OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Colombia dilanda banjir, isytihar bencana seluruh negara

COLOMBIA: Banjir besar yang melanda beberapa kawasan di Colombia telah menyebabkan kerosakan teruk, termasuk infrastruktur perumahan yang dihanyutkan arus deras.

Penduduk terjejas juga dipaksa berpindah di kawasan selamat oleh pihak berkuasa.

Kejadian itu berlaku selepas hujan lebat yang berterusan di negara itu.

Sementara itu, Presiden Colombia, Gustavo Petro, pada Ahad mengumumkan keadaan bencana nasional di seluruh negara.

“Kami mengisytiharkan keadaan bencana di seluruh negara, akibat ketidaktentuan iklim yang menghasilkan impak yang tidak dapat diramalkan dan luar biasa serta meningkatkan kerentanannya di wilayah-wilayah,” katanya dalam satu sidang media khas memetik laporan Reuters.

Menurut Petro, pengisytiharaan itu bertujuan untuk mempercepatkan mobilisasi sumber daya dan bantuan kepada penduduk yang terjejas serta meminimumkan impak banjir dan kemarau yang melanda negara ini.

Antara wilayah yang teruk terjejas ialah Chocó dengan lebih 30,000 keluarga terkesan dengan banjir berkenaan.

Laporan awal pihak berkuasa mendedahkan, seramai 27 daripada 31 daerah di Chocó dilaporkan terjejas.

Colombia, negara yang terletak di Amerika Selatan, sering kali berdepan dengan cabaran cuaca ekstrem seperti banjir dan kemarau. Namun, pada tahun 2024, negara itu mengalami beberapa bencana alam yang luar biasa terutamanya akibat hujan lebat yang berterusan.

Lebih 4,000 pesawah MADA terkesan banjir terima bantuan ihsan PM

ALOR SETAR: Seramai 4,233 pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di negeri ini yang terjejas akibat banjir pada September lepas menerima sumbangan ihsan Perdana Menteri berjumlah RM4.23 juta.
Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh berkata setiap pesawah menerima RM1,000 bagi membantu mereka menampung kerugian yang dialami akibat bencana itu dan untuk mengusahakan tanaman padi bagi musim seterusnya.
 
"Keseluruhan peladang kita yang terlibat yang telah diangkat dan diluluskan oleh jawatankuasa adalah seramai 4,233 orang dan daripada situ, pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) telah bersetuju untuk memberi sumbangan RM1,000 setiap orang.
 
"Jadi, daripada 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) kita, 21 PPK terlibat yang membabitkan keseluruhan kerugian lebih RM29.43 juta," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau hadir Majlis Penyerahan Sumbangan Ihsan Perdana Menteri kepada pesawah yang terlibat bencana banjir fasa 1 negeri Kedah yang disampaikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah.
 
Ismail berkata selain daripada bantuan ihsan itu, pihak MADA juga akan menyalurkan bantuan menerusi Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) kepada pesawah yang terjejas.
Beliau berkata permohonan penyaluran bantuan TBTP telah pun dikemukakan kepada pihak kementerian dan berada di peringkat akhir untuk kelulusan sebelum diagihkan kepada penerima yang layak.
"Jadi maknanya, dengan duit sumbangan ihsan Perdana Menteri dan ditambah bantuan TBTP dalam masa terdekat, Insya-Allah sekurang-kurangnya akan dapat mengurangkan bebanan peladang kita untuk mengerjakan bendang pada musim akan datang," katanya.
Sementara itu, seorang pesawah yang menerima bantuan ihsan berkenaan, Aziz Hussein, 57, merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas sumbangan itu yang sedikit sebanyak membantu meringankan bebannya untuk tanaman padi bagi musim kedua.
"Kawasan padi saya yang terjejas banjir baru-baru ini sebanyak lima relong (1.43 hektar), hasil yang diperoleh daripada kawasan yang terjejas itu dalam satu relong (0.28 hektar) sahaja, tak balik modal, terpaksa tambah lagi modal untuk tampung kerugian.
Bagi Awang Isa Fatardin, 64, dia bersyukur di atas bantuan segera kerajaan itu yang dapat membela nasib 'pak tani' yang semakin terbeban dengan kenaikan kos tanaman padi.
"Kalau boleh juga, naik taraf saliran sungai dan parit di kawasan sawah untuk bantu pak tani...bila banjir baru-baru ini, sawah tenggelam 20 ke 30 hari bukan sehari dua sebab saliran tersumbat, padi jadi rosak sebab lama tenggelam," katanya.
-- BERNAMA

