OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Lapan lokasi dikenal pasti bina pusat pemindahan kekal, satu sudah siap

CYBERJAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sudah mengenal pasti lapan lokasi di seluruh negara yang bakal dijadikan Pusat Pemindahan Kekal (PPK) bagi menempatkan mangsa banjir.

Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata setakat ini sembilan PPK akan dibina yang mana satu daripadanya sudah siap dan boleh digunakan.

Menurutnya, PPK di Johor adalah di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, Kota Tinggi yang dibaik pulih dan dinaik taraf di mana mampu menempatkan 400 mangsa banjir.

"Kapasiti yang besar itu dapat menampung mangsa banjir di kawasan terbabit berbanding sebelum ini hanya boleh menempatkan 150 ke 190 mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS).

"Sementara lapan lagi lokasi yang dikenal pasti di Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Johor, Perak dan Pulau Pinang dalam proses tender terbuka untuk pembinaan yang mengambil masa 15 bulan untuk disiapkan," katanya pada sidang media selepas Taklimat Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL)2024/2025 di Markas Pasukan Penyelamat Khas Malaysia (SMART) Pulau Meranti, Puchong, di sini, hari ini.

Khairul Shahril berkata, proses pembinaan PPK ini adalah satu struktur yang lengkap dan memerlukan spesifikasi teknikal daripada agensi terbabit seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melihat kesesuaian serta reka bentuk.

"Proses itu mengambil masa 15 bulan kerana untuk mengenal pasti lokasi, kesesuaian tapak, proses tender kerajaan dan memenuhi kriteria jumlah penduduk akan dipindahkan.

"Buat fasa pertama ini, hanya sembilan PPK sahaja tetapi ia akan berterusan bagi memenuhi keperluan mengganti PPS sekarang ini yang menggunakan sekolah sedangkan ia tidak dibina untuk tujuan itu (PPS)," katanya.

Beliau berkata, dengan adanya PPK yang dianggarkan menelan kos setiap satu sehingga RM5 juta, diharapkan sekolah tidak lagi akan digunakan sebagai pusat pemindahan di mana lokasinya juga akan dibina berhampiran kawasan sekolah.

"Apabila ia tidak digunakan pada musim bencana, pihak sekolah boleh menggunakannya untuk tujuan kokurikulum masing-masing," katanya.

Sementara itu dalam taklimatnya semasa sesi libat urus berkenaan, Khairul Shahril berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu agensi berkenaan menyalurkan bantuan dan perkhidmatan kepada mangsa banjir pada musim MTL ini.

"NGO yang berminat boleh berdaftar dengan pihaknya melalui aplikasi Rakan Nadma agar urusan bantuan dapat diagihkan dengan lebih cekap bagi mengelakkan pembaziran

"Melalui aplikasi itu juga NGO yang terlibat boleh berkongsi maklumat mengenai atur gerak kerja dan jenis bantuan yang diperlukan di sesebuah kawasan yang dilanda banjir selain sebagai pelengkap kepada bantuan yang disediakan oleh kerajaan," katanya.

MTL: NGO berminat bantu mangsa banjir boleh daftar di aplikasi Rakan Nadma

Cyberjaya: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengalu-alukan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu agensi berkenaan menyalurkan bantuan dan perkhidmatan kepada mangsa banjir pada musim Monsun Timur Laut (MTL) ini.

Ketua Pengarah Nadma Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, NGO yang berminat boleh berdaftar melalui aplikasi Rakan Nadma agar urusan bantuan dapat diagihkan dengan lebih cekap dan pembaziran dielakkan.

"Melalui aplikasi itu juga NGO yang terlibat boleh berkongsi maklumat mengenai atur gerak kerja dan jenis bantuan yangdiperlukan di sesebuah kawasan yang dilanda banjirselain sebagai pelengkap kepada bantuan yang disediakan oleh kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Taklimat Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 di Markas Pasukan Penyelamat Khas Malaysia (SMART) Pulau Meranti, Puchong, di sini, hari ini.

Sekolah bukan dibina untuk jadi PPS, Nadma wujudkan PPK

PUTRAJAYA – Sembilan Pusat Pemindahan Kekal (PPK) bagi menghadapi banjir Monsun Timur Laut (MTL) akan diwujudkan dalam tempoh 15 bulan.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, PPK itu penting bagi mengurangkan penggunaan sekolah sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Sekolah yang dibina bukan untuk tujuan itu (menempatkan mangsa banjir) dan kita harap ia tidak lagi digunakan.

“Bagi jangka masa panjang, PPK boleh digunakan pihak sekolah untuk tujuan kokurikulum masing-masing,” jelasnya.

“Untuk fasa pertama kita tetapkan sembilan PPK dahulu dan kita memang merancang untuk membina lagi pusat pemindahan ini secara berterusan berhampiran sekolah bagi menggantikan PPS,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi libat urus persiapan kerajaan menghadapi MTL 2024/2025 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia di Pulau Meranti, di sini hari ini.

Menurut Khairul Shahril, ketika ini sebuah dewan serbaguna di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor telah dinaik taraf kepada PPK dan sedia digunakan bagi menghadapi banjir.

“Ada baki lapan lokasi PPK telah dikenal pasti dan dalam proses tender bagi menaiktaraf fasiliti serta kapasiti iaitu di Perak, Pulau Pinang, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak.

