Malaysia perluas kerjasama dalam pengurusan bencana, perkukuh peranan SMART - KP NADMA
- Admin UKK
- Berita
PUTRAJAYA: Malaysia akan memperluas kerjasama dalam pengurusan bencana dengan beberapa negara termasuk Jepun, Rusia dan Korea Selatan agar kepakaran Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) terus diperkukuh.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus berkata rundingan bagi memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) dengan negara berkenaan dijangka selesai tahun ini.
Beliau berkata NADMA telah berbincang dengan Jepun untuk memuktamadkan MoU itu, manakala beberapa rundingan kini pada tahap akhir termasuk Rusia dan Korea Selatan, namun keputusan akhir bergantung kepada Kabinet untuk melihat kesesuaian dengan kepentingan negara.
Khairul Shahril berkata Malaysia telah menandatangani MoU dengan beberapa negara termasuk Singapura, Indonesia dan Turkiye yang menandakan pengiktirafan antarabangsa terhadap keupayaan negara dalam pengurusan bencana serta kepakaran pasukan SMART khususnya dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Khairul Shahril berkata MoU itu bukan sahaja bertujuan memperkukuh hubungan strategik, tetapi juga meningkatkan kecekapan dalam pengurusan bencana terutama dalam operasi SAR melalui latihan bersama antara pasukan SMART dan pasukan elit negara lain.
Beliau berkata jumlah anggota pasukan itu setakat ini masih mematuhi piawaian pasukan menyelamat antabangsa seperti yang disyorkan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) iaitu dua pasukan yang terdiri daripada 160 anggota secara keseluruhan.
Pasukan itu adalah gabungan tiga badan beruniform utama negara iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Khairul Shahril berkata perbincangan sedang berjalan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mencari mekanisme terbaik bagi memastikan kepakaran yang dimiliki anggota itu dapat dikekalkan dalam pasukan.
Di peringkat serantau, beliau berkata pasukan SMART terlibat dalam beberapa latih amal yang dikendalikan Sekretariat ASEAN dan menerima permohonan daripada negara jiran termasuk Brunei, Thailand dan Indonesia untuk menjadi penasihat kepada pasukan penyelamat masing-masing sehingga mendapat pengiktirafan INSARAG.
Khairul Shahril berkata pasukan SMART adalah gerakan bantuan kedua di Asia Tenggara diiktiraf INSARAG selepas Singapura dan anggota pasukan itu sering dipanggil sebagai pakar rujuk dalam persidangan antarabangsa melibatkan aktiviti SAR.
“Kesediaan negara lain termasuk negara maju untuk mengadakan kerjasama seperti latihan bersama menunjukkan bahawa dari segi imej, pasukan SMART berada di peringkat antarabangsa dan secara tidak langsung menjulang nama Malaysia,“ katanya.