Putrajaya: Cuti semua anggota Jemaah Menteri dibekukan susulan bencana banjir yang melanda negara ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata semua menteri dan timbalan menteri juga diarahkan turun padang ke kawasan bencana.
"Semua menteri diminta teruskan tugas sekarang, turun (ke lapangan). Ya (cuti dibekukan)," katanya ketika ditanya sama ada cuti semua anggota Jemaah Menteri dibekukan berikutan bencana banjir.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunai solat Jumaat di Surau Pudina, Presint 17 di sini, tadi.
Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan masa menyertai lebih 500 jemaah menunaikan solat Jumaat di berkenaan.
Perdana Menteri tiba kira-kira jam 1 tengah hari disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Beliau bersama jemaah lain turut mendengar khutbah bertajuk Tuntutan Mengimarah Rumah Allah sebelum menunaikan solat Jumaat diimamkan Ustaz Asyraf Ibrahim.
Usai solat Jumaat, Perdana Menteri yang lengkap berbaju Melayu warna hijau sempat beramah mesra dengan pengurusan masjid dan kariah serta orang ramai sebelum beredar.
Perdana Menteri juga sempat meluangkan masa makan tengah hari bersama penduduk setempat di Medan Selera Taman Warisan Pertanian dekat sini.
PUTRAJAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana Pusat (PKOB) bagi menyelaras dan memantau operasi menyelamat dan pengurusan mangsa banjir di lapangan.
NADMA dalam kenyataan hari ini memaklumkan PKOB Pusat diaktifkan bertujuan untuk menyelaras semua PKOB negeri yang sedang mengurus bencana banjir.
“Penyelarasan termasuklah aset-aset dan keperluan logistik, mengatur gerak pasukan penyelamat serta lain-lain keperluan yang merentas negeri masing-masing,” menurut kenyataan itu.
Menurut NADMA, memandangkan jumlah mangsa telah meningkat secara mendadak di Kelantan, pihak PKOB negeri itu telah memohon khemah tambahan Collapsible Tenat (C-Tent) untuk ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat pula telah memohon tambahan makanan retort sebanyak 50,000 unit untuk diagihkan di PPS seluruh negara,” menurut NADMA.
Kenyataan itu memaklumkan Pasukan Khas Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART) juga telah digerakkan ke kawasan terlibat bagi membantu operasi mencari dan menyelamat di negeri-negeri yang terjejas terutamanya Kelantan.
Mengulas mengenai situasi banjir ketika ini, NADMA memaklumkan ketika ini Kelantan dan Terengganu sedang berhadapan dengan situasi banjir yang buruk dan menurut Jabatan Meteorologi Malaysia hujan sangat lebat berterusan (bahaya) sehingga esok berkemungkinan boleh menyebabkan banjir yang lebih besar.
Justeru, NADMA memaklumkan bahawa semua aset telah digerakkan untuk menghadapi bencana yang lebih serius sekiranya berlaku.
Sementara itu, berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) NADMA pada 6 pagi tadi, jumlah mangsa yang ditempatkan akibat banjir di seluruh negeri adalah seramai 80,589 orang dari 24,647 keluarga, dengan empat kematian direkodkan di Kelantan, Terengganu dan Sarawak.
Terdapat 27 daerah yang terkesan dan sebanyak 467 buah PPS diaktifkan di tujuh negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor.
NDCC NADMA yang beroperasi 24 jam setiap hari akan sentiasa memantau dan menyediakan laporan terkini situasi banjir di seluruh negara sebagai rujukan semua.
“Amaran bencana seperti amaran hujan berterusan dan amaran banjir akan disampaikan kepada semua agensi tindak balas berdasarkan prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.
“Ini termasuklah kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang bertindak sebagai sekretariat kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Darerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri,” menurut kenyataan.
NADMA turut menasihati orang ramai agar berwaspada dengan keadaan cuaca semasa dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, peka dengan pengumuman melalui media massa dan mengikut arahan untuk berpindah sekiranya diarahkan berbuat demikian.
Maklumat dan amaran cuaca terkini boleh diperoleh melalui aplikasi myCuaca, serta MET Malaysia Hotline di talian 1-300-22-1638 dan Portal Bencana NADMA di www.portalbencana.nadma.gov.my.-BERNAMA
Pasir Mas: "Kami 20 orang terperangkap di tingkat atas rumah, sekelililing rumah seperti pulau, balai polis pun nampak bumbung," kata Atikah, 27, mangsa banjir di Kampung Bakong.
"Namun sebaliknya yang berlaku rumah ibu saudara pun dinaiki air dan paras air di tingkat bawah rumah sudah cecah paras dada hampir satu meter.
"Sejak malam tadi kami menghubungi pasukan penyelamat untuk bantuan dan sehingga kini masih menununggu untuk dibawa ke pusat pemindahan sementara.
"Air begitu deras dan bot biasa sudah tidak dapat masuk ke sini yang menyebabkan kami terperangkap.
"Keadaan sekarang masih hujan dan kami bimbang paras air semakin naik. Justeri kami berharap pasukan penyelamat dapat membawa kami ke PPS dengan kadar segera," katanya ketika dihubungi.
Katanya, mereka penduduk di kampung berkenaan sudah bergelap sejak tiga hari lalu dan berharap urusan mereka dipermudahkan untuk ke PPS.
KOTA BHARU: Hujan lebat berterusan di Kelantan menyebabkan paras air di tujuh sungai terus melepasi tahap bahaya.
Sungai terbabit ialah Sungai Melor di Jambatan Melor, Sungai Kelantan di Tambatan Diraja, Sungai Golok di Rantau Panjang, Sungai Semerak di Pasir Putteh.
Selain itu, Sungai Kelantan di Kusial, Sungai Golok di Kuala Jambu dan Sungai Kelantan di Kusial Baru.
Sementara itu, paras air di tiga sungai pula melepasi tahap amaran, iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Gakas di Chegar Lapan dan Sungai Pahi di Kampung Pahi.
Pada masa sama, paras air tujuh sungai mencatat bacaan melepasi tahap berjaga-jaga.
Setakat jam 10.30 pagi ini, hujan lebat masih berterusan di Kelantan.
KUALA KRAI: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya - itu keadaan yang dialami hampir 200 penduduk Kampung Mial, di sini, apabila sekurang-kurang 37 rumah telah ditenggelami banjir hingga paras bumbung.
Setakat ini, kampung berkenaan sudah dinaiki air mencecah lebih lima meter (m) susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.
Penduduk, Hanapi Ali, 64, berkata lebih-lebih lagi kampung berkenaan dikelilingi sungai menyebabkan limpahan airnya memenuhi kawasan penempatan itu.
Katanya, hasil tinjauan dilakukan penduduk sendiri mendapati 37 daripada 60 kediaman di kampung itu hanya tinggal nampak bumbung, setakat pagi semalam.
Malah, beliau berkata, penduduk di beberapa perkampungan juga terputus hubungan selepas jambatan yang menjadi laluan utama untuk ke Bandar Kuala Krai ditenggelami banjir.
"Situasi banjir kali ini adalah di luar jangkaan. Penduduk berharap hujan segera reda kerana bimbang kejadian bencana sama 10 tahun lalu kembali berulang," katanya.
Hanapi memaklumkan, rumahnya ialah antara kediaman yang ditenggelami banjir hingga ke paras bumbung, dan beliau sekeluarga kini berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPD) Balai Raya Kampung Mial.
"Bagaimanapun, kami sekeluarga reda dengan ujian daripada Allah SWT dan berharap keadaan kembali seperti biasa dalam masa terdekat," katanya.
