OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Fokus kurangkan risiko kerugian

Kuantan: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersiap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula bulan depan.

Ketua Setiausaha KPM Datuk Ruji Ubi berkata, antara langkah kesiapsiagaan ialah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di semua peringkat KPM membabitkan agensi pengurusan bencana.

Katanya, antara agensi berkenaan ialah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Surat Pemakluman Berkaitan Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana Banjir dan Garis Panduan Pengurusan Banjir di Sekolah sudah dikeluarkan pada 22 Oktober lalu.

"Semua jabatan pendidikan negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan diberi peringatan untuk mengambil langkah kesiapsiagaan menghadapi MTL 2024/2025 bagi mengurangkan risiko kerugian yang akan dihadapi meliputi nyawa dan harta benda.

"Surat peringatan ini disertakan dengan garis panduan tindakan sebelum, semasa dan selepas berlaku bencana banjir sama ada oleh institusi yang berisiko banjir atau sekolah yang menjadi pusat pemindahan sementara (PPS).

"Surat ini juga menjelaskan tindakan sekolah yang menumpangkan pelajar semasa menghadapi bencana banjir serta menyenaraikan peranan JPN, PPD, Bahagian KPM dalam menguruskan bencana banjir," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan KPM Menghadapi MTL 2024/2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Garuda, di sini kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme) Shafruddin Ali Hussin dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Amzan Abd Malek.

Pemilihan SMK Padang Garuda itu berdasarkan lokasi sekolah sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) jika berlaku bencana banjir.

Lebih 500 orang terbabit terdiri daripada pelajar, guru, pelajar Institusi Pendidikan Guru (IPG), pegawai JPN, PPD dan KPM serta agensi luar yang berkaitan pengurusan bencana banjir.

Ruji berkata, pelancaran Kesiapsiagaan KPM itu bertujuan menunjukkan optik keperihatinan kementerian terhadap keselamatan dan kebajikan warga KPM berkaitan bencana.

Katanya, selain itu juga meningkatkan kesiapsiagaan warga KPM menghadapi bencana an mewujudkan kefahaman mengenai pendidikan pengurangan risiko bencana dalam kalangan murid dan warga sekolah.

"Pada masa sama, ia akan mewujudkan kerjasama semua pihak dalam menangani isu bencana dan meningkatkan pembabitan warga KPM sebagai sukarelawan.

"Diharapkan pelancaran Kesiapsiagaan KPM Menghadapi MTL 2024/2025 dapat memberikan kesedaran kepada warga KPM dan kerjasama semua pihak amat penting untuk memastikan pengurangan risiko akibat bencana banjir," katanya.

Sementara itu, Shafruddin berkata, sebanyak 5,254 sekolah yang dikenal pasti dan berdaftar sebagai PPS bagi menghadapi MTL 2024/2025.

Walaupun demikian, sebanyak 8,330 sekolah boleh dijadikan PPS sekiranya bencana banjir berlaku pada skala yang besar.

"Manakala 603 buah sekolah dikenal pasti berisiko dilanda banjir di seluruh negara. Bagaimanapun, ada juga sekolah yang tidak pernah banjir mengalami bencana itu.

"Oleh itu kita meminta pengurusan sekolah sentiasa dalam keadaan siap sedia untuk memastikan keselamatan nyawa pelajar dan warga pendidik," katanya.

Bagi memastikan kurangnya risiko kerosakan terutama membabitkan dokumen penting, beliau berkata, pihaknya mengingat dan membenarkan pengetua dan guru besar menyimpannya pada awal bulan ini.

Katanya, dokumen berkenaan disimpan dan diletakkan lebih tinggi termasuk buku teks dan aset penting.

"Bagi pengagihan kerusi dan meja plastik kepada sekolah berisiko banjir, ia bergantung kepada permohonan kerosakan.

"Sebenarnya bermula 2022, kita menukar kerusi dan meja plastik kerana ia lebih selamat dan tahan lama, jika terkena banjir, ia masih dalam keadaan baik dan hanya perlu mencucinya.

