PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Seksyen ICT

Amaran hujan tahap bahaya di Kelantan, Terengganu dan Pahang

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya yang diramalkan berlaku di seluruh Kelantan dan Terengganu serta daerah Kuantan dan Jerantut di Pahang hingga esok.

MetMalaysia dalam kenyataan turut memaklumkan hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku di Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling), Perak (Hulu Perak) dan beberapa kawasan di Pahang membabitkan Cameron Highlands, Lipis, Maran, Pekan dan Rompin, hingga esok.

"Hujan berterusan tahap waspada pula dijangka melanda Kedah (Langkawi, Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar) dan Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Maran, Pekan dan Rompin).

"Amaran hujan berterusan tahap waspada juga dikeluarkan bagi Segamat, Mersing dan Kota Tinggi di Johor serta Telupid, Beluran, Sandakan dan Kudat, Sabah, hingga esok," kata MetMalaysia dalam kenyataan.

Bilangan penduduk terjejas akibat banjir di enam negeri dilaporkan meningkat apabila 35,426 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pagi tadi.

Berdasarkan maklumat portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 305 PPS telah dibuka di Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, Johor dan Perak.

Kelantan mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 29,113 orang yang ditempatkan di 305 PPS di sembilan daerah iaitu Pasir Mas, Kuala Krai, Jeli, Machang, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Bachok dan Tumpat.

Ia menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda berbanding 12,526 mangsa banjir di Kelantan, berbanding petang semalam.

Jumlah mangsa banjir juga meningkat di Terengganu, daripada 1,851 semalam kepada 5,906 pada 8 pagi tadi. Mereka ditempatkan di 144 pusat perlindungan di enam daerah.

Keadaan juga bertambah buruk di Kedah dan Perlis, yang masing-masing mencatatkan seramai 180 dan 179 orang mangsa.

Di Perak dan Johor, jumlah mangsa banjir masing-masing kekal 20 dan 28 orang.

Banjir: Tak perlu isytihar darurat di Kelantan

Kota Bharu: Tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat bencana banjir di Kelantan berikutan keadaan banjir masih terkawal.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) (Pengurusan) Datuk Ab Pattah Hasbullah, berkata darurat hanya akan diisytiharkan sekiranya situasi banjir tidak terkawal dan semakin memburuk.

"Masih terlalu jauh untuk menentukan ke arah pengisytiharan darurat. Untuk isytihar darurat memerlukan banyak proses iaitu kita mengadakan mesyuarat bencana di peringkat negeri.

"Dalam mesyuarat kita berbincang dan akan maklum kepada Menteri Besar Kelantan situasi semasa sebelum dibawa ke peringkat Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

"Nadma pula akan memaklumkan situasi semasa kepada Perdana Menteri untuk menentukan sama ada perlu darurat atau tidak," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun 10 daerah di Kelantan terjejas banjir namun ia masih terkawal kerana pelbagai persiapan bencana sudah diatur daripada awal.

"Peristiwa bah kuning pada 2014 kita isytihar darurat kerana waktu itu paras ketinggian air di Tangga Krai mencecah 34.1 meter.

"Namun paras sungai di kawasan itu hanya berketinggian 10 meter dan jauh lagi daripada paras bahaya.

"Ketika ini memang ada beberapa sungai di Kelantan mencecah paras bahaya tetapi masih dalam kawalan dan jauh lagi daripada tragedi bah kuning 2014.

"Apabila sesuatu darurat diisytiharkan segala aset-aset dan peruntukan akan diuruskan oleh Kerajaan Persekutuan," katanya.

Ditanya mengenai siren yang dibunyikan di Menara Tinjau Tambatan Diraja, Ab Pattah berkata siren berkenaan mengalami gangguan teknikal.

"Orang ramai diminta tidak panik dan membuat sebarang spekulasi," katanya.

 

Laluan ke Rantau Panjang dari Jambatan Lubok Jong ditutup

PASIR MAS: Pihak polis Pasir Mas menutup laluan menghala ke Rantau Panjang bermula dari Jambatan Lubok Jong mulai petang ini.

Laluan itu ditutup kepada semua jenis kenderaan kecuali pengangkutan milik pasukan penyelamat.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pasir Mas menerusi laman Facebook memohon kerjasama daripada semua pihak untuk patuh kepada arahan semasa.

“Jangan merumitkan lagi keadaan supaya pihak pasukan penyelamat dapat melaksanakan tugas tanpa sebarang masalah,” katanya.

Sementara itu, paras Sungai Golok di Rantau Panjang semakin meningkat kepada 11.63 meter (m) sehingga jam 2 petang iaitu melebihi paras bahaya 9m.

Keadaan itu menyebabkan semakin ramai penduduk di Rantau Panjang dan Pasir Mas berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang kini mencecah 13,539 mangsa yang berada di 44 PPS.

Paras air Sungai Golok itu jauh lebih tinggi jika dibandingkan banjir bah kuning pada 2014 hanya merekodkan bacaan 10.84 m saja.

