52,162 terjejas banjir
- Admin UKK
- Berita
Banjir yang melanda enam negeri bertambah buruk sekali gus menyaksikan seramai 52,162 mangsa membabitkan 15,958 keluarga terjejas setakat jam 4 semalam.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan terus merekodkan angka tertinggi iaitu 42,870 mangsa membabitkan 13,024 keluarga, dengan sebanyak 190 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di 10 daerah.
Manakala di Terengganu, seramai 8,081 mangsa daripada 2,496 keluarga ditempatkan di 197 PPS di tujuh daerah.
Di Kedah, sebanyak 17 PPS dibuka yang menempatkan sekitar 873 mangsa daripada 339 keluarga.
Sementara di Perlis, empat PPS dibuka bagi menempatkan 290 orang mangsa, manakala masing-masing satu PPS dibuka di Johor (28 mangsa) dan Perak (20 mangsa).
Daripada jumlah keseluruhan mangsa banjir, seramai 17,111 (32.79 peratus) adalah lelaki dewasa, 18,206 (34.89 peratus) perempuan dewasa; 7,926 (15.19 peratus) kanak-kanak lelaki; 7,522 (14.42 peratus) kanak-kanak perempuan; 739 (1.42 peratus) bayi lelaki; dan 677 (1.3 peratus) bayi perempuan.
Seterusnya, 1,711 (3.28 peratus) lelaki warga emas; 2,020 (3.87 peratus) wanita warga emas; 955 (1.83 peratus) orang kurang upaya (OKU) lelaki dan 550 (1.05 peratus) OKU perempuan.
Kuala Lumpur:
Dua jenis bantuan bencana disediakan Kerajaan Persekutuan melalui peruntukan yang disalurkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada semua negeri dilanda banjir iaitu Bantuan Wang Ihsan dan Bantuan Wang Ihsan Kematian.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bantuan Wang Ihsan adalah sumbangan RM1,000 untuk ketua isi rumah yang terjejas akibat bencana dan berpindah atau berdaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Manakala, Bantuan Wang Ihsan Kematian adalah sumbangan RM10,000 untuk waris kepada mangsa yang meninggal dunia akibat bencana.
“Sekiranya berlaku banjir besar di luar jangka, NADMA bersedia untuk menyalurkan peruntukan tambahan sekiranya diperlukan mengikut permohonan oleh negeri berdasarkan jumlah sebenar ketua isi rumah yang terjejas akibat bencana,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia mengaktifkan 8,481 PPS untuk menempatkan 2.1 juta mangsa di seluruh negara.
Katanya, seramai 82,794 pegawai dan anggota pelbagai cabang agensi Kerajaan
di semua peringkat berada dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya untuk menghadapi bencana banjir.
Katanya, sebanyak 37,127 unit pelbagai aset turut disediakan membabitkan bot penyelamat (2,031); jentera kenderaan 4x4 (1,399); jentera kenderaan berat (1,646); helikopter (31); jaket keselamatan pelbagai saiz untuk kegunaan mangsa (30,260) dan jambatan panel keluli bermodular (1,760).
“Pihak JKM juga memaksimumkan 774 Fasiliti Penyimpanan Bantuan Bencana di seluruh negara mulai bulan September dan Oktober bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
“NADMA turut menyalurkan peruntukan bantuan bencana berjumlah
RM232 juta kepada semua negeri bagi tujuan diagihkan kepada Ketua Isi Rumah mangsa bencana yang terjejas dan memenuhi syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, semalam.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai tahap kesiapsiagaan oleh NADMA pengurusan banjir bagi mempertingkatkan tahap keselesaan pusat pemindahan sementara.
Persiapan lebih baik hadapi banjir
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera agensi Persekutuan dan negeri bagi menghadapi banjir.
Anwar berkata, langkah itu bagi memastikan tahap keselamatan serta kebajikan mangsa banjir terpelihara sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) bermula bulan ini hingga Mac tahun depan.
Katanya, kerajaan juga memberi keutamaan tertinggi kepada penduduk di kawasan terkesan.
“Izinkan saya maklumkan masalah negara iaitu situasi banjir semasa enam negeri terkesan banjir ketika ini (semalam) membabitkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Johor dan Perak.
“Setakat 9.32 pagi (semalam), jumlah mangsa banjir meningkat kepada 37,189 mangsa membabitkan 11,385 keluarga di enam negeri dengan 322 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.