"Tetapi kerusi dan meja plastik ini hanya di sekolah yang berisiko banjir dan bukannya semua sekolah," katanya.

Disiarkan pada: Oktober 30, 2024 @ 7:01am

KPM siap siaga hadapi bencana Monsun Timur Laut

KUANTAN – Kementerian Pendidikan (KPM) telah bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula lebih awal tahun ini dengan mempersiapkan ke semua warganya menghadapi bencana banjir.

Ketua Setiausaha KPM, Datuk Ruji Ubi berkata, kesedaran dan penglibatan komuniti KPM menjadi pemacu utama keberkesanan pe­ngurusan dan pengurangan terhadap risiko bencana tersebut.

Menurut beliau, warga sekolah hendaklah sentiasa bersedia apabila institusi pendidikan mereka dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).
 

“Sebagai contoh, jika kejadian bencana berlaku dalam sekolah sudah tentulah guru, murid, pe­ngawal keselamatan, pekerja kebersihan dan kantin perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk menangani situasi yang berlaku dengan cekap dan pantas bagi mengurangkan risiko kebarangkalian yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan bersempena majlis Pelancaran Kesiapsiagaan KPM Menghadapi MTL 2024/2025 yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Garuda di sini kelmarin.

Bersesuaian dengan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 yang diperkenalkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada 3 Oktober lalu, ia berupaya menjadi paksi dan petunjuk kepada pengurusan risiko bencana yang mampan melalui teras strategi dan sasaran yang digariskan.

Disaster Risk Reduction atau (DRR) ini merupakan satu intervensi bagi memastikan warga institusi pendidikan khususnya murid sentiasa bersedia menghadapi bencana.

“Murid diberikan pendedahan yang komprehensif tentang langkah-langkah menghadapi bencana, bagaimana mereka melindungi diri dan keluarga ketika berlakunya bencana,” ujar beliau.

Menurut Ruji, difahamkan bahawa sebanyak 258 institusi pendidikan beroperasi sebagai PPS pada musim MTL tahun lalu.

Sehubungan itu, bantuan dan kerjasama sewajarnya perlu diutamakan bukan sahaja kepada mangsa di PPS tetapi juga kepada agensi yang terlibat menguruskan PPS.

Selain itu, beliau menerangkan, SK Seri Medan di Batu Pahat, Johor, yang menjadi lokasi pembinaan pertama Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) dijangka siap pada November 2025.

“PPKB ini dilengkapi dengan kemudahan asas yang selesa bagi menampung mangsa bencana.

Terdapat sembilan projek rintis PPKB yang sedang dilaksanakan dan lapan daripadanya akan dibina dalam kawasan sekolah,” ujarnya.

Ruji juga menyeru agar warga KPM untuk bersama-sama menyahut rasa kebertanggungjawaban dengan melibatkan diri sebagai sukarelawan.

“Hal sebegini sewajarnya kita berikan sokongan dan dokongan. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua sukarelawan yang terlibat setiap kali bencana berlaku dan teruskan usaha yang murni ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesiona­lisme), Sharifuddin Ali Hussin berkata, program tersebut adalah acara tahunan yang menunjukkan optik keprihatinan KPM terhadap ke­selamatan dan kebajikan war­ganya berkaitan bencana.

Ia juga bertujuan untuk me­ningkatkan kesiapsiagaan warga KPM menghadapi bencana, mewujudkan kefahaman tentang pendi­dikan pengurangan risiko bencana dalam kalangan murid dan warga sekolah.

“Ia juga dapat mewujudkan kerjasama semua pihak dalam menangani isu bencana dan meningkatkan penglibatan warga KPM sebagai sukarelawan,” jelasnya.

