PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Seksyen ICT

Kerajaan siap siaga tahap tertinggi hadapi banjir lebih teruk berbanding 2014

PUTRAJAYA: Kerajaan bersiap siaga tahap tertinggi untuk menghadapi jangkaan banjir lebih teruk di Pantai Timur Semanjung tahun ini berbanding banjir besar pada 10 tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, lebih 82,000 anggota pelbagai agensi dan lebih 5,000 aset telah diaturgerakkan termasuk penyediaan lebih 30,000 jaket penyelamat.

“Keadaan banjir kali ini dijangkakan lebih berat daripada tahun 2014 dahulu.

“Kesiapsiagaan yang kita lakukan ini apabila ada sistem amaran awal yang telah dilakukan oleh Jabatan Meteorologi (METMalaysia).

“Untuk itu kita cuba mengelakkan daripada bencana kepada mangsa lebih teruk kerana kesiapsagan ini telah kita lakukan
lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kecemasan bencana banjir bersama agensi berkaitan, di sini.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, sebanyak 8,481 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dikenal pasti di seluruh negara yang boleh menampung 2.1 juta mangsa.

Daripada jumlah itu, sebanyak 448 PPS di Kelantan yang mampu menampung 175,000 mangsa manakala sebanyak 739 PPS di Terengganu untuk menampung 214,000 mangsa.

Sementara itu, ujarnya, beliau telah menghubungi Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud mengenai kerjasama di antara Kerajaan Pusat dan Negeri.

“Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) telah diaturgerakkan dan bekalan makanan mencukupi.

“Bila saya berhubung dengan Menteri Besar Kelantan kerana mereka akan masak secara gotong-royong, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan NADMA telah memobilisasikan bekalan makanan sedia ada dan kita lakukan tambahan (bekalan) untuk diaturgerakkan di kawasan terjejas,” katanya.

Tambahnya, setakat ini, jajahan paling terjejas bencana tersebut adalah di Pasir Mas dan Tanah Merah di Kelantan.

Pada masa sama, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, pihaknya turut mengambil pendekatan di luar kotak dengan membenarkan pegawai daerah atau ketua jajahan menggunakan budi bicara untuk membuka penempatan yang tidak berdaftar dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai PPS.

Jelas beliau, keselamatan mangsa menjadi keutamaan.

“Ada PPS yang telah berdaftar dengan NADMA tetapi ada kawasan yang kita tidak jangka banjir, tetapi (berlaku banjir) dan tidak ada PPS. Maka kita benarkan untuk buka. Itu bergantung kepada kriteria yang diguna pakai oleh pengerusi jawatankuasa bencana di
peringkat jajahan atau peringkat daerah,” katanya.

Berdasarkan info bencana JKM, setakat jam 3.15 petang, seramai 49,017 mangsa daripada 14,901 keluarga ditempatkan di 400 PPS di enam negeri terjejas.

Enam negeri itu ialah Kelantan, Terengganu, Perak, Johor, Perlis dan Kedah.

 

Banjir: Johor gazet 669 sekolah sebagai PPS, tetapkan SOP bagi pusat peperiksaan SPM

ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 669 sekolah di Johor telah digazetkan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) dalam langkah kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin, berkata jumlah itu termasuk 143 sekolah menengah di serata negeri ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sudah melakukan penyelarasan dan persediaan rapi, terutama berkait pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang digazetkan sebagai PPS atau sekolah yang terjejas akibat banjir.

"JPN mencadangkan supaya sekolah rendah yang dijadikan PPS, dibuka dahulu jika berlaku banjir, berbanding sekolah menengah terutama pusat peperiksaan SPM.

"Kita tidak mahu mengganggu sekolah menengah, terutama pusat peperiksaan SPM yang akan bermula 2 Disember ini. Namun sekiranya bencana berlaku tidak dijangka dan terpaksa dibuka sebagai PPS, sudah ada produser operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Ia termasuk kaedah susun atur pusat peperiksaan di mana dewan peperiksaan akan diletakkan di aras tinggi. Bagi sekolah yang terjejas banjir pula, kita akan memindahkan pelajar ke pusat peperiksaan lain," katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh di Malaysia, dilaporkan bermula 5 November lalu dan dijangka berterusan hingga Mac 2025.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, dipetik berkata MTL kali ini diramalkan membawa lima hingga tujuh episod hujan lebat.

Mengulas lanjut, Aznan berkata, aspek atur gerak pelajar terjejas banjir juga telah diselaraskan sejajar saranan Menteri Besar yang mahu ia dilakukan lebih awal sebagai persediaan rapi menghadapi bencana itu.