Jumlah mangsa bah di Pahang meningkat kepada 441 orang, Lipis daerah terbaharu dilanda bencana

LIPIS: Lipis menjadi daerah kedua di Pahang dilanda banjir dengan jumlah mangsa bencana itu di negeri ini dilaporkan terus meningkat.

Laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 9 pagi tadi, memaklumkan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Lipis, iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kechaui Tui dan Dewan Semai Bakti Felda Kechaui.

Keseluruhan seramai 218 penduduk daripada 61 keluarga dipindahkan dengan PPS di sekolah berkenaan menempatkan 133 orang daripada 34 keluarga dan Dewan Semai Bakti Felda Kechaui menempatkan 85 orang daripada 27 keluarga.

Dengan pembukaan PPS di Lipis dan tiga PPS baharu di Raub, jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat.

Raub yang mula dilanda banjir awal pagi semalam mencatatkan pertambahan bilangan mangsa kepada 223 orang daripada 66 keluarga yang berlindung di enam PPS berbanding 99 orang daripada 25 keluarga di dua PPS semalam.
 

Enam PPS terbabit ialah Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang, Masjid Kampung Pintu Padang, Pusat Kegiatan KEMAS Gali, Dewan Serbaguna Kampung Ulu Gali, Sekolah Menengah Agama Al-Fallah Batu Talam dan Balai Raya Kampung Sungai Pasu.

Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Pahang, melibatkan Lipis dan Raub setakat 9 pagi adalah 441 orang daripada 127 keluarga dengan pembukaan lapan PPS.

Sementara itu, laman sesawang infobanjir.water.gov.my menyenaraikan enam sungai di Pahang mencecah tahap waspada.

Ia membabitkan Sungai Jelai di Jeram Bungor, Sungai Jelai Kuala Medang, Sungai Jelai Jeti Lipis, Sungai Dong di Kampung Peruas (Raub), Sungai Luit di Kampung Subuh (Maran) dan Sungai Mentiga di Jambatan Chini (Pekan).

 

 
 

Lipis pula banjir, lapan PPS dibuka di Pahang

KUANTAN - Jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat susulan Lipis menjadi daerah terbaharu dilanda bencana itu, menurut Laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 9 pagi ini.

Laporan itu memaklumkan sebanyak dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Lipis yang menempatkan 218 mangsa daripada 61 keluarga iaitu Sekolah Kebangsaan Kechaui Tui (133 orang daripada 34 keluarga) dan Dewan Semai Bakti Felda Kechaui (85 orang daripada 27 keluarga)

 

Raub yang mula dilanda banjir awal pagi semalam, mencatatkan pertambahan bilangan mangsa kepada 223 orang daripada 66 keluarga yang berlindung di enam PPS berbanding 99 orang daripada 25 keluarga di dua PPS semalam.

Enam PPS terbabit ialah Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang, Masjid Kampung Pintu Padang, Pusat Kegiatan Kemas Gali, Dewan Serbaguna Kampung Ulu Gali, Sekolah Menengah Agama Al-Fallah Batu Talam dan Balai Raya Kampung Sungai Pasu.

"Jumlah keseluruhan banjir di negeri ini melibatkan Lipis dan Raub setakat jam 9 pagi adalah sebanyak 441 mangsa daripada 127 keluarga dengan pembukaan lapan PPS,” menurut laporan itu.