Menurut Sharifuddin, beberapa langkah kesiapsiagaan telah diambil KPM bagi menghadapi MTL tahun ini termasuklah me­ngadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di semua peringkat kementerian melibatkan agensi pengurus bencana seperti NAD­MA, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Selain itu, kita juga mengeluarkan surat makluman berkaitan kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir pada 22 Oktober lalu kepada semua jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan ­institusi pendidikan bagi memberi peringatan untuk mengambil langkah kesiapsiagaan menghadapi MTL tahun ini sekali gus mengurangkan risiko kerugian yang akan dihadapi meliputi nyawa dan harta benda.

“Surat peringatan ini disertakan dengan garis panduan tindakan sebelum, semasa dan selepas berlaku bencana banjir samada institusi yang berisiko banjir atau sekolah yang menjadi PPS.

“Tindakan sekolah yang perlu diambil ketika menumpangkan murid atau pelajar semasa meng­hadapi bencana banjir serta menyenaraikan peranan JPN, PPD dan bahagian KPM dalam menguruskan bencana banjir,” katanya.

Sharifuddin berkata, antara langkah lain yang diambil adalah dengan menubuhkan Jawatankuasa Task Force Bencana Banjir MTL KPM khususnya untuk membincangkan tindakan berkaitan bencana banjir yang akan memperincikan tindakan bahagian atau pihak berkaitan selain turut mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana untuk melaporkan status sekolah banjir, PPS sekolah yang dibuka dan bilangan mangsa warga KPM yang ditempatkan di PPS.

“Bilik gerakan ini beroperasi secara maya atau fizikal mengikut keperluan semasa.

“Semua JPN dan PPD juga mempunyai Bilik Gerakan Bencana ma­sing-masing,” katanya.

 

Tambah Sharifuddin, KPM juga akan memperkasakan pasukan pengurus bencana peringkat JPN yang mana pasukan terbabit akan bertindak membantu menyalurkan maklumat dan data berkaitan bencana banjir dan mengurus hal eh­wal berkaitan bencana dalam negeri masing-masing.

“Kita juga turut membina dan melatih pasukan sukarelawan pada pelbagai peringkat seperti guru dan seluruh warga KPM yang berdaftar sebagai ahli Persatuan Sukan dan Kebudayaan KPM (MESCA), guru insani Malaysia (GIM), pelajar Institut Pendidikan Guru dan pelajar Tingkatan 6 (sukarelawan MADANI),” ujarnya.

KPM juga akan membekalkan kerusi dan meja plastik kepada sekolah yang berisiko banjir, ­menyediakan kit sukarelawan untuk menjalankan kerja-kerja kesukarelawanan pasca banjir terutama aktiviti pembersihan institusi pendidikan yang terkesan banjir.

Ia juga menyediakan kit sumbangan banjir untuk bantuan kepada warga KPM yang terkesan banjir serta menyediakan perkhidmatan kaunseling oleh kaunselor pendidikan, Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) bagi membantu dari aspek kaunseling kepada mangsa banjir. -KOSMO! ONLINE

Penduduk bimbang banjir besar akibat sungai cetek

SETIAP kali tiba musim tengkujuh, penduduk Kampung Kemat, Hulu Terengganu pasti akan dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang disediakan pihak berkuasa di perkampungan itu.

Walaupun banjir diramal akan berlaku, rata-rata penduduk menyuarakan kebimbangan memandangkan keadaan sungai semakin cetek menyebabkan situasi lebih buruk sekiranya hujan lebat berterusan.

 

Wartawan Sinar Harian, NORHASPIDA YATIM cuba menyelami permasalahan dialami penduduk di kawasan itu.

Beberapa penduduk yang menghuni lebih lima rumah berhampiran Sungai Por di Kampung Kemat, di sini, diselubungi kebimbangan sekiranya banjir buruk pada Februari 2022 berulang kembali.

Seorang penduduk, Kadir Daud, 79, berkata penduduk berasa trauma setiap kali berdepan hujan lebat kerana kawasan itu kini sering dilanda banjir kilat.

Menurutnya, air sungai akan melimpah sekiranya hujan lebat tidak berhenti dalam tempoh tiga hingga empat jam.