“PPK di Kota Tinggi itu sudah bersedia menerima mangsa banjir lebih ramai iaitu 400 orang berbanding 190 mangsa sebelum ini malah memiliki fasiliti serta kemudahan yang mencukupi.

“Kita sedia maklum kawasan itu sering dinaiki air malah tidak mempunyai pusat pemindahan yang besar untuk menempatkan jumlah mangsa banjir yang ramai,” katanya.
Mengulas lanjut Khairul Shahril berkata, kos maksimum bagi pembinaan sebuah PPK telah ditetapkan oleh kerajaan adalah  sebanyak RM5 juta.
 

Pada masa sama, pihaknya mengalu-alukan penyertaan badan bukan kerajaan (NGO) membantu NADMA dalam menyalurkan bantuan dan perkhidmatan kepada mangsa banjir pada musim MTL ini.

Katanya, NGO yang berminat boleh berdaftar dengan pihaknya menerusi aplikasi Rakan NADMA agar urusan bantuan dapat diagihkan dengan lebih cekap bagi mengelakkan pembaziran

“Melalui aplikasi itu juga NGO yang terlibat boleh berkongsi maklumat mengenai atur gerak kerja dan jenis bantuan yang  diperlukan di sesebuah kawasan yang dilanda banjir dan selain sebagai pelengkap kepada bantuan yang disediakan oleh kerajaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

9 lokasi pusat pemindahan kekal untuk mangsa banjir

SEPANG – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengenal pasti sembilan lokasi untuk dijadikan Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPK) iaitu di Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Johor, Perak dan Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Nadma, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, daripada jumlah tersebut, setakat ini satu PPK telah siap dibina iaitu di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, Kota Tinggi di Johor boleh digunakan untuk musim banjir kali ini.

“Dewan ini dinaik taraf serta mampu menempatkan 400 mangsa banjir, berbanding sebelum ini iaitu kira-kira 150 ke 190 mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Untuk lapan lagi pusat tersebut, ia dalam proses tender terbuka untuk pembinaan serta mengambil masa 15 bulan untuk disiapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Taklimat Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 di Markas Pasukan Penyelamat Khas Malaysia (SMART) Pulau Meranti, Puchong dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, masa diambil sehingga 15 bulan bagi mengenal pasti lokasi, kesesuaian tapak, proses tender kerajaan dan memenuhi kriteria jumlah penduduk akan dipindahkan.

Katanya, selain itu, pembinaannya memerlukan spesifikasi teknikal daripada agensi-agensi yang terlibat termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melihat kesesuaian serta reka bentuk.

Sementara itu, Khairul Shahril berkata, Nadma mengalu-alukan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu agensi berkenaan menyalurkan bantuan dan perkhidmatan kepada mangsa banjir susulan musim Monsun Timur Laut (MTL).

NGO yang berminat boleh berdaftar melalui aplikasi Rakan Nadma dalam memastikan pengagihan bantuan dibuat secara cekap serta mengelakkan pembaziran. – KOSMO! ONLINE

MTL: NADMA pantau 256 cerun kritikal seluruh negara

PUTRAJAYA – Sebanyak 256 cerun kritikal di seluruh negara  telah dikenal pasti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan kini dalam pemantauan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, terdapat tiga kategori cerun telah diklasifikasikan terdiri daripada  86 kritikal tinggi, 84 kritikal sederhana dan 84 lagi kritikal rendah.

“Sabah antara negeri yang mempunyai 36 cerun kritikal diikuti Johor, Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan yang masing-masing 25 cerun.

“Kami juga menyediakan 53 stesen penanda aras gempa bumi, 10 tolok hujan, tujuh siren serta sensor seismik dan sensor wayar bagi mengesan pergerakkan tanah serta aktiviti geologi lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi libat urus persiapan kerajaan menghadapi MTL 2024/2025 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia di Pulau Meranti hari ini.
 

Dalam pada itu, katanya, NADMA juga telah mengesan 4,619 lokasi titik panas banjir di seluruh negara pada tahun ini yang turut dipantau sepanjang tempoh MTL.

Ia membabitkan 3,605 lokasi di Semenanjung, Sabah (799), Sarawak (201) dan Labuan (14) kawasan hotspot banjir.

“Lokasi itu diambilkira berdasarkan kawasan yang mengalami kekerapan tidak kurang tiga kali dalam tempoh tiga tahun terkini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM), Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, pihaknya telah mengaktifkan seramai 553 anggota untuk melakukan pelbagai tugasan.

“Kita melakukan rondaan dengan kekerapan minimum lima kali seminggu di lokasi panas sebagai persiapan menghadapi banjir atau bencana.

“Kami memanggil anggota kami dalam pasukan ini sebagai Chameleon kerana mengambil tugasan pentadbiran malah melakukan dua atau tiga perkara berkaitan bencana.

“Sepanjang 10 bulan ini, lebih 30,000 kal rondaan dibuat di seluruh negara dan apabila menemui insiden atau bencana, kita laporkan maklumat pada pihak berkuasa yang bertanggungjawab,” jelasnya.

Beliau memaklumkan, APM akan menubuhkan tugasan baharu iaitu mengenal pasti pokok berusia atau berisiko tumbang untuk dilaporkan kepada pihak berwajib bagi tindakan lanjut.  – MalaysiaGazette

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search