OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Malaysia perluas kerjasama pengurusan bencana, perkukuh peranan SMART

Malaysia perluas kerjasama pengurusan bencana, perkukuh peranan SMART

PUTRAJAYA: Malaysia akan memperluas kerjasama dalam pengurusan bencana dengan beberapa negara termasuk Jepun, Russia dan Korea Selatan supaya kepakaran Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) terus diperkukuh.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata rundingan bagi memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) dengan negara berkenaan dijangka selesai tahun ini.

 

Beliau berkata, NADMA sudah berbincang dengan Jepun untuk memuktamadkan MoU itu, manakala beberapa rundingan kini pada tahap akhir termasuk Russia dan Korea Selatan, namun keputusan akhir bergantung kepada Kabinet untuk melihat kesesuaian dengan kepentingan negara.

Katanya, Malaysia sudah menandatangani MoU dengan beberapa negara termasuk Singapura, Indonesia dan Turkiye yang menandakan pengiktirafan antarabangsa terhadap keupayaan negara dalam pengurusan bencana serta kepakaran pasukan SMART khususnya dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"MoU ini kita anggap penting dari segi kerjasama terutama dalam operasi dapat diformalkan dan pada masa sama, ia juga satu pengiktirafan menunjukkan negara lain juga ingin belajar daripada kebolehan dan kepakaran pasukan SMART," katanya.

 

Khairul Shahril berkata, MoU itu bukan saja bagi memperkukuh hubungan strategik, tetapi juga meningkatkan kecekapan dalam pengurusan bencana terutama dalam operasi SAR melalui latihan bersama antara pasukan SMART dan pasukan elit negara lain.

Beliau berkata, bagi memastikan pasukan itu kekal relevan, kerajaan sedang meneliti kemungkinan menambah keanggotaan SMART, mengambil kira pengalaman ketika membantu operasi SAR gempa bumi di Gaziantep, Turkiye pada Februari 2023.

Katanya, jumlah anggota pasukan itu setakat ini masih mematuhi piawaian pasukan menyelamat antarabangsa seperti disyorkan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) iaitu dua pasukan membabitkan 160 anggota secara keseluruhan.

"Pasukan itu adalah gabungan tiga badan beruniform utama negara iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Cadangan mengekalkan anggota SMART dalam pasukan sedang diteliti memandangkan ketika ini anggota akan kembali ke unit asal masing-masing apabila tempoh perkhidmatan tamat," katanya.

 

Susulan itu, Khairul Shahril berkata, perbincangan sedang berjalan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mencari mekanisme terbaik bagi memastikan kepakaran dimiliki anggota itu dapat dikekalkan dalam pasukan.

Beliau berkata, pada peringkat serantau, pasukan SMART terbabit dalam beberapa latih amal yang dikendalikan Sekretariat ASEAN dan menerima permohonan daripada negara jiran termasuk Brunei, Thailand dan Indonesia untuk menjadi penasihat kepada pasukan penyelamat masing-masing sehingga mendapat pengiktirafan INSARAG.

"Malaysia turut menerima jemputan sebagai pakar rujuk dalam persidangan antarabangsa berkaitan operasi SAR, membuktikan kedudukan SMART sebagai pasukan penyelamat bertaraf dunia," katanya.

Khairul Shahril berkata, pasukan SMART adalah gerakan bantuan kedua di Asia Tenggara diiktiraf INSARAG selepas Singapura dan anggota pasukan itu sering dipanggil sebagai pakar rujuk dalam persidangan antarabangsa membabitkan aktiviti SAR.

"Kesediaan negara lain termasuk negara maju mengadakan kerjasama seperti latihan bersama menunjukkan imej pasukan SMART berada pada peringkat antarabangsa, sekali gus menjulang nama Malaysia," katanya. – BERNAMA

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search