OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Banjir di Sepanyol: Kematian meningkat kepada 205 orang

Paiporta, Sepanyol: Pasukan penyelamat pada Jumaat berkata, angka kematian akibat banjir terburuk di Sepanyol 'dalam satu generasi' meningkat kepada 205 orang, ketika lebih ramai tentera dikerahkan mencari mangsa terselamat.

Banjir yang menghanyutkan kenderaan, meruntuhkan jambatan dan menenggelamkan bandar dengan lumpur sejak Selasa lalu, adalah bencana terburuk melanda negara Eropah itu dalam tempoh beberapa dekad.

Organisasi menyelaraskan perkhidmatan kecemasan di wilayah Valencia di timur negara itu yang paling teruk terjejas akibat banjir berkenaan, mengesahkan 202 orang meninggal dunia.

Pegawai wilayah Castilla-La Mancha dan Andalusia di selatan pula mengumumkan tiga kematian di kawasan mereka.

Tanah runtuh Bukit Wawasan: kawasan terjejas diisytihar selama didiami

PUCHONG: Kawasan kejadian tanah runtuh pada 16 Disember tahun lalu di Taman Wawasan, di sini sudah boleh kembali didiami oleh penghuni sembilan kediaman yang terjejas berikutan insiden itu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling, Huzunul Khaidil Mohammed selepas lawatan rasmi bersama-sama pelbagai agensi berkaitan pada 28 Oktober lalu.

Beliau berkata, keputusan mengisytiharkan Taman Wawasan sebagai bebas bencana dan insiden tanah runtuh dibuat berdasarkan pandangan dan nasihat yang diterima daripada agensi terbabit selain mengambil kira laporan teknikal daripada Bahagian Kejuruteraan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

"Saya mengisytiharkan kawasan Jalan Wawasan 3/9, Taman Wawasan, Puchong bebas bencana tanah runtuh dan semua keluarga terlibat boleh berpindah masuk ke kediaman masing-masing berkuat kuasa hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara, Ng Sze Han berkata, kos keseluruhan kerja pembaikan kawasan tanah runtuh itu berjumlah RM12.12 juta membabitkan dua fasa utama iaitu penstabilan sementara dan penstabilan kekal, bermula dari 17 Dis 2023 hingga 24 Okt 2024.

"Pada 17 Disember 2023, MBSJ melantik kontraktor untuk melakukan kerja penstabilan sementara bagi memasang cerucuk keluli di kawasan runtuhan dan pembaikan longkang monsun itu sepanjang 83 meter.
 

"Pada 15 Mei 2024, kerja penstabilan kekal telah bermula dan mengambil masa lebih kurang enam bulan... siap sepenuhnya dalam tempoh kurang dari satu tahun untuk kawasan runtuhan yang besar, yang turut melibatkan pembinaan 'gabion wall' dan penstabilan semula cerun," kata Sze Han yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor pada sidang media perkara berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini terdapat empat keluarga memilih untuk tinggal sementara di kuarters MBSJ manakala lima lagi memilih menetap bersama saudara dan kini semua penghuni sembilan rumah boleh kembali ke kediaman mereka.

"Saya sudah dimaklumkan pada masa ini semua penduduk sedang sibuk membersihkan kediaman mereka untuk berpindah kembali dalam masa terdekat. Kediaman mereka dijamin selamat dan boleh kembali bila-bila masa bermula hari ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBSJ Dr Mohd Ariffuddin Kamari berkata, untuk kerja penyelenggaraan dan penyiasatan di tapak runtuhan, pihak MBSJ sudah mengarahkan pemaju dan pemilik tanah memeriksa kesemua keadaan.

"Pihak MBSJ juga mengarahkan pemaju dan pemilik tanah untuk menyemak parit utama serta semakan berkala di sepanjang jajaran parit utama dari Tasik Wawasan ke Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan ia masih lagi kukuh," katanya.

Pada 16 Disember 2023, kejadian tanah runtuh membabitkan kawasan longkang monsun sedia ada dan cerun di kawasan tersebut berlaku susulan intensiti hujan yang sangat tinggi, 95.5 milimeter (mm).

