OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Tabung Darah Hospital Miri sasar 13,000 penderma pada 2025

Tabung Darah Hospital Miri sasar 13,000 penderma pada 2025

MIRI, 20 Feb: Tabung Darah Hospital Miri mempergiat kempen derma darah bergerak di sekitar bandar ini dengan kerjasama pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

Ketua Unit Perubatan Transfusi dan Tabung Darah Hospital Miri, Dr Nur Aklina Ramli berkata inisiatif tersebut bagi memastikan sasaran 13,000 penderma darah sepanjang tahun ini di Miri dapat dicapai, selain bagi mengekalkan bekalan darah yang mencukupi.

“Setiap bulan, kita menyasarkan lebih kurang 800 ke 900 orang penderma darah, tetapi pada Januari 2025, kita dapati ada sedikit penurunan dari segi pendermaan darah iaitu sebanyak 679 orang sahaja.

“Pihak kita menjangkakan bencana banjir yang melanda Miri baru-baru ini mempengaruhi sedikit sebanyak jumlah penderma darah di sini,” katanya kepada TVS ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Bagaimanapun katanya, setakat ini pihaknya menerima respon yang cukup memberangsangkan daripada orang ramai khususnya masyarakat di sekitar Miri dan sekali gus meletakkan bekalan darah di Tabung Darah Hospital Miri kembali pada paras stabil.

Selari dengan konsep ‘Darah Tanpa Sempadan’, Dr Aklina memberitahu, kegunaan darah tersebut tidak terhad di bahagian Miri sahaja, namun meliputi kawasan sekitar dan berdekatan.

Sekiranya terdapat keperluan, pihaknya juga akan membekalkan darah dari Tabung Darah Hospital Miri ke kawasan yang memerlukan termasuk di Sabah seperti yang dilakukan tempoh hari.

“Kami juga membekalkan darah kepada pesakit di Hospital Limbang dan Lawas serta hospital-hospital swasta di sini.

“Dua minggu lepas, kami telah menghantar bekalan darah ke Hospital Keningau dan Likas di Sabah untuk kegunaan pesakit di sana,” katanya lagi.

Salah seorang penderma darah, Slyvester Ulla Sabai, 22, berkongsi pengalamannya yang sudah beberapa kali menderma darah.

Beliau yang merupakan pelajar tahun kedua di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), mengimbas kembali pengalaman kali pertama menderma darah suatu masa dahulu dan tidak menafikan rasa ketakutannya lebih-lebih lagi apabila melihat jarum yang digunakan untuk prosedur berkenaan.

Bagaimanapun, beliau memberanikan diri sehingga berjaya mengatasi ketakutannya dan sehingga kini, beliau aktif menderma darah untuk tempoh tiga bulan sekali.

“Saya rasa berbangga setiap kali selepas menderma darah. Meskipun saya tidak dapat membantu orang lain secara fizikal, sekurang-kurangnya saya dapat membantu mereka melalui derma darah.

“Saya akan makan dahulu sekurang-kurangnya satu jam sebelum menderma darah. Saya juga mengamalkan rutin sihat seperti berjoging serta mengamalkan pengambilan makanan yang sihat,” jelasnya.

Bagi pembantu jualan, Felicia Sara Galih, beliau mempunyai pengalaman dan perasaan yang berbeza kerana pertama kali menderma darah.

Bagaimanapun beliau tetap berbangga kerana dapat menderma darah bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Untuk kali pertama ini, saya berasa bangga dapat menderma darah untuk hospital yang kekurangan darah dan untuk mereka yang sangat memerlukan darah.

“Saya mendapat maklumat mengenai derma darah ini dari laman Facebook Tabung Darah Hospital Miri, kemudian saya mengajak rakan saya untuk bersama-sama menderma darah pada hari ini,” jelas gadis 25 tahun itu.

Untuk rekod, Tabung Darah Hospital Miri beroperasi setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula jam 8 pagi hingga 4:30 petang.

Orang ramai diseru untuk mengikuti laman Facebook Tabung Darah Hospital Miri bagi mendapatkan jadual-jadual terkini mengenai kempen derma darah di sekitar bandar ini. – TVS

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search