PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Jambatan Bailey di 9 negeri

Jambatan Bailey di 9 negeri

Jambatan Bailey akan dibina di sembilan negeri menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) bagi menggantikan jambatan rosak khususnya di kawasan luar bandar sebelum jambatan kekal siap dibina.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pembinaan jambatan itu dianggarkan membabitkan kos antara RM4 hingga RM6 juta setiap satu.

“Sembilan daripada 14 negeri dalam Malaysia telah bersetuju menggunakan peruntukan Marris untuk membiayai pembinaan jambatan Bailey yang akan diselenggara Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri yang terlibat,” katanya selepas melawat Projek Jambatan Bailey di Kampung Permatang Sepam, di sini, semalam.

Beliau berkata, sembilan negeri berkenaan ialah Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Perak, Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Berhubung jambatan Bailey di Kampung Permatang Sepam, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian

berkata, jambatan di Jalan Madirono sepanjang 42 meter dengan kelebaran 4.2 meter dijangka beroperasi mulai Rabu ini.

Menurut beliau, pembinaan itu bertujuan memastikan jalan darat tidak terputus selepas jambatan sedia ada yang berusia lebih 40 tahun mengalami kegagalan struktur sejak 5 Mac lalu akibat peningkatan beban mendatar terhadap tiang jambatan terbabit. “Di Kampung Permatang Sepam ini, kaedah pembinaan jambatan Bailey buat pertama kalinya dibina di sungai dengan peruntukannya dikongsi kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

“Jambatan sementara ini hanya boleh menampung beban tidak melebihi lima tan bagi menjamin keselamatannya,” katanya.

Katanya, JKR Pontian mencadangkan pembinaan jambatan konkrit baharu sebagai langkah jangka masa panjang bagi memastikan tiada kegagalan struktur berulang.

“Kementerian Kerja Raya menerusi Program MYJalan komited dalam membina, menyedia dan menyelenggara infrastruktur yang selesa dan selamat kepada semua rakyat dalam dan luar bandar,” katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search