PUTRAJAYA, 8 NOV: Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengambil langkah proaktif dengan melakukan rondaan di kawasan sering berlaku (hotspot) bencana banjir dan tanah runtuh minimum lima kali seminggu sebagai persiapan menghadapi monsun timur laut (MTL).
Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Aminurrahim Mohamed berkata pasukan pemantau terdiri daripada tiga anggota di setiap daerah di seluruh negara dan mereka bukan saja melaporkan kejadian berpotensi mengakibatkan banjir dan tanah runtuh, malah melibatkan pencemaran udara dan air.
“Sepanjang 10 bulan ini, kita sudah membuat rondaan lebih 30,000 kali di seluruh negara dan telah melaporkan lebih 2,000 kejadian dipercayai boleh memberi ancaman pada orang ramai, kepada pihak berwajib seperti pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi libat urus persiapan kerajaan menghadapi MTL 2024/2025 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia di Pulau Meranti di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus ketika memberi taklimat dalam sesi berkenaan memaklumkan terdapat 4,619 lokasi banjir telah dikenal pasti di seluruh negara.
Beliau berkata ia melibatkan 3,605 lokasi di Semenanjung, 799 di Sabah, 201 di Sarawak dan 14 lokasi panas di Labuan.
Khairul Shahril berkata lokasi itu berdasarkan kawasan yang mengalami kekerapan tidak kurang daripada tiga kali kejadian banjir dalam tempoh tiga tahun terkini.
“Selain itu, kita turut membuat pemantauan cerun kritikal membabitkan 254 cerun di seluruh negara terdiri daripada 86 kritikal tinggi, 84 kritikal sederhana dan 84 kritikal rendah,” katanya.
-BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,577 cerun di sepanjang Jalan Persekutuan di seluruh negara telah dikenal pasti sebagai berisiko sangat tinggi, kata Kementerian Kerja Raya (KKR).
Jumlah itu adalah daripada keseluruhan 34,714 cerun yang dipantau menerusi Peta Bahaya dan Risiko Cerun yang dibangunkan Jabatan Kerja Raya (JKR) meliputi 26,722 cerun di Semenanjung, selain Sabah (4,178), Sarawak (3,633) dan Labuan (181).
Dalam kenyataan kepada BERNAMA, KKR menjelaskan bahawa dalam situasi bencana membabitkan cerun di Malaysia, kementerian melalui JKR berperanan menyediakan nasihat teknikal kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selain bertanggungjawab menyediakan jentera, perkhidmatan teknikal dan menilai kerosakan infrastruktur awam selain bertindak melaksanakan langkah-langkah mitigasi bagi mengurangkan risiko bencana cerun.
"Sekiranya berlaku bencana membabitkan lintasan air atau cerun runtuh, JKR akan melaksanakan beberapa langkah antaranya mengurus penutupan jalan, memberi amaran, menyediakan laluan alternatif serta membina lencongan dan membaiki jalan yang terjejas."Selain itu, JKR melalui Cawangan Kejuruteraan Cerun memberi amaran awal berdasarkan data hujan dan pergerakan cerun dari Sistem Amaran Awal di kawasan berisiko tinggi," kata kenyataan itu.
KKR turut memaklumkan terdapat 49 stesen tolok hujan di seluruh negara, iaitu 37 di Semenanjung, sembilan di Sabah dan tiga di Sarawak yang akan merekodkan data hujan dan mengeluarkan amaran awal apabila bacaan mencapai nilai ambang bagi lokasi berisiko.
"Selain itu, tiga Robotic Total Station(RTS) dan sebuah Global Navigation Satellite System(GNSS) telah dipasang di Seksyen 44 dan 46, Laluan FT185 Jalan Simpang Pulai-Lojing-Gua Musang bagi memantau pergerakan permukaan cerun di lokasi berkenaan," menurut kenyataan itu.
Hingga September 2024, sebanyak RM104.84 juta telah dibelanjakan bagi kerja-kerja pembaikan cerun melibatkan 147 lokasi di sepanjang Jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia.
KKR menyatakan bagi 2025, kementerian akan menerima peruntukan sebanyak RM118 juta yang akan digunakan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan cerun dan pembaikan pencegahan cerun.
