'Kita bersedia hadapi MTL' - Nadma
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sudah melakukan persiapan sepanjang tahun bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula esok.
MANGSA ribut di Parlimen Sekijang dua hari lalu akan mendapat bantuan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Katanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri KKDW serta turut bertanggungjawab terhadap NADMA memberikan jaminan untuk membantu penduduk yang terjejas.
“Saya maklum kepada YAB TPM berkenaan kejadian ribut yang berlaku di Sekijang dua hari lalu. Alhamdulillah, beliau beri jaminan bahawa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan NADMA akan selaras dan segerakan bantuan yang sepatutnya kepada mangsa,” katanya dalam hantaran di Facebooknya selepas mengadakan pertemuan dengan Ahmad Zahid di parlimen hari ini.
Zaliha berkata antara perkara lain yang dibincangkan adalah berkaitan persediaan menghadapi cuaca tidak menentu di daerah Segamat, khususnya di Parlimen Sekijang termasuk potensi banjir di mana ada keperluan untuk menilai pembinaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang lebih selesa.
“Selain itu, saya juga turut bangkitkan berkenaan pembinaan jambatan yang menghubungkan FELDA Medoi dan FELDA Kemelah yang memerlukan tindakan segera dari pihak KKDW.
“Secara tuntasnya, perbincangan sebentar tadi adalah positif untuk kemaslahatan rakyat di Parlimen Sekijang,” katanya.-WILAYAHKU
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu telah mengambil langkah awal bagi menghadapi risiko banjir yang dijangka menjejaskan tanaman padi di kawasan rendah yang berisiko tinggi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan, dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim, para petani disarankan untuk menepati tempoh masa penanaman, terutama bagi musim kedua.
Beliau berkata, sebelum pertengahan bulan November, semua padi seharusnya sudah dituai bagi mengelakkan kerosakan jika berlaku banjir.
“Kalau yang lewat tabur benih, lewat menuai, dan masuk edah musim banjir, memang kita tidak dapat nafikan sebab sawah padi kita ni berada di kawasan berisiko banjir dan memang berisiko untuk ditenggelami air,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Industri Padi Terengganu 2024 ” Pengurusan Tepat, Hasil Berlipat” di Dewan Perpustakaan Awam Negeri, di sini, hari ini.
Menurut Azman, salah satu langkah pencegahan yang boleh diambil ialah memastikan jadual penanaman dipatuhi.
“Kita perlu sediakan sokongan yang mencukupi, diantaranya sebelum daripada ini, kita berhadapan dengan isu kelewatan bekalan benih. Jadi lewat ni bukan salah petani kita, tapi lewat dari segi bekalan benih yang menyebabkan mereka terpaksa tunggu benih.
“Isu-isu yang dihadapi oleh petani kita ni berada di bawah bidang kuasa persekutuan. Kerajaan negeri bertindak sebagai pemudah cara untuk membantu petani kita,” jelasnya.
Ditanya mengenai kesan ribut yang berlaku baru-baru ini, beliau berkata, petani yang terjejas telah diminta membuat laporan polis serta laporan kepada Jabatan Pertanian.
“Setakat ni Jawatankuasa Bencana Padi Negeri Terengganu kita ni belum bersidang lagi untuk kita tengok jumlah (kerugian) sebenar.
“Dalam konteks tanaman padi, bantuan bencana padi datang daripada persekutuan untuk tanaman lain daripada kerajaan negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/11/2024
KUANTAN: Kerajaan Pahang beri peruntukan sebanyak RM10 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri itu bagi perbelanjaan pengurusan menghadapi bencana Monsun Timur Laut (MTL).
Pengarah JKM Pahang, Khairul Amri Ahmad berkata, bantuan berkenaan membabitkan penyediaan dan penyelenggaraan pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa bencana bagi memastikan keselesaan sepanjang mereka berada di sana.
Selain itu, katanya bantuan turut membabitkan penyediaan dan mengedar bantuan makanan, pakaian serta lain-lain keperluan asas kepada mangsa yang terpaksa berpindah selepas rumah mereka ditenggelami banjir.
Menurutnya, tumpuan turut diberikan pada proses pendaftaran mangsa bencana bagi tujuan pemulihan selain memberi bimbingan, nasihat termasuk kaunseling kepada mangsa bencana terutama bagi mereka yang kehilangan harta benda hingga menyebabkan kerugian besar.
“Tahun ini jabatan menyediakan sebanyak 858 PPS seluruh negeri ini yang mampu menampung seramai 166,295 mangsa bencana dalam satu masa yang dilengkapi pelbagai kemudahan bagi keselesaan mereka.
“Selain dewan serbaguna dan sekolah, turut dijadikan PPS ialah balai raya dan surau dengan setiap PPS mampu menempatkan antara 200 hingga 2,000 mangsa pada satu-satu masa,” katanya, dihubungi di sini semalam.
Beliau berkata, setiap mangsa banjir dibekalkan barangan makanan dan keperluan lain seperti selimut, kain, tuala, tikar, makanan sedia, lampin pakai buang dan sabun.
Khairul Amri berkata, jabatan juga telah menyediakan sebanyak 164 pangkalan hadapan bagi menempatkan barang-barang makanan kering seperti beras, minyak masak, gula, garam, kopi, teh, kari ayam, sardin dan biskut.
Katanya, pihaknya telah selesai menghantar barangan keperluan asas bencana seperti toto, selimut, tikar, tuala, kit kebersihan, kain batik, kain pelikat, makanan sedia dimakan, lampin pakai buang kanak-kanak dan dewasa ke semua stor bencana daerah pada Ogos lalu bagi persiapan menghadapi bencana banjir.
Menurutnya jabatan berharap mereka yang tinggal di kawasan rendah dan mudah berlaku banjir segera berpindah jika diarahkan pihak berkuasa bagi mengelak kejadian buruk. Mereka yang terbabit perlu berpindah pada waktu siang bagi memudahkan pihak berkuasa menyediakan kemudahan diperlukan seperti bot dan kenderaan.
“Walaupun musim tengkujuh sudah bermula namun buat masa ini tiada lagi PPS dibuka disebabkan bencana banjir. Cuma terdapat satu PPS dibuka di Dewan Komuniti Kampung Sungai Ruil, Cameron Highlands yang disebabkan akibat bencana tanah runtuh membabitkan seramai 70 mangsa daripada 12 keluarga,” katanya.