Sementara itu, menerusi laman sesawang infobanjir.water.gov.my, enam sungai di Pahang mencecah tahap waspada iaitu Sungai Jelai di Jeram Bungor, Sungai Jelai Kuala Medang, Sungai Jelai Jeti Lipis, Sungai Dong di Kampung Peruas (Raub), Sungai Luit di Kampung Subuh (Maran) dan Sungai Mentiga di Jambatan Chini (Pekan). - Bernama

Kedudukan kewangan negara kukuh percepat salur bantuan bencana

ALOR SETAR - Kedudukan kewangan negara yang kukuh membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan segera khususnya melibatkan bencana dan musibah yang menjejaskan pendapatan rakyat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, apabila kerajaan berupaya menguruskan kedudukan kewangan dengan baik, ia turut menyumbang kepada kestabilan politik seterusnya menggamit kehadiran pelabur luar.

 

Menurutnya, kesinambungan itu membolehkan kemakmuran negara dapat diagih kepada rakyat secara adil dan segera.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berada di luar negara sentiasa mempelawa pelabur asing untuk melabur ke Malaysia, atas faktor politik negara stabil biarpun ada perbezaan pendapat namun dapat diuruskan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan ihsan Perdana Menteri kepada pesawah terlibat bencana banjir fasa satu negeri Kedah di sini pada Isnin.

Saifuddin yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah berkata, kedudukan kewangan negara yang stabil dicapai hasil daripada penekanan Perdana Menteri yang sentiasa mengingatkan agar mengawal perbelanjaan, elakkan boros serta tidak terlibat dengan rasuah dan penyelewengan.

“Bantuan boleh dikeluarkan selagi kedudukan kewangan kerajaan dalam keadaan baik.

“Bila ditimpa ujian banjir di beberapa negeri, ketika itulah kita perlu segera salurkan bantuan. Inilah yang kita lakukan selepas Perdana Menteri umumkan bantuan RM13 juta kepada Kedah.

“Sebagai Menteri Kewangan, beliau tahu masih ada lagi duit yang boleh diagihkan pada saat ditimpa bencana. Kita masih boleh agihkan duit bantuan dalam keutamaan perbelanjaan,” jelasnya.

Pada 21 September, Anwar mengumumkan peruntukan keseluruhan RM13 juta bagi melaksanakan kerja baik pulih infrastruktur yang rosak akibat banjir di negeri Kedah.

Jumlah berkenaan termasuk bantuan kewangan yang disalurkan agensi Persekutuan dan negeri kepada semua mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Sementara Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh memaklumkan, seramai 4,233 pesawah yang terjejas banjir pada September lalu menerima sumbangan ihsan tersebut berjumlah RM4.23 juta.

“Setiap pesawah menerima RM1,000 bagi membantu mereka menampung kerugian dialami akibat bencana itu selain untuk mengusahakan tanaman padi bagi musim akan datang.

“Keseluruhan peladang terlibat yang diluluskan oleh jawatankuasa seramai 4,233 orang dan daripada situ Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) bersetuju untuk memberi sumbangan RM1,000 setiap orang,” ujarnya.

Menurutnya, ia melibatkan 21 buah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) daripada keseluruhan 27 PPK dengan kerugian lebih RM29.43 juta.

“Selain bantuan ihsan tersebut, MADA juga akan menyalurkan bantuan menerusi Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) kepada pesawah terjejas. Permohonan bantuan TBTP telah dikemukakan kepada kementerian dan kini di peringkat akhir untuk kelulusan,” katanya.

Seorang penerima bantuan ihsan, Aziz Hussein, 57, merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas sumbangan tersebut yang sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban untuk tanaman padi musim kedua.

“Kawasan padi yang terjejas banjir sebanyak lima relung, hasil yang diperoleh daripada kawasan terjejas itu hanya satu relung, memang tak balik modal, terpaksa tambah lagi modal untuk tampung kerugian,” katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search