OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

APM perlu pelajari amalan terbaik negara lain - Zahid

Bangi: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mempelajari amalan terbaik dari negara lain bagi meningkatkan keupayaan pertahanan awam negara.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata antara negara yang boleh dijadikan contoh ialah Switzerland yang telah berjaya mewujudkan rangkaian tempat perlindungan untuk populasi negara itu.

"Selain itu, mereka turut menguatkuasakan undang-undang yang mewajibkan integrasi tempat perlindungan nuklear kepada setiap bangunan baharu yang dibina.

"Dengan lebih 8.6 juta ruang perlindungan tersedia, mereka menunjukkan bagaimana perancangan strategik dan pandangan jauh dapat memperkukuh daya tahan negara," katanya dalam ucapan pada Majlis Makan Malam Perdana Warga APM di sini malam ini.

Ahmad Zahid berkata APM juga boleh mempelajari bagaimana Indonesia dan Turkiye sebagai negara ekonomi membangun menghadapi pelbagai cabaran semula jadi dan buatan manusia.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata Indonesia telah melabur secara besar-besaran dalam pengurusan risiko bencana dengan memberi penekanan kepada pemerkasaan komuniti.

Turkiye pula katanya, telah membuat kemajuan besar dalam meningkatkan kesiapsiagaan bencananya melalui gabungan kempen pendidikan awam, perundangan, dan pelaburan infrastruktur.

"Melalui beberapa contoh negara yang saya sebutkan ini, saya menggesa APM untuk terus bertindak proaktif dengan mengkaji amalan terbaik yang dilakukan oleh negara berkenaan dan banyak lain negara lain untuk disesuaikan dengan konteks dan realiti negara kita.

"Jika kita dapat lakukan usaha ini, insya-Allah kita dapat membina sistem pertahanan awam yang bukan sahaja melindungi, tetapi meyakinkan rakyat bahawa kita bersedia menghadapi apa jua cabaran," katanya.

Ahmad Zahid turut menyatakan harapan agar APM mempertingkatkan kerjasama dengan masyarakat dengan memperbanyak program kesedaran awam berkaitan ancaman bencana dan keselamatan.

"Dalam situasi kecemasan atau bencana, kerjasama antara anggota keselamatan dan masyarakat adalah penting untuk respons yang cepat dan berkesan serta memberi banyak kelebihan terutamanya dalam mengatasi cabaran keselamatan dengan lebih berkesan," katanya.

 

Bah besar 10 tahun sekali hantui penduduk

TAHUN ini genap 10 tahun bencana banjir buruk melanda daerah Kemaman di Terengganu. Rata-rata penduduk menyifatkan banjir ketika itu adalah antara yang terburuk pernah berlaku di daerah berkenaan.

Menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang diramalkan berlaku pada November ini, timbul persoalan mungkinkah fenomena banjir besar itu kembali berulang.

 

Berdasarkan kajian, setakat ini tiada bukti kukuh menyokong bahawa bencana banjir besar berlaku setiap 10 tahun sekali.

Walaupun begitu, berpandukan kepada pengalaman sebelum ini, bencana banjir yang membawa kemusnahan dan kerugian besar sering melanda negara selang 10 tahun sekali misalnya seperti yang pernah berlaku pada 1984, 1994, 2004, dan 2014.

Fenomena itu biasanya berlaku antara November hingga Mac tahun berikutnya.

Berdasarkan pemerhatian penulis, kebanyakan penduduk yang tinggal berdekatan kawasan berisiko banjir kini di negeri ini telah bersiap sedia lebih awal untuk berdepan dengan risiko banjir yang dialami hampir saban tahun.

Walaupun apa yang diramalkan ada kalanya tidak sama dengan apa yang berlaku, paling penting bagi mereka adalah bersedia bagi memastikan keselamatan setiap ahli keluarga terjamin sekali gus mengelak berlakunya kejadian tidak diingini yang menyebabkan kehilangan nyawa.

Berbalik kepada bencana banjir yang berlaku pada 2014, pengurusan yang cekap oleh pihak berkuasa ketika itu memastikan pengurusan bencana banjir yang efisien dan efektif dapat diambil.

Malah, pengurusan banjir yang diamalkan di negeri Terengganu pada tahun berkenaan membolehkan ia dijadikan sebagai model dan panduan di negeri-negeri lain yang sering dilanda bencana banjir.