"Pada masa yang sama, kerja penyelenggaraan rutin turut dilaksanakan bagi cerun berkategori very high dan high risk di zon Pantai Timur iaitu negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan sebahagian negeri Perak. Selain itu, pemasangan dan penyelenggaraan Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh (SAATR) serta naik taraf Sistem Pengurusan Cerun Bersepadu (ISMAS) turut dilaksanakan," mengikut kenyataan itu lagi.
Dalam menangani dan memantau lokasi cerun pada masa hadapan, JKR telah mengambil langkah menggunakan kaedah seperti pemantauan masa nyata secara setempat yang membolehkan pengesanan awal perubahan dalam kestabilan cerun dan membolehkan tindakan segera diambil jika ada tanda-tanda kegagalan cerun.
"Penggunaan teknologi seperti tilt sensor, soil moisture, inclinometer dan piezometer di lokasi cerun berisiko akan membolehkan data tepat dikumpul dan langkah pencegahan dibuat dengan tepat bagi mengurangkan kejadian tanah runtuh di kawasan yang berisiko," menurut kenyataan itu. – BERNAMA
Kuantan: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang menghantar lebih 224 tan makanan kering ke 165 pangkalan hadapan di seluruh negeri ini sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh.
Pengarahnya Khairul Amri Ahmad berkata agihan makanan kering melibatkan perbelanjaan RM3.3 juta itu boleh menampung keperluan selama tiga hingga 14 hari bergantung kepada lokasi pangkalan hadapan.
"Misalnya, bagi kawasan yang dijangka terputus hubungan seperti Pulau Tioman di Rompin, tempoh kegunaan barang yang dihantar untuk 10 hari manakala bagi kawasan Ulu Tembeling di Jerantut bekalan yang dihantar adalah untuk 14 hari," katanya ketika dihubungi Bernama.
Pangkalan hadapan merupakan tempat bagi menyimpan makanan kering yang diagihkan iaitu beras, gula, kari ayam, sardin, kopi, teh, garam, biskut dan minyak masak dengan Kuantan mempunyai 19 lokasi, Maran (12), Temerloh (33), Bera (12), Jerantut (19), Lipis (18), Raub (11), Bentong (lapan) serta Cameron Highlands (tiga) selain Pekan dan Rompin masing-masing 15.
Kuala Berang: Selain 'rumah banjir' yang dijadikan stor simpanan bagi menghadapi musim bah, siling rumah turut menjadi tempat menyimpan barangan paling selamat bagi sesetengah penduduk di Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Menerong, dekat sini.
Zuraida Yusof, 46, berkata, dia mengambil langkah menempatkan barang di atas siling sejak dua tahun lalu bagi mengelak ia ditenggelami banjir.
Menurutnya, sebelum ini rumah banjir iaitu stor di luar rumah yang dibina lebih tinggi dijadikan tempat penyimpanan barangan bagi mengelak kerosakan akibat banjir.
Namun, katanya peningkatan paras banjir yang tinggi mendorongnya menjadikan siling rumah sebagai salah satu tempat penyimpanan barangan setiap kali musim tengkujuh.
"Saya menggunakan papan lapis dan di alas di atas kekuda kayu pada siling untuk menampung beban barangan yang disimpan dan ia terbukti lebih praktikal dalam menghadapi banjir.
Zuraida berkata, jika sebelum ini, paras air banjir biasanya mencecah ketinggian antara satu hingga 1.5 meter namun sejak kebelakangan ini, paras air mencecah hingga dua meter di dalam rumah.
Katanya, langkah terakhir adalah menyimpan barangan di atas siling memandangkan dia juga menjalankan perniagaan runcit secara kecil-kecilan dan mempunyai banyak barangan yang mudah rosak.
Jirannya, Zaitun Latiff, 62, berkata, dia yang tinggal di Kawasan perkampungan itu sejak 19 tahun lalu turut melihat perubahan peningkatan air berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Ada masa rumah banjir pun tidak selamat kerana paras air yang tinggi dan melimpah masuk ke dalam stor berkenaan menyebabkan saya memasang perancah besi untuk meletakkan barang tertentu di dalam rumah.
