OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Jualan Rahmah akan diperbanyak di kawasan berisiko banjir – Armizan

Jualan Rahmah akan diperbanyak di kawasan berisiko banjir – Armizan

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperbanyakkan Program Jualan Rahmah termasuk menumpukan kawasan dijangka akan terjejas banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL) supaya harga kekal berpatutan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata usaha itu bagi memastikan orang ramai terus mempunyai akses barangan keperluan asas dan pada masa sama KPDN dapat memastikan bekalan stabil serta harga dapat dikekalkan.

“Sebagai contoh kita akan mengadakan Jualan Rahmah di Pahang kerana kawasan itu antara dijangka sering terjejas banjir. Tetapi penetapan muktamad (Program Jualan Rahmah) itu akan diumumkan kelak oleh kementerian.

“Selain itu, KPDN akan terus membuat pemantauan bagi memastikan harga barang sepanjang musim tengkujuh terkawal dan pada harga berpatutan.

“Kita juga akan memastikan pegawai pemantau harga barang yang membabitkan sebanyak 480 jenis barangan ditugaskan setiap hari bagi memastikan kestabilan harga,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MylPO) di Menara MyIPO di sini, hari ini.

MoU itu bertujuan membangunkan sebuah modul khas berkenaan harta intelek yang akan dimasukkan sebagai elemen rentas kurikulum (EMK) dalam kurikulum sedia ada.

Armizan turut menjelaskan, KPDN turut melantik Peruncit Daerah Terpilih (DDR) dan Pemborong Daerah Terpilih (DDW) di kawasan berisiko terjejas banjir bagi memastikan bekalan barangan mencukupi dan dapat diakses orang ramai.

“Menerusi langkah ini, KPDN dapat mengekang sebarang kenaikan harga yang mungkin berlaku akibat peningkatan permintaan serta cabaran bekalan di kawasan banjir.

“Saya yakin langkah ini juga dapat memastikan tiada lonjakan harga yang membebankan rakyat ketika musim tengkujuh,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) baru-baru memaklumkan musim tengkujuh di negara ini dijangka berterusan hingga Mac depan dan membawa antara lima hingga tujuh episod hujan lebat.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search