Malah, dokumentari pengurusan banjir daerah Kemaman yang disediakan kerajaan Terengganu ketika itu mendapat pujian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada tahun ini, lebih RM4.2 juta diperuntukkan di Terengganu sebagai persediaan menghadapi banjir merangkumi peruntukan RM2.2 juta daripada kerajaan Persekutuan manakala RM2.038 juta daripada kerajaan negeri.

Peruntukan tersebut meliputi pembelian bahan mentah dan makanan serta keperluan lain kepada mangsa banjir.

Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan menempatkan bekalan bencana di Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) di Marang, 10 depoh mini dan 152 pangkalan hadapan yang terdapat di seluruh negeri.

Dalam berbicara soal persediaan untuk menghadapi banjir, tidak dilupakan juga persediaan pemimpin masyarakat setempat sehingga kepada kepimpinan utama negeri untuk menyantuni mangsa banjir di kawasan masing-masing.

Kita sedia maklum bahawa kehilangan harta benda merupakan tamparan hebat buat mangsa banjir, oleh itu keberadaan pemimpin pada saat rakyat dilanda kesusahan amat penting untuk memberikan sedikit kelegaan dan mengubati duka mereka.

Bukan hanya perlu berdepan dengan kehilangan, mereka juga harus bersedia dari segi kekuatan fizikal untuk membersihkan sisa-sisa lumpur banjir yang dibawa arus.

Baru-baru ini, insiden penduduk melempar lumpur dan objek kosong ke arah Monarki Sepanyol, Raja Felipe dan isteri, Permaisuri Letizia ketika mereka melawat kawasan terjejas banjir di wilayah Valencia di bandar Paiporta negara itu wajar dijadikan pengajaran.

Ia berlaku disebabkan penduduk tempatan dikatakan tidak dapat mengawal rasa marah kerana kelewatan bantuan disalurkan kepada mangsa banjir menyebabkan lebih 200 orang rakyat negara itu terkorban dalam bencana tersebut.

Walaupun Terengganu sudah diyakini dengan kecekapan pengurusan banjir, ia bukan jaminan tiada isu bantuan yang terlepas pandang.

Sebelum ini, ketiadaan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika musibah banjir melanda negeri itu menjadi 'modal' dan bahan bualan setiap kali musim tengkujuh menjelma saban tahun.

Apa pun, kita yakin bahawa kepimpinan kerajaan negeri tidak sesekali mengabaikan mangsa banjir walaupun pemimpin nombor satu itu tiada di dalam negeri ketika musibah melanda.

Akan tetapi, walaupun bantuan disalurkan, sumbangan dihulurkan, namun keberadaan Menteri Besar tatkala musibah melanda adalah 'pengubat' buat mereka yang ditimpa kesusahan.

Jualan Rahmah akan diperbanyak di kawasan berisiko banjir – Armizan

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperbanyakkan Program Jualan Rahmah termasuk menumpukan kawasan dijangka akan terjejas banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL) supaya harga kekal berpatutan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata usaha itu bagi memastikan orang ramai terus mempunyai akses barangan keperluan asas dan pada masa sama KPDN dapat memastikan bekalan stabil serta harga dapat dikekalkan.

“Sebagai contoh kita akan mengadakan Jualan Rahmah di Pahang kerana kawasan itu antara dijangka sering terjejas banjir. Tetapi penetapan muktamad (Program Jualan Rahmah) itu akan diumumkan kelak oleh kementerian.

“Selain itu, KPDN akan terus membuat pemantauan bagi memastikan harga barang sepanjang musim tengkujuh terkawal dan pada harga berpatutan.

“Kita juga akan memastikan pegawai pemantau harga barang yang membabitkan sebanyak 480 jenis barangan ditugaskan setiap hari bagi memastikan kestabilan harga,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MylPO) di Menara MyIPO di sini, hari ini.

MoU itu bertujuan membangunkan sebuah modul khas berkenaan harta intelek yang akan dimasukkan sebagai elemen rentas kurikulum (EMK) dalam kurikulum sedia ada.

Armizan turut menjelaskan, KPDN turut melantik Peruncit Daerah Terpilih (DDR) dan Pemborong Daerah Terpilih (DDW) di kawasan berisiko terjejas banjir bagi memastikan bekalan barangan mencukupi dan dapat diakses orang ramai.