"Segelintir penduduk turut menjadikan siling rumah sebagai tempat penyimpanan barangan mereka bagi mengelak berlakunya kerosakan," katanya.
Seorang lagi penduduk, Zalina Ab Halim, 48, berkata, rumahnya ditenggelami banjir buat kali pertama pada 2022 sejak dua tahun menyebabkan dia membuat persiapan awal menyimpan barang bagi mengelak kerugian yang lebih banyak.
"Persiapan awal perlu dilakukan memandangkan sekarang kita sudah memasuki fasa peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang kebiasaannya membawa kepada berlakunya banjir.
"Pelbagai kaedah diambil penduduk di PPSK Menerong seperti menyimpan barangan di dalam rumah banjir, membina perancah besi di dalam rumah dan terbaru menjadikan siling sebagai tempat penyimpanan barangan bagi mengelak kerosakan akibat banjir," katanya yang sudah 17 tahun tinggal di perkampungan berkenaan.
KUALA LUMPUR: Kesemua 16 pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama helikopter EC 725 AP dari No 5 Skuadron yang diatur gerak ke Filipina pada 26 Okt lepas bagi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR), selamat tiba di Pangkalan Udara Labuan pada 2 Nov lepas.
TUDM dalam kenyataan memaklumkan mereka diatur gerak bagi memberikan bantuan dan sokongan kepada kerajaan Filipina dalam usaha membantu rakyat negara itu yang terjejas dengan banjir besar dan tanah runtuh akibat ribut tropika Kristine.
Menurut kenyataan itu, TUDM berjaya melaksanakan sembilan sortie atau misi penerbangan sepanjang HADR bermula dari 27 Okt hingga 1 Nov lepas.
“Ia melibatkan penerbangan membawa sejumlah 17.5 tan bekalan bantuan termasuk bot dengan enjin (0.82 tan), kanvas tarpaulin (8.22 tan) dan bekalan makanan dalam kotak (8.4 tan).
“Kejayaan misi ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat Filipina yang terkesan bencana tetapi turut mengeratkan lagi hubungan serantau antara Malaysia dan Filipina dalam usaha bersama menangani kesan bencana alam selain menunjukkan komitmen TUDM dalam melaksanakan HADR,” menurut kenyataan itu.
TUDM memaklumkan sebelum pulang pasukan TUDM telah diraikan oleh Angkatan Udara Filipina (PAF) di Pangkalan Udara Villamor, Pasay City, Filipina sebagai penghormatan kerana telah memainkan peranan penting dalam memberikan bantuan kepada mereka.
Dalam pada itu, Setiausaha Pertahanan Filipina Gilberto Teodoro Jr. turut menyatakan penghargaan terhadap bantuan segera Malaysia.
“Sokongan anda pada saat kritikal ini sangat berharga dalam usaha pemulihan kami selepas ribut tropika Kristine. Ini membuktikan hubungan erat antara negara kita yang terjalin di saat-saat diperlukan,” katanya menerusi kenyataan TUDM.
Majlis penghargaan itu turut dihadiri pegawai tertinggi PAF Lt Jen Stephen Parreno, Mej Jen Aristotle Gonzalez dan Mej Jen Pablo Rustria Jr. serta Timbalan Ketua Misi Kedutaan Malaysia di Filipina Norjufri Nizar Edrus.
Menurut TUDM pesawat berlepas dari Pangkalan Udara Villamor, Manila ke Pangkalan Udara Labuan pada 8 pagi, 2 Nov dan penerbangan mengambil masa enam jam termasuk persinggahan di Pangkalan Udara Antonio Bautista, Puerto Princesa bagi pengisian bahan api.
“Pegawai dan anggota selamat tiba di Pangkalan Udara Labuan pada 3 petang. Mereka telah disambut oleh pegawai dan anggota No 5 Skuadron serta ahli keluarga pegawai dan anggota yang terlibat dalam misi tersebut,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Bernama melaporkan TUDM menggerakkan sebuah helikopter EC 725 AP dari No 5 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan bagi HADR ke Filipina, susulan kejadian ribut tropika Kristine yang menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh pada 26 Okt lepas. – BERNAMA