatan. Ia mewakili amaran global mengenai perubahan dan kerentanan iklim semakin meningkat. Pengurusan bencana cekap bukan lagi pilihan, ia adalah keperluan menentukan kelangsungan hidup.

Ukuran sebenar ketahanan sesebuah komuniti bukan sekadar berupaya mencegah bencana, tetapi seberapa pantas mencegahnya dan keberkesanan pasukan penyelamat bertindak secara bersepadu.

Ketika Los Angeles sedang berkira-kira untuk berdiri semula, dunia juga memerhati dan mengambil pelajaran daripada kebakaran mega di sana. Ia menuntut kita bersedia sepanjang masa dan sepenuhnya untuk berdepan ancaman perubahan iklim ekstrem dan menguruskannya.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Rantaian Bekalan dan Logistik, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Open University Malaysia (OUM)

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search