“Menerusi langkah ini, KPDN dapat mengekang sebarang kenaikan harga yang mungkin berlaku akibat peningkatan permintaan serta cabaran bekalan di kawasan banjir.

“Saya yakin langkah ini juga dapat memastikan tiada lonjakan harga yang membebankan rakyat ketika musim tengkujuh,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) baru-baru memaklumkan musim tengkujuh di negara ini dijangka berterusan hingga Mac depan dan membawa antara lima hingga tujuh episod hujan lebat.

9 lokasi rintis Pusat Pemindahan Kekal Bencana dikenal pasti

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah mengenal pasti sembilan lokasi sebagai perintis Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada mangsa bencana di Kelantan, Johor, Pahang, Terengganu, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Sarawak, dan Sabah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia merangkumi dewan penempatan sementara serta kemudahan lain untuk mangsa dan petugas.

 Menurutnya, Jika projek rintis itu berjaya, kerajaan bercadang memperluaskan pembinaan PPKB ke seluruh negeri dan daerah berdasarkan zon aktif bencana lima tahun terakhir serta keutamaan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri (JPBN).

"Di Terengganu, PPKB sedang dilaksanakan di SK Banggol Paradong, Kuala Terengganu, dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan.

"Projek ini ditender pada 15 Oktober 2024 dan ditutup pada 11 November 2024, dengan jangkaan SST pada Disember 2024," katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Dewan Rakyat pada Rabu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, peruntukan RM600 juta oleh Kerajaan Madani mencerminkan keprihatinan terhadap pengurusan bencana yang lebih baik dan berkesan.

Ia susulan peruntukan hampir RM600 juta disediakan untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebagai persiapan mendepani musibah banjir termasuk lebih RM300 juta yang telah disediakan untuk persiapan sekiranya berlaku bencana pada bila-bila masa.

"Nadma menyedari pentingnya penilaian keperluan dan analisis kos-faedah (CBA) untuk menilai keberkesanan pelaburan dalam pencegahan dan mitigasi bencana.

"Pengumpulan data kerosakan dan kerugian disemua sektor adalah penting bagi menyediakan maklumat tepat untuk analisis CBA dan memastikan penggunaan sumber yang diperuntukkan secara efektif," katanya.

Banjir di Selangor: Kerugian besar, trauma meningkat, projek tebatan gagal

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor (DMPNS) memandang serius isu kegagalan projek Rancangan Tebatan Banjir (RBT) yang telah mengakibatkan kerugian fizikal dan mental yang besar kepada rakyat Selangor.

Ketuanya, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan berkata, kekerapan banjir yang berlaku di tempat tertentu berulang kali telah menyebabkan kerosakan harta benda kepada penduduk termasuk rumah, kenderaan, dan juga premis perniagaan. 

“Kos yang besar juga diperlukan untuk membaiki infrastruktur awam seperti jalan raya, jambatan, dan sistem perparitan yang mengalami kerosakan selain menjejaskan aktiviti ekonomi rakyat termasuk perniagaan dan pertanian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, penduduk yang sering terjejas oleh banjir tidak diduga itu berkemungkinan mengalami trauma akibat pengalaman mereka menghadapi situasi cemas ketika banjir dan menyebabkan tekanan yang berterusan.

“Kegagalan projek tebatan banjir yang masih tidak diselesaikan itu boleh menyebabkan penduduk hilang keyakinan terhadap kemampuan dan kecaknaan kerajaan untuk menyelesaikan masalah banjir,” ujarnya.

Beliau menyatakan, DMPNS mendesak kerajaan untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kegagalan projek tebatan banjir dalam masa yang sama memastikan projek-projek tebatan banjir yang baru dirancang dapat dilaksanakan dengan teliti dan berkesan.

“Penduduk yang terjejas berhak diberikan pampasan yang mencukupi untuk mengurangkan beban mereka dan menyediakan sokongan psikologi kepada mangsa banjir.

“DMPNS menggesa kerajaan agar bertanggungjawab melindungi rakyat daripada bencana alam serta komited mengambil langkah-langkah serius dan berkesan untuk mengatasi masalah banjir di Selangor,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/2024

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search