KOTA BHARU: Sebanyak 14 lagi pencawang elektrik dihentikan bekalannya bermula 1 pagi tadi ekoran keadaan banjir yang semakin membimbangkan di sekitar Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok dan Kuala Krai.
TNB Careline melalui laman Facebooknya memaklumkan langkah penutupan bekalan itu adalah demi keselamatan pengguna setempat.
“Setakat ini kawasan yang terbabit di Kota Bharu adalah G-Orange, Sekolah Kebangsaan Kadok, Taman Sri Kulim, Pusat Usahawan Melor,Taman Jaza dan Perumahan Hutan Pasir,” menurut TNB.
Selain itu kawasan Pasir Puteh yang ditutup bekalan membabitkan DPS 9-12, BELB Sungai Gali, Kilang Bata Tasek Pauh dan Yik Tualang Tinggi.
Bagi Tanah Merah kawasan yang terbabit adalah Manal 1 dan 3, Manal Baru dan Kilang Kayu Manal sementara di Machang membabitkan Kampung Tandak, Machang Indah, Limau Hantu, Taman Sri Kelaweh, Taman Setia Kasih, LPT Tok Coba dan Wakaf Indah.
Penutupan bekalan elektrik di Pasir Mas pula membabitkan kawasan Prima Lubok Jong 1-3, Taman Desa Wirajaya 1-3, Kusar, Danau dan Serendah manakala di Bachok membabitkan Wakaf Aik serta Taman Warisan di Kuala Krai.
Dalam kenyataan sama, TNB memaklumkan jika banjir bertambah buruk, berisiko serta membahayakan keadaan, penutupan bekalan akan dilakukan di pencawang elektrik yang terbabit bagi memastikan keselamatan pengguna setempat terpelihara.
Sehubungan itu, TNB menasihatkan orang ramai agar sentiasa waspada dengan hujan lebat dan keadaan berisiko banjir dengan menjauhi pepasangan elektrik yang terendam air banjir kerana dikhuatiri berlakunya kebocoran arus.
ALOR SETAR: Bilangan mangsa banjir di Kedah terus meningkat ke 779 orang tengahari ini, berbanding 569 orang pagi tadi.
Selain Kubang Pasu dan Sik, daerah Padang Terap dan Pokok Sena turut dilanda banjir membabitkan pemindahan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah memaklumkan daerah Kubang Pasu kini merangkumi 552 mangsa dari 190 keluarga.
Mereka yang berasal dari mukim Changlun dan Temin ditempatkan di 8 PPS yang diaktifkan di daerah berkenaan. Manakala di daerah Padang Terap, 170 mangsa dari 102 keluarga sedang berteduh di 5 PPS.
Sementara itu, 34 mangsa di daerah Sik dan 23 mangsa di daerah Pokok masing-masing ditempatkan di satu PPS di daerah terbabit.
KUALA TERENGGANU: Sebanyak 31 jalan, termasuk dua jalan utama ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air berikutan hujan lebat sejak pagi semalam.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir Dr Hasli Ibrahim berkata, ia membabitkan tujuh di Besut, Hulu Terengganu (sembilan), Setiu (enam), Kemaman (lima) dan Dungun (empat).
Katanya, dua jalan utama yang ditutup adalah Jalan Seberang Jertih ke Bukit Yong sempadan Terengganu-Kelantan di Kampung Nangka, Besut yang dinaiki air sedalam kira-kira 0.8 meter (m) sejauh 600m dan Jalan Air Putih-Chukai di Kampung Tasik Biru, Kemaman yang ditenggelami air
“Selain itu, 13 lagi jalan turut ditutup secara berperingkat sejak semalam kepada kenderaan ringan.
“Antara jalan yang ditutup adalah empat di Besut, Hulu Terengganu (satu), Setiu (lima), masing-masing satu di daerah Kemaman dan Marang,” katanya.
Mengenai kejadian tanah runtuh, Hasli berkata, hanya satu laluan ditutup iaitu di Kilometer 187 hingga 189, Kenyir ke Aring selepas berlaku mendapan tanah.
KOTA BHARU: Gua Musang menjadi jajahan terbaharu banjir menjadikan semua daerah di Kelantan dilanda banjir pagi ini susulan hujan lebat berterusan.
Satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Gua Musang iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1 yang menempatkan enam mangsa daripada tiga keluarga.
Jumlah keseluruhan mangsa banjir di negeri ini juga meningkat kepada 33,163 orang daripada 9,986 keluarga sehingga 11.30 pagi ini berbanding 29,022 orang (8,745 keluarga) 8 pagi tadi.
Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa ditempatkan di 168 pusat pemindahan sementara (PPS) di 10 daerah.
BESUT: Seorang pesara Jabatan Veterinar menjadi korban pertama banjir di Terengganu selepas ditemui lemas di Kampung Amer, di sini.
Mangsa, Tuan Jusoh Tuan Hasan, 66, dikatakan pergi ke kawasan sawah padi untuk memukat ikan, sebelum lemas dibawa arus banjir. Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.15 pagi tadi.
Menurut anak mangsa, Tuan Maizan Nasuha Tuan Jusoh, ayahnya pergi ke lokasi berkenaan bersama tiga lagi rakannya dengan menaiki bot.
Dia hanya mengetahui insiden yang menimpa bapanya sekitar jam 9.15 pagi.
“Dalam 8.15 pagi dia turun Bersama empat rakan dengan naik bot. Bila sampai tempat dituju, dia turun nak pacak kayu untuk jala ikan. Dia turun sorang namun tak timbul timbul. Rakan lain yang berada di dalam bot memaklumkan kejadian kepada orang kampung dan mereka menelefon bomba untuk bantuan.” Ujarnya
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, sejurus menerima panggilan kira-kira jam 9.08, seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, mangsa dikesan sekitar jarak 5 meter (m) dari lokasi mangsa dilaporkan hilang selepas kira-kira satu jam pencarian dilakukan.
“Jarak jumpa berhampiran dengan mangsa dipercayai 5 meter dia berada di dalam air aktiviti jala ikan dan mayat dijumpai di dasar sungai.” Katanya.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