“Kami yang tinggal di sini sentiasa bersedia ke tempat lebih selamat sekiranya hujan tidak reda kerana air sungai akan naik mendadak dan melimpah memasuki rumah penduduk.

Kadir yang menetap di situ sejak 1968 berkata, sebelum 2022, kawasan itu tidak pernah dilanda banjir besar walaupun hujan lebat.

“Selepas banjir pada 2022, kawasan ini sering dinaiki air kerana keadaan sungai yang cetek.

“Ketika banjir besar sebelum ini, rumah saya dimasuki air sehingga 1.5 meter,” katanya yang menetap bersama isteri, Wan Fatimah Tun Latif, 77, dan empat anak.

Sementara itu, warga emas, Zainon Endut, 80, mengakui cemas setiap kali tiba musim hujan kerana bimbang jambatan dibina sejak 1984 menghubungkan rumahnya ke kawasan lain runtuh atau tidak boleh dilalui.

“Di kampung ini, rumah saya paling dekat dengan sungai. Bila tiba musim hujan, saya takut kalau air naik secara tiba-tiba dan tak sempat lari ke tempat selamat.

“Walaupun begitu, kami sudah buat persiapan awal di mana barangan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh sudah dibawa ke tempat lebih tinggi.

“Ketika banjir melanda tahun lalu, air naik menghampiri tempat simpanan barang dan hampir mencecah barang elektrik,” katanya yang menetap bersama enam ahli keluarga.

Katanya, mujur anak-anaknya yang menetap bersama membantu mengalihkan barangan ke tempat selamat.

Seorang lagi penduduk, Fatimah Mat, 68, berkata banjir besar dua tahun lalu menyebabkannya mengalami kerugian lebih RM2,000 kerana tidak sempat menyelamatkan perkakasan elektrik.

“Banjir tahun lalu pula saya tidak pindah kerana air tidak begitu besar.

“Namun, saya masih teringat banjir pada 2022 terutama apabila hujan lebat dan berasa bimbang.

“Waktu banjir dahulu, lumpur dan selut naik hampir 50 sentimeter dalam rumah, habis semua barang rosak kerana tidak sempat diselamatkan,” katanya.

Jelas Fatimah, mereka yang tinggal di kampung itu berharap kerja mendalamkan sungai dapat segera disiapkan sebelum tiba musim tengkujuh dijangka berlaku bulan depan.

KERJA MENDALAMKAN SUNGAI SUDAH DILAKSANAKAN LEBIH SETAHUN LALU

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemung, Mohd Zawawi Ismail berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah melaksanakan kerja mendalamkan Sungai Por yang terletak berhampiran Kampung Kemat sejak tahun lalu.

Bagaimanapun Mohd Zawawi berkata, pihaknya sukar menjangkakan situasi bakal berlaku memandangkan terlalu banyak pasir di dasar sungai.

“Kita memahami situasi dialami penduduk apabila keadaan sungai cetek dan berisiko mencetuskan banjir besar.

“Dalam tempoh setahun ini, JPS melakukan kerja mendalamkan Sungai Kor, namun laluan sungai dilihat sudah berlaku hakisan.

“Keadaan ini disebabkan kerosakan struktur aliran sungai hingga pasir memenuhi laluan sungai yang bermula sejak banjir besar dua tahun lalu,” ujarnya.

Jelasnya, pihak kerajaan sentiasa berusaha sedaya upaya mengatasi masalah banjir dan penduduk diminta melakukan persediaan awal bagi mengelak terperangkap sekiranya berlaku bencana.

“Mereka yang tinggal di sini sudah ada pengalaman berdepan banjir, cuma kita harap mereka tidak tunggu situasi terlalu genting baru nak pindah.

“Kita nasihatkan supaya bersiap sedia dan segera berpindah jika hujan lebat berterusan.

“Mudah-mudahan situasi banjir tahun ini terkawal dan tidak begitu teruk seperti sebelumnya,” ujarnya.