"Agensi kerajaan, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pengangkutan Awam Johor (PAJ), akan dikerah jika timbul keperluan untuk perkhidmatan trak, bas dan sebagainya supaya calon SPM yang terjejas banjir tidak ketinggalan menduduki peperiksaan itu," katanya.

 

Banjir di Kelantan: 60 rumah di Kampung Tersang hanya nampak bumbung

RANTAU PANJANG: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Itu situasi dialami lebih 300 penduduk di Kampung Tersang di sini, apabila 60 rumah di kawasan itu ditenggelami banjir hingga paras bumbung.

Situasi di kampung itu semakin buruk sejak malam tadi selepas paras air Sungai Golok semakin meningkat dan kini mencecah 11.63 meter iaitu rekod tertinggi setakat ini.

Penduduk, Mohd Irwan Faizal, 40, berkata ketika dia sekeluarga berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To' Deh Ahad lalu, keadaan paras air belum masuk ke dalam rumah.

Bagaimanapun, katanya, sejak semalam air semakin meningkat secara mendadak dan hari ini tinjauan dilakukan di kawasan Kampung Tersang mendapati semua rumah hanya nampak bumbung.

"Ada rumah bumbung pun tenggelam. Melihat keadaan rumah, saya hilang kata-kata kerana terlalu sedih namun sudah menjangka situasi ini akan berlaku.

"Bayangkan bulan Januari tahun ini rumah kami di sini sudah tenggelam, tidak sampai setahun rumah tenggelam sekali lagi.

"Mungkin lama-lama rumah boleh roboh akibat reput disebabkan ditenggelami banjir dalam tempoh agak lama," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, melihat kepada keadaan rumah dengan paras air yang begitu tinggi sudah tentu barangan berharga yang ditempatkan di atas para turut tenggelam.

"Kami penduduk di Kampung Tersang semua berpindah di PPS SK Gual To' Deh dan kini hanya mampu memandang keadaan rumah dengan linangan air mata," katanya.

 

Buat solat hajat doakan mangsa banjir, kesejahteraan negara - Menteri Agama

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) meminta masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan buat negara serta seluruh mangsa yang terjejas akibat banjir yang sedang melanda beberapa negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata beliau turut mengeluarkan arahan sama membabitkan masjid-masjid utama di bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan masjid serta surau Jumaat di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

"Susulan situasi banjir yang sedang melanda beberapa negeri ketika ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) meminta masjid-Masjid di bawah pentadbiran JAKIM iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya untuk mengadakan solat hajat pada malam ini selepas solat Isyak dan juga esok, 29 November 2024, selepas Solat Jumaat.

"Ini bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan buat negara juga seluruh mangsa yang terjejas.

"Pada masa sama, masjid dan surau Jumaat di bawah kelolaan JAWI turut diminta untuk mengadakan solat hajat pada waktu berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Na'im turut meminta semua pihak supaya berhati-hati serta mematuhi arahan semasa dikeluarkan pihak berkuasa.

Beliau turut menitipkan doa agar seluruh mangsa banjir diberikan ketabahan dengan dugaan yang dihadapi ketika ini.

"Penghargaan juga dizahirkan kepada petugas barisan hadapan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan seluruh agensi yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir," katanya.

Untuk rekod, mengikut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir di lima negeri iaitu Kelantan, Kedah, Perak, Perlis dan Terengganu terus mencatatkan peningkatan.

Setakat 6.26 petang tadi, jumlah mangsa terjejas meningkat kepada 59,017 orang dengan Kelantan merekodkan angka tertinggi iaitu 48,159 orang.

 

Terkini Banjir: Hampir 40,000 mangsa banjir dipindahkan, Kelantan paling ramai

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di seluruh negara mencecah seramai 39,677 orang dengan 12,107 keluarga kini ditempatkan di 345 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri.

Data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan, negeri Kelantan mencecah jumlah teramai dengan 32,858 mangsa di 10 daerah. Ia membabitkan 989 keluarga dan sejumlah 166 PPS dibuka.

“Di Terengganu pula seramai 6,133 mangsa dan 162 PPS, Kedah (443 mangsa,12 PPS), Perlis (195 mangsa, 3 PPS), Johor (28 mangsa,1 PPS) dan Perak (20 mangsa,1 PPS),” katanya.

JKM berkata, lelaki dewasa yang dipindahkan adalah berjumlah 12,942, wanita (14,020), kanak-kanak lelaki (5,959), kanak-kanak perempuan (5,686), bayi lelaki (572) dan bayi perempuan (498).

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search