“Kelantan merekodkan mangsa banjir tertinggi membabitkan 30,582 orang (9,223 keluarga) dengan 157 PPS dibuka di sembilan daerah di negeri itu,” katanya menerusi pemakluman sebelum Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat
semalam. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua jentera yang mengurus banjir diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya ucapkan terima kasih kepada TPM 1 dan Nadma serta seluruh jentera termasuk kerajaan negeri yang memberikan kerjasama serta (menjalankan) persiapan lebih baik tahun ini,” katanya.
Kuala Lumpur: Lebih 60,000 penduduk sudah dipindahkan setakat petang semalam, akibat banjir Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang merebak, membabitkan enam negeri dengan Kelantan paling teruk terjejas.
Walaupun deruan angin MTL hanya dirasai penduduk negeri di Pantai Timur, namun hujan lebat berterusan menyaksikan banjir turut melanda Kedah, Perlis dan Perak yang terletak di Pantai Barat.
Bagi mangsa banjir di beberapa kawasan terjejas di Kelantan, mereka merasakan bencana yang melanda kali ini lebih buruk dari situasi pernah dialami ketika Bah Kuning pada 2014.
Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang meningkat kepada 11.63 meter (m) pada jam 2 petang semalam, melebihi paras bahaya 9m, menyebabkan semakin ramai penduduk sekitar Rantau Panjang dan Pasir Mas berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang kini mencecah 13,539 mangsa yang berada di 44 PPS sekitar daerah itu.
Paras air Sungai Golok itu jauh lebih tinggi jika dibandingkan ketika banjir Bah Kuning hanya merekodkan bacaan 10.84m sahaja.
Limpahan air Sungai Golok menyebabkan seluruh kawasan perniagaan di pekan Rantau Panjang lumpuh dengan laluan masuk ke situ ditutup oleh polis bermula dari Jambatan Lubok Jong dan ia hanya boleh dimasuki kenderaan pasukan penyelamat sahaja.
Arus deras banjir yang melanda menyebabkan dua beranak wanita menempuh detik cemas apabila terpaksa berpaut pada pokok selama lima jam selepas perahu yang dinaiki mereka terbalik akibat arus deras di Kampung Tasek, Lubok Gong di sini, ketika cuba keluar dari situ pada jam 9 malam kelmarin.
Mereka bernasib baik apabila diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang yang memasuki kampung itu bagi menyelamatkan penduduk Orang Kurang Upaya (OKU) yang terperangkap banjir pada jam 12 tengah malam, sebelum dimaklumkan mengenai nasib mereka dua beranak itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa, berkata dua beranak itu termasuk seorang remaja perempuan ditemui dalam keadaan berpelukan sambil berpaut pada sebatang pokok ketika diselamatkan dalam arus deras.
Situasi buruk itu diakui penduduk Kampung Bukit Kuang, Tanah Merah, Mohd Naram Mat Jusoh, 50, yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bukit Kuang tengah hari semalam, selepas halaman rumahnya ditenggelami banjir sedalam 0.5 meter dalam tempoh yang singkat.
“Kampung Bukit Kuang dikategorikan tempat tinggi kerana hanya sekali dilanda banjir iaitu pada 2014. Ketika itu saya berada di Kuala Lumpur dan terselamat daripada berpindah ke PPS. Tahun ini kali pertama saya berpindah ke PPS,” katanya.
Penduduk Kampung Batu Garam, Mek Yam Awang Hamat, 66, berkata sepanjang usianya, ini adalah kali kedua dia berpindah ke PPS selepas kediamannya dinaiki air semalam.
“Kali pertama saya berpindah adalah pada 2014, ketika itu air di halaman rumah mencecah lebih 1 meter namun belum memasuki dalam rumah. Semalam pertama kali paras air masuk ke dalam rumah menyebabkan saya dan cucu berpindah,” katanya.
Kira-kira 500 penduduk empat kampung iaitu Dusun Ban, Pasir Jering, Batu Pagar dan Dusun Bunut dalam daerah Kuala Krai terputus hubungan apabila Jambatan Pasir Jering sepanjang 40 meter ditenggelami air sedalam enam meter susulan hujan lebat berterusan sejak tiga hari lalu.
Tak perlu isytihar darurat
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) (Pengurusan) Datuk Ab Pattah Hasbullah, menegaskan tiada keperluan mengisytiharkan darurat bencana banjir berikutan keadaan masih terkawal.
“Walaupun 10 daerah di Kelantan kini terjejas banjir namun masih terkawal kerana pelbagai persiapan bencana sudah diatur daripada awal. Peristiwa Bah Kuning pada 2014 hingga kita isytihar darurat kerana waktu itu paras ketinggian air di Tangga Krai mencecah 34.1 meter.