 

‘Tahun ini saja dah 17 kali kami hadap banjir’

BALING – Rata-rata penduduk di beberapa kampung di sini sudah lali dengan kejadian banjir yang kerap berlaku di kawasan rumah mereka.

Penduduk, Jalaludin Bakar, 52, berkata, sejak akhir-akhir ini setiap kali berlakunya banjir mereka akan berada di rumah dan hanya menunggu banjir surut.

“Tahun ini sahaja sudah 12 kali hadap banjir, dua kali yang paling teruk iaitu air hampir melepasi paras dada kerana rumah kami hanya kurang 10 meter dari tebing Sungai Ketil.
 

“Setiap kali banjir hanya dua kali sahaja saya dan isteri, Zuhaili Zakaria, 36, berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebab arus deras. Itupun sekejap sahaja bila air surut sedikit kami pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru, Kampung Lalang, di sini hari ini.

Penduduk Kampung Pokok Setul, Abdul Ghani Fazli Husain, 35, pula berkata, setiap kali hujan hatinya tidak tenteram apabila teringatkan ibu bapanya di kampung.

“Tahun ini sudah 17 kali banjir berlaku di kawasan rumah ini dan tujuh kali pindah ke PPS, letih sangat apabila setiap kali banjir terpaksa mencuci lantai rumah yang berlumpur dan mengangkut barangan yang rosak untuk dibuang,” ujarnya.

Ketua Kampung Kampung Baru , Ku Rusni Ku Azmi, 45, berkata keseluruhan rumah mangsa banjir melebihi 30 buah rumah dan mencapai 40 buah rumah ketika banjir yang besar, baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE

Peruntukan Segera Diperlukan Tangani Hakisan Pantai, Banjir di Setiu

KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Penduduk Setiu kini resah menghadapi ancaman hakisan pantai dan banjir yang semakin memburuk, terutama menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang bakal melanda Terengganu. 

Dalam sesi Dewan Rakyat semalam, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadirn menggesa kerajaan untuk segera meluluskan peruntukan tambahan bagi menangani isu hakisan yang kian mengancam kawasan tersebut.

Shaharizukirnain menekankan bahawa hakisan pantai kini telah merebak jauh melampaui kawasan yang dilindungi oleh 16 benteng pemecah ombak (breakwater) yang dibina sebelum ini. 

“Kerajaan sudah meluluskan RM84 juta untuk pembinaan breakwater di Kampung Pengkalan Maras dan Batu Rakit, tetapi peruntukan tambahan segera amat diperlukan bagi menghalang hakisan baru yang semakin mengancam penduduk,” ujarnya. 

Menurutnya, peruntukan hanya diberikan selepas hakisan berlaku, sekali gus mendedahkan penduduk kepada risiko bencana.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai Pantai Bali Kecil, yang kini hampir menceroboh kawasan kediaman penduduk. 

“Saya benar-benar berharap agar cadangan pembinaan benteng pemecah ombak ini dapat disegerakan. 

"Penduduk di kawasan ini sentiasa hidup dalam kebimbangan setiap kali musim MTL tiba,” katanya dengan penuh harapan.

Selain hakisan, isu banjir di Permaisuri turut dibangkitkan, kawasan ini sering kali menjadi lokasi terjejas teruk akibat banjir, walaupun ia menempatkan banyak pejabat agensi kerajaan dan premis perniagaan penting. 

“Mengapa kita harus menunggu sehingga berlaku kerosakan besar?,” tegas Shaharizukirnain, sambil menggesa agar Rancangan Tebatan Banjir Sungai Setiu Fasa 1 yang dianggarkan berjumlah RM200 juta dapat dipercepatkan demi melindungi infrastruktur penting.

Beliau berharap semua pihak memandang serius permasalahan ini demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat Setiu. 

“Penduduk disini amat memerlukan perlindungan yang lebih baik sebelum MTL bermula,” serunya supaya ada tindakan segera daripada pihak berkuasa.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search