 

Operasi tren KTMB di Pantai Timur terjejas akibat banjir

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan Perkhidmatan tren KTM Intercity di laluan Pantai Timur terjejas susulan keadaan banjir dan tanah mendap di beberapa kawasan yang menjejaskan operasi tren penumpang.

Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha, berkata setakat hari ini kawasan yang dikenal pasti tidak selamat untuk perkhidmatan kereta api akibat paras air melebihi tahap rel adalah di KM493 hingga KM490.85 iaitu antara Pasir Mas dan Tanah Merah.

Katanya, perkhidmatan KTM Intercity untuk perjalanan ke Pantai Timur membabitkan tren Ekspres Rakyat Timuran No 27 bagi laluan JB Sentral ke Tumpat dibatalkan mulai malam tadi.

“Hari ini perkhidmatan tren yang turut terjejas adalah Ekspres Rakyat Timuran No 26 dan No 27 bagi laluan laluan JB Sentral-Tumpat-JB Sentral dan Shuttle Timuran laluan Kuala Lipis-Gua Musang-Tumpat akibat ditenggelami banjir.

“Perkhidmatan tren terpaksa dibatalkan demi keselamatan penumpang dan kami akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi penumpang yang terkesan dan tidak meneruskan perjalanan, KTMB akan memberikan pemulangan tambang penuh.

Katanya, pemakluman mengenai penutupan laluan serta maklumat terkini akan disalurkan secara berterusan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan hebahan di media sosial rasmi KTMB.

“Sebagai langkah responsif, KTMB mengaktifkan bilik gerakan banjir serta merta di sektor Pantai Timur untuk memantau pergerakan tren serta memberikan kemas kini situasi yang berlaku.

“Bagaimanapun, langkah persediaan KTMB bukan sahaja tertumpu kepada operasi pergerakan tren ketika banjir, tetapi turut membabitkan pelan bantuan kepada mangsa banjir di stesen KTMB.

“Usaha ini bertujuan memastikan bantuan dapat disalurkan secara sistematik, pantas dan berkesan,” katanya.

Selain itu, Mohd Zain berkata, KTMB menjalankan pemantauan risiko banjir dengan merujuk laporan harian daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

Katanya, keutamaan turut diberikan kepada lokasi-lokasi yang kerap terjejas akibat banjir.

“KTMB juga terus bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan seperti Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memastikan tindakan penyelamatan dan pengurusan insiden dapat dilaksanakan dengan efisien.

“KTMB juga menggerakkan aset-aset kritikal seperti troli rel untuk memantau paras air di sepanjang laluan utama dan lokasi-lokasi yang berisiko tanah runtuh.

“Pelbagai peralatan tambahan untuk kegunaan semasa banjir juga disediakan, termasuk peralatan keselamatan, komunikasi dan bantuan kecemasan,” katanya.

Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200; layari laman sesawang rasmi di www.ktmb.com.my atau mengikuti saluran media sosial rasmi KTMB untuk informasi terkini.

Jabatan, agensi diminta tangguh mesyuarat di Kelantan & Terengganu

PUTRAJAYA: Semua jabatan dan agensi kerajaan diminta untuk menangguhkan penganjuran kursus atau mesyuarat di Kelantan serta Terengganu susulan keadaan banjir di dua negeri tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu supaya mengelak mereka menjadi mangsa bencana berkenaan.

“Kita mohon juga supaya hotel-hotel penginapan diberikan keutamaan kepada pegawai dan anggota penyelamat dahulu.

“Ini kita terpaksa lakukan kerana kita memberikan keutamaan kepada mangsa-mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kecemasan bencana banjir bersama agensi berkaitan, di sini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara (JPBN) melahirkan kebimbangan berikutan ramalan air pasang besar pada minggu depan khususnya di Pantai Timur Semenanjung.

Justeru, beliau meminta JPBN, agensi berkaitan dan badan bukan kerajaan (NGO) diatur gerak supaya risiko banjir dapat dikurangkan.

“Walaupun setakat ini di Pahang dan Johor belum terjejas (banjir) tetapi kita jangkakan di awal Disember, Pahang dan Johor akan terjejas kerana menerima luruan hujan dan juga air di sungai yang akan melimpah daripada Terengganu ke Pahang dan air sungai daripada Pahang akan melimpah ke Johor.

“Tindakan kita mengikut panduan daripada Jabatan Meteorologi (METMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam perkara ini untuk mengatur gerak ke kedua-dua negeri ini tetapi keutamaan kita sekarang adalah untuk Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Pada masa sama, beliau meminta ibu bapa memantau keselamatan anak mereka. Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid menegaskan, aspek kawalan di sempadan tidak dikompromi meskipun negara dilanda banjir.

“Dari segi kawalan itu tetap berjalan sebab kita ada anggota Rejimen Sempadan dan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terus mengadakan kawalan di sempadan-sempadan,” katanya.

Terdahulu, Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, lima daripada 13 pos statik PGA dalam penugasan Op Taring Wawasan di sempadan Malaysia-Thailand, Sungai Golok telah ditutup akibat terjejas banjir.

Beliau berkata, kelima-lima pos berkenaan ditutup kerana dinaiki air hingga paras lantai dan mengancam keselamatan anggota PGA yang bertugas.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search