“Namun ketika ini, paras sungai di kawasan itu hanya berketinggian 10 meter dan jauh lagi daripada paras bahaya. Ketika ini memang ada beberapa sungai di Kelantan mencecah paras bahaya tetapi masih dalam kawalan dan jauh lagi daripada tragedi bah kuning 2014,” katanya.
Sehingga jam 6 petang semalam, seramai 47,543 mangsa banjir membabitkan 14,494 keluarga dipindahkan ke 202 PPS seluruh Kelantan.
Di Terengganu, mangsa banjir terus meningkat kepada 14,111 orang dipindahkan ke 190 PPS sehingga jam 4 petang semalam dengan tujuh daerah terjejas.
Daerah Besut paling teruk terjejas apabila 5,076 mangsa dipindahkan terdiri daripada 1,370 keluarga yang ditempatkan di 69 buah PPS.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata seorang warga emas menjadi korban pertama bencana yang melanda negeri itu, apabila ditemukan lemas ketika memukat dalam kawasan sawah padi di Kampung Amir di sini, semalam.
Katanya, mayat Tuan Jusoh Tuan Hassan, 66, ditemukan jam 10.10 pagi pada jarak lima meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Osman Abdullah, menjangkakan sebanyak 41 kampung, terutamanya berhampiran pantai berisiko dilanda banjir di negeri ini mulai hari ini.
“Pertembungan air pasang besar dan hujan serta aliran air ke hilir yang dijangka boleh menyebabkan kampung berhampiran pantai berisiko dilanda banjir. Air pasang besar setinggi di antara 2.5 meter
hingga 3.6 meter dijangka bermula jam 9 malam hingga Ahad ini boleh menyebabkan berlakunya banjir pantai,” katanya.
Sebanyak 18 sekolah di empat daerah Terengganu terpaksa ditutup selepas dinaiki air susulan hujan lebat yang melanda sejak kelmarin.
Di Kedah, penduduk daerah Kuala Nerang menganggap banjir yang melanda kali ini sama seperti 14 tahun lalu yang ketika itu menyebabkan pekan itu lumpuh.
Tinjauan mendapati Jalan Semeliang, Jalan Kampung Tanjung Kiri, Kampung Tanjung Kanan, Kampung Bendang Raja, Jalan Kuala Nerang ke Naka, Simpang Tiga Bukit Gedung, Jalan Sungai Kap menghala ke Tanjung Piring untuk ke Pekan Kuala Nerang terputus disebabkan limpahan Sungai Padang Terap.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata banjir yang melanda negeri itu dijangka merebak ke beberapa kawasan lain dalam tempoh terdekat berikutan limpahan air dari sungai dan empangan.
“Walaupun hujan sudah berhenti tapi hujan berlarutan sepanjang dua hari dua malam, berlaku limpahan air di empangan dan sungai yang akan mengalir ke kawasan rendah,” katanya selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah semalam.
Di Kedah, sebanyak 19 PPS dibuka yang menempatkan sekitar 1,123 mangsa daripada 368 keluarga, manakala empat PPS dibuka di Perlis bagi menempatkan 310 mangsa, sementara masing-masing satu PPS dibuka di Johor (28 mangsa) dan Perak (20 mangsa).
Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak bahawa keselamatan nyawa dan kebajikan rakyat di kawasan yang terjejas banjir, perlu menjadi keutamaan ketika bencana itu melanda sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) ini.
Susulan keutamaan itu, Perdana Menteri mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memperkemas penyelarasan jentera Kerajaan Persekutuan dan negeri sepanjang tempoh MTL melanda sejak 5 November lalu hingga Mac tahun depan.
Dalam makluman di Dewan Rakyat semalam, beliau memberitahu, banjir yang sedang melanda enam negeri ketika ini, menyaksikan Kelantan mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi, berbanding Terengganu, Kedah, Perlis, Johor dan Perak.
“Saya juga ucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, NADMA dan seluruh jentera termasuk kerajaan negeri yang memberi kerjasama persiapan lebih baik tahun ini,” katanya.
Sementara itu, mengambil kira situasi banjir terkini yang kian meruncing, Perdana Menteri turut memutuskan menangguhkan dahulu program beliau yang dijadualkan berlangsung di Tasik Kenyir, Terengganu pada hujung minggu ini.
“Sempat ketemu Menteri Besar Terengganu (Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) usai sesi soal jawab di Parlimen tadi, untuk berbincang terkait program kami di Tasik Kenyir hujung minggu ini. Mengambil kira situasi banjir terkini yang kian meruncing di Terengganu, saya memutuskan untuk menangguhkan dahulu rencana itu.