Insiden sudah membabitkan runtuhan seluas 0.872 hektar dan mengakibatkan sembilan rumah terjejas dengan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna MBSJ, Laman Puteri 3, di sini.

Sebanyak empat kenderaan turut tertimbus dalam runtuhan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. - BERNAMA

 
 

Persiapan menghadapi banjir

PEKERJA kontraktor melakukan kerja-kerja membersihkan parit dengan menggunakan jengkaut sebagai persiapan menghadapi banjir ketika tinjauan di Kampung Gong Kekabu hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, Monsun Timur Laut (MTL) dijangka akan bermula pada awal November 2024 dan berakhir pada Mac 2025.

Kerja-kerja pembersihan dilakukan bagi mengelakkan longkang tersumbat dan banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan.

Kerajaan mengarahkan agensi berkaitan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara, Angkatan Pertahanan Awam serta pasukan keselamatan untuk terus berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi untuk menghadapi banjir yang diramal berlaku berikutan musim Monsun Timur Laut.

 

Hujan lebat, 200,000 penduduk Jepun digesa berpindah

TOKYO: Hampir 200,000 penduduk di Jepun digesa berpindah hari ini susulan memberi amaran risiko tanah runtuh dan banjir akibat taufan yang melanda negara itu.

Agensi Meteorologi Jepun memaklumkan bahagian barat Jepun dilanda hujan lebat berserta ribut petir terkena tempias saki baki Taufan Kong-rey.

Ketika ini, 'ancaman' taufan berkenaan diturunkan status kepada sistem tekanan rendah ekstratropika.

Sehubungan itu, pihak berkuasa di bandar Matsuyama mengeluarkan amaran tahap tertinggi, lantas menasihati 189,552 penduduk di 10 daerah agar berpindah untuk keselamatan mereka.

Meskipun arahan pemindahan tidak diwajibkan, namun amaran tahap tertinggi Jepun kebiasaannya dikeluarkan apabila kemungkinan besar terdapat bencana sudah berlaku.

Terdapat ramalan sebelum ini yang menjangkakan tanah runtuh dan banjir mungkin menjejaskan kawasan barat Jepun hari ini dan timur Jepun esok.

Disebabkan hujan, operasi kereta api laju Shinkansen terpaksa dihentikan sementara antara Tokyo dan Fukuoka selatan pada waktu pagi, sebelum memutuskan untuk menangguhkan jadual perkhidmatan itu.

Taufan Kong-rey yang melanda Taiwan Khamis lalu dianggap bencana terbesar pernah membadai negara itu dalam beberapa dekad.

Ia meragut sekurang-kurangnya dua nyawa termasuk memutuskan bekalan elektrik untuk kegunaan puluhan ribu kediaman.

Menurut saintis, perubahan iklim berpunca tangan manusia dilihat menyumbang kepada peningkatan risiko dicetuskan hujan lebat kerana atmosfera yang lebih hangat menyimpan lebih banyak air. - AFP

Monsun Timur Laut dijangka bermula Selasa ini

SHAH ALAM: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut (MTL) akan bermula pada 5 November ini dan berterusan sehingga Mac 2025, dengan jangkaan lima hingga tujuh episod hujan lebat berlaku sepanjang tempoh itu.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Mohd Hisham Mohd Anip berkata, semasa fasa awal MTL dari November hingga Disember, hujan lebat dijangka melanda Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
 
Menurutnya, pada Januari hingga Februari 2025 pula, negeri yang lebih berpotensi untuk berlaku hujan lebat ialah di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
 
“Tetapi, sekiranya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri-negeri lain di Malaysia.
“Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai.
 
“Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah Mohd Hisham, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora, risiko kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kawasan utara Semenanjung dijangka mengalami kurang hujan menjelang fasa akhir MTL iaitu Januari hingga Mac 2025.
“Keadaan ini akan menyebabkan cuaca panas dan kering serta berpotensi berlakunya gelombang haba.
“Tetapi, keadaan diramal tidak seteruk seperti tahun 2024 disebabkan fenomena La Nina dijangka bermula hujung tahun ini hingga pertengahan tahun hadapan.
“Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MET Malaysia,” ujarnya. -- Sinar Harian
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search