OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Dua kampung terjejas banjir di Raub

UANTAN - Penduduk Kampung Tok Machang dan Kampung Ulu Gali, Raub dikejutkan dengan kejadian banjir yang melanda kampung itu ekoran hujan lebat berterusan awal pagi Ahad.

Limpahan air Sungai Gali menyebabkan kawasan rendah di kampung tersebut dinaiki air dan menjejaskan 25 rumah penduduk membabitkan 99 mangsa sehingga jam 9 pagi.

 

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub dalam kenyataannya memaklumkan, semua mangsa kini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di kampung berkenaan.

Menurutnya, seramai 89 mangsa dari 23 keluarga kini berada di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang yang dibuka sejak jam 4.30 pagi tadi manakala 10 lagi mangsa dari dua keluarga berada di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Ulu Gali yang dibuka jam 6.30 pagi.

"Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Raub menerima panggilan daripada orang awam jam 3.45 pagi berhubung kejadian banjir tersebut.

"Anggota APM Raub segera ke lokasi bagi membantu memindahkan penduduk terjejas ke PPS yang dibuka," katanya.

Beliau berkata, maklumat mangsa terlibat sudah diambil dan usaha membantu mangsa kini dalam tindakan lain-lain agensi berkaitan.

 

6,000 kit makanan untuk mangsa banjir Pahang

KUANTAN: FAMA Pahang menerima 2,000 kit makanan fasa pertama sebagai persediaan menghadapi banjir ketika Monsun Timur Laut (MTL).

Pengarah, Saiful Sadri, berkata pihaknya menerima 6,000 kit makanan daripada NADMA untuk kegunaan mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurutnya, FAMA menjadi agensi pembekal utama kit makanan berkenaan dan diserahkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang sebelum diagihkan kepada mangsa banjir yang berada di PPS daerah.

"Fasa pertama sebanyak 2,000 kit makanan diterima dan kita telah menyerahkan kepada APM Pahang, fasa kedua akan diterima tidak lama lagi daripada syarikat pembekal.

"Setiap kit makanan terdapat nasi dan lauk ayam atau daging yang boleh dimasak segera selain itu terdapat beberapa jenis makanan kering yang boleh dimakan terus," katanya dihubungi hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah APM Pahang, Mejar (PA) Mohd Zairosnizam Mohd Tarmizi, berkata pihaknya telah mengagihkan 2,000 kit makanan fasa pertama yang diterima kepada pejabat APM daerah sebagai persiapan sekiranya berlaku banjir.

 

99 individu terjejas banjir di Raub

KUANTAN – Seramai 99 individu membabitkan 25 keluarga di daerah Raub terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setelah kediaman mereka dinaiki air sejak jam 3.45 pagi tadi.

Menurut Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub, limpahan air Sungai Ulu Gali menyebabkan banjir di Kampung Tok Machang dan Kampung Ulu Gali.

 “Seramai 89 individu daripada 23 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang yang dibuka pada pukul 4.30 pagi tadi.

“Manakala 10 individu daripada dua keluarga pula kini ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Ulu Atok yang telah dibuka pada pukul 6.30 pagi,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan semua paras air sungai di negeri ini masih berada pada tahap normal. – MalaysiaGazette

'Menakutkan... ayah sampai jatuh parit 'ditolak' angin'

Pendang: "Tidak sampai lima minit habis bumbung rumah berterbangan dan barangan dalam rumah rosak.

"Ayah yang ketika itu berada di tepi jalan jatuh 'ditolak' angin hingga ke dalam parit tetapi mujurlah dia tidak cedera dan bangun semula selepas itu," kata Muhammad Hafizudin Salim, 30.

Penduduk Kampung Bukit Cepat, Kobah di sini itu menceritakan kejadian puting beliung yang berlaku kira-kira 4 petang, hari ini yang disifatkannya sebagai menakutkan.

Katanya, ketika itu dia baru pulang dari tempat kerja di hotel di Pendang dan berada di dalam bilik, manakala bapanya, Salim Md Hassan, 69, dan ibu, Rokiah Aziz, 64, bersantai di luar rumah.

"Pusaran angin kuat seperti belalai air tiba-tiba menerpa ke rumah kami dan ketika itu saya nampak kejadian dari tingkap.

"Tak sampai lima minit, rumah saya habis rosak. Rumah tok (nenek) terletak bersebelahan juga rosak," katanya ketika dihubungi.

Muhammad Hafizudin berkata, kejadian itu yang kedua dihadapi mereka selepas 2012 dan menganggarkan kerugian RM20,000.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Pendang, Yuslina Yusoff berkata, enam rumah penduduk terjejas akibat puting beliung dengan empat di Kampung Kobah dan dua lagi di Kampung Bukit Cepat.

"Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Pendang menerima aduan di dua kampung berkenaan pada 6.51 petang dan melakukan pemantauan di lokasi," katanya yang memaklumkan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.

Hujan lebat punca tanah runtuh di Ulu Tiram

Tanah runtuh di bahu jalan utama Sungai Tiram menghala ke Ulu Tiram di sini dikenal pasti berlaku akibat hujan lebat, pada minggu lalu.

Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Zon Tiram, Fauzi Faizal, berkata ketika ini kerja membaik pulih sedang dijalankan pihak konsesi penyelenggaraan jalan.

Katanya, runtuhan membabitkan hampir separuh jalan tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

“Betul memang ada tanah runtuh sedikit membabitkan bahu jalan di Sungai Tiram akibat hujan lebat dan tekanan air.

“Proses baik pulih sudah dijalankan selepas kejadian beberapa hari lalu. Hampir separuh jalan sehala terjejas akibat tanah runtuh berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Tinjauan di lokasi mendapati terdapat paip air di bawah lokasi runtuhan dan kerja baik pulih sedang giat dilakukan.

Jalan berkenaan ditutup sebahagian sementara kerja baik pulih dilaksanakan dan mengakibatkan sedikit kesesakan lalu lintas.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search