“Saat ini, kepedulian terhadap kebajikan rakyat yang terkesan dengan bencana ini menjadi keutamaan dan perlu diuruskan sebaiknya. Moga mangsa banjir di semua negeri terbabit terus tabah dalam menghadapi musibah ini,” katanya menerusi aplikasi Telegram.
Bencana dijangka lebih buruk
Sementara itu, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kecemasan bencana banjir di Putrajaya, petang semalam, Ahmad Zahid berkata, tahap kesiapsiagaan jentera kerajaan di semua peringkat kini dipertingkatkan ke tahap tertinggi, memandangkan bencana itu dijangka lebih buruk berbanding kejadian pada 2014.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, berkata 82,794 pegawai dan anggota diatur gerak bagi menghadapi banjir di beberapa negeri terjejas khususnya di Pantai Timur.
Katanya, kerajaan mengenal pasti 8,481 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu menampung 2.1 juta mangsa di seluruh negara bagi menghadapi MTL kali ini.
“Di Kelantan, kita ada 448 PPS boleh menampung 175,000 orang, manakala Terengganu mempunyai 749 PPS untuk menampung kira-kira 214,000 mangsa.
“Jadi dalam keadaan (banjir) yang begitu, kerjasama semua pihak sudah dimobilisasikan (memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa banjir),” katanya
Ahmad Zahid berkata, pelbagai aset pasukan keselamatan turut digerakkan, antaranya 2,031 bot penyelamat, 1,399 kenderaan pacuan empat roda serta 31 buah helikopter.
Beliau turut mengarahkan semua agensi dan jabatan kerajaan menangguhkan segala mesyuarat atau kursus di Kelantan dan Terengganu yang kini dilanda banjir.
“Ini adalah bagi mengelakkan daripada mereka juga terkena bencana dan kita memohon agar hotel yang menjadi tempat penginapan diberikan keutamaan kepada pegawai dan anggota penyelamat tahun ini,” katanya.
Mengenai situasi banjir di Kelantan, Ahmad Zahid berkata, beliau sudah berhubung dengan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, bagi melancarkan operasi mengkoordinasikan
banjir membabitkan Kerajaan Pusat dan negeri.
“Setakat ini, Kelantan adalah kawasan yang paling terjejas akibat banjir dengan daerah paling teruk adalah Pasir Mas dan Tanah Merah. Oleh itu, kombinasi kerjasama antara semua pihak amat diperlukan,” katanya.
Beliau berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga akan dibabitkan dalam usaha menghadapi banjir, memandangkan mereka memiliki pelbagai kemahiran yang dapat membantu, terutama di PPS.
Beliau berkata, tempat yang tidak didaftarkan sebagai PPS dibenarkan untuk dibuka sebagai penempatan sementara atas budi bicara pegawai daerah, bagi memastikan kebajikan setiap mangsa banjir terjaga.
“Sekiranya ada kawasan yang tidak dijangka dilanda banjir dan tiada PPS, kita benarkan tempat itu dibuka bergantung kepada kriteria yang diguna pakai oleh pengerusi jawatankuasa bencana pada peringkat daerah,” katanya.
Terdahulu dalam jawapan di Parlimen, Ahmad Zahid berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah memaksimumkan 774 Fasiliti Penyimpanan Bantuan Bencana di seluruh negara pada September dan Oktober lalu sebagai persediaan menghadapi MTL tahun ini.
Katanya, dua jenis bantuan bencana turut disediakan Kerajaan Persekutuan melalui peruntukan disalurkan oleh NADMA kepada semua negeri iaitu Bantuan Wang Ihsan dan Bantuan Wang Ihsan Kematian.
“Bantuan Wang Ihsan ialah sumbangan RM1,000 untuk ketua isi rumah yang terjejas akibat bencana dan berpindah atau berdaftar di PPS, manakala Bantuan Wang Ihsan Kematian ialah sumbangan RM10,000 untuk waris kepada mangsa yang meninggal dunia akibat bencana.
“Sekiranya berlaku banjir besar di luar jangka, NADMA bersedia untuk menyalurkan peruntukan tambahan mengikut permohonan oleh negeri berdasarkan jumlah sebenar ketua isi rumah yang terjejas akibat bencana,” katanya.
Mengulas mengenai calon yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 2 Disember ini hingga 6 Februari depan, Ahmad Zahid berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengeluarkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi membantu semua calon berkenaan jika mereka terjejas banjir.
“Saya juga minta mangsa banjir untuk memantau anak ketika musim banjir ini,” katanya yang memberi jaminan, keselamatan sempadan negara berada pada tahap tertinggi walaupun beberapa negeri sedang dilanda banjir dengan kawalan tetap berjalan seperti biasa membabitkan penugasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
