Pengusaha ekopelancongan perlu sertai kursus pengurusan risiko
- Admin UKK
- Berita
Kedinamikan industri pelancongan turut berkait rapat dengan perubahan iklim yang boleh mempengaruhi pelancong dalam proses membuat keputusan, termasuk pemilihan penginapan.
Sektor pelancongan sememangnya penting bagi Malaysia kerana menjana pulangan tinggi, sekali gus memacu ekonomi negara, terutama melalui pertukaran mata wang asing.
Malaysia mencatatkan ketibaan 26,100,784 pelancong antarabangsa, sekali gus menyumbang pendapatan sebanyak RM86.14 bilion setahun, manakala belanjawan tahun lalu menunjukkan produktiviti sektor pelancongan menyumbang 14 peratus atau RM251.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 23.4 peratus kepada keseluruhan guna tenaga dengan 3.61 juta orang bekerja pada 2022.
Bagaimanapun, perubahan iklim melampau di seluruh dunia mempengaruhi kejadian bencana alam seperti banjir dan kemarau, akan memberi tekanan serta menjejaskan banyak aktiviti pelancongan.
Bencana sedemikian boleh menjejas dan memusnahkan destinasi pelancongan, iaitu kehilangan aset alam semula jadi, ekonomi dan budaya, bahkan boleh mengundang risiko serta isu keselamatan terhadap pelancong.
Menurut Pertubuhan Pelancongan Sedunia (UNWTO), aspek keselamatan dan jaminan penting untuk menyediakan kualiti dalam industri pelancongan. Ini kerana kejayaan atau kegagalan destinasi pelancongan bergantung kebolehan menyediakan persekitaran selamat dan terjamin kepada pelancong.
Aspek ini lebih utama berbanding aktiviti ekonomi dan perkhidmatan lain, selain menjadi kriteria dan pertimbangan utama pelancong dalam membuat pilihan destinasi percutian.
Justeru, kita perlu memberikan perhatian kepada isu keselamatan pelancong, termasuk kemalangan akibat bencana alam. Aktiviti perkelahan dan sukan air dijalankan pada musim hujan, destinasi pelancongan tidak selamat, persekitaran tempat perkelahan berisiko dan tiada kesedaran terhadap bencana alam dalam kalangan pelancong boleh mengundang risiko tidak diingini.
Fenomena kepala air di kawasan rekreasi antara perkara perlu diberikan perhatian kerana ia mendedahkan risiko dan menimbulkan isu keselamatan kepada pengunjung.
Pada awal tahun ini, kejadian kepala air mengorbankan pengunjung wanita bersama tiga anaknya hanyut dan lemas di Sungai Kenjur, Bidur, manakala minggu lalu, 45 orang termasuk kanak-kanak terperangkap apabila fenomena itu berlaku ketika aktiviti pertandingan memancing di Kota Marudu, tetapi berjaya diselamatkan bomba.
Selain itu, kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Gohtong Jaya, Batang Kali menyebabkan kawasan bercerun dan berbukit berketinggian 30 meter, hilang kestabilan dan tanah mengelunsur serta menimbus kawasan perkhemahan berkenaan, sekali gus mengorbankan 31 orang.
Kejadian tanah runtuh dan banjir kilat juga sering berlaku di kawasan pelancongan Cameron Highlands. Kekerapan bencana ini turut mempengaruhi dan menjejaskan aktiviti pelancongan di kawasan berkenaan.
Antara kejadian yang berlaku adalah membabitkan 16 keluarga Orang Asli apabila ia berlaku di cerun penempatan mereka Sungai Ruil, tetapi sudah diarahkan untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Kekerapan bencana mengakibatkan kecederaan dan kematian menunjukkan keperluan meningkatkan aspek keselamatan, terutama dalam aktiviti ekopelancongan, sekali gus menjadi elemen aktif dalam industri itu.
Hal ini penting untuk melindungi pelancong dan pengunjung serta dan harta mereka yang bermakna berkait secara langsung dengan pencapaian industri pelancongan itu sendiri.
Aspek keselamatan perlu diutama
Oleh itu, pihak pengusaha pelancongan perlu memahami bentuk risiko dalam tingkah laku pelancong dan peranan maklumat perjalanan dalam membentuk pilihan destinasi serta tingkah laku perjalanan.
Seseorang perlu memahami berurusan dengan aspek keselamatan dan jaminan adalah kompleks, manakala urusannya pula rumit. Ini disebabkan ia membabitkan pelbagai tahap pihak pemegang taruh daripada sektor swasta dan awam. Setiap pihak pula memainkan peranan berbeza serta mempunyai tanggungjawab berlainan dalam memastikan keselamatan dan jaminan.
Pengurusan risiko ialah mekanisme boleh digunakan untuk mengurangkan risiko berkaitan isu keselamatan pelancong ketika sedang beriadah. Amalan pengurusan risiko akan dapat mengurang, menghindar dan menghapuskan impak bencana alam berlaku kepada pelancong.
Pendekatan ini boleh dipraktikkan pengusaha pelancongan, pelancong dan masyarakat awam supaya mempunyai pengetahuan dan kesedaran berkenaan kepentingan menjaga serta memastikan keselamatan mereka ketika melancong.
Pengurusan risiko boleh dijalankan secara holistik, bagi memastikan pihak berkepentingan dapat dilibatkan dalam pengurusan keselamatan pelancong ekopelancongan.
Pengusaha pelancongan contohnya, harus dilibatkan dalam kursus pengurusan risiko supaya mempunyai pengetahuan dan kesedaran akan kemungkinan berlaku bencana alam sekitar di persekitaran mereka.
Kerajaan perlu bertegas dengan mewajibkan pengusaha mengikuti kursus pengurusan risiko. Ini kerana keselamatan pelancong tiada kompromi.
Penggunaan teknologi dalam memantau keselamatan pelancong ketika beriadah adalah sangat penting. Kita mengakui teknologi boleh membantu dan memudahkan aspek pemantauan keselamatan di sesuatu tempat.
Penggunaan dron oleh pihak pengusaha pelancongan misalnya boleh membantu, menyelia dan memantau keselamatan pelancong ketika berada di premis mereka.
Selain itu, penggunaan sistem maklumat geografi (GIS) pula boleh digunakan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengenal pasti dan menanda atau memplot kawasan pelancongan dalam kawasan pentadbiran mereka yang mempunyai potensi untuk berlaku bencana atau dengan melabelkan sebagai kawasan titik panas.
Dengan cara ini ia boleh membantu memberi pengetahuan dan kesedaran kepada pelancong dalam memilih destinasi pelancongan yang selamat.
Aspek keselamatan ini perlu diberi perhatian kerana ia menjadi jaminan dan tawaran daripada pihak pengusaha kepada pelancong. Isu ini seharusnya dapat ditangani dengan baik dan perhatian serius daripada pelbagai pihak, terutama penyedia dan agensi perjalanan di negara asal serta negara penerima ketibaan pelancong, kerajaan tuan rumah, penyedia perkhidmatan pelancongan dan hospitaliti serta komuniti tempatan.