OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Amaran hujan berterusan tahap bahaya di dua negeri

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya di beberapa daerah di Terengganu dan Pahang sehingga Jumaat ini.

Metmalaysia dalam kenyataan menerusi platform X 1 tengah hari semalam, memaklumkan di Pahang, lima daerah diletakkan dalam zon merah atau bahaya iaitu Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

Di Terengganu, daerah yang dijangka terjejas susulan taburan hujan sangat lebat dan berterusan adalah Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

Selain itu, amaran cuaca buruk tahap jingga iaitu hujan lebat berterusan turut dikeluarkan di Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Johor.

Daerah dijangka berdepan cuaca tahap buruk membabitkan Padang Terap, Sik dan Baling di Kedah; selain Perak (Hulu Perak); Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu) serta Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Temerloh dan Bera).

Amaran tahap kuning atau hujan berterusan turut dikeluarkan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Johor dan Sabah.

Metmalaysia turut mengeluarkan infografik angin kencang dan laut bergelora membabitkan beberapa kawasan perairan negara setakat jam 1 tengah hari semalam sehingga 30 November ini.

Amaran bagi kategori pertama dikeluarkan membabitkan angin kencang berkelajuan 40 kilometer sejam (km/j) hingga 50 km/j, dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter.

Situasi ini dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Barat Daya Samui, Selatan Bunguran, Tenggara Reef North, Reef South, Selatan Tioman, Labuan dan Palawan.

Selain itu, amaran tahap dua iaitu angin berkelajuan 50 hingga 60km/j dengan ketinggian ombak 3.5 hingga 4.5 meter (m) dijangka membabitkan Terengganu, Kelantan, Tenggara Samui, Utara Tioman, Utara Bunguran, Timur laut dan barat daya Reef North serta Layanglayang.

Bagi amaran kategori ketiga iaitu angin berkelajuan lebih 60km/j dan ketinggian ombak lebih 4.5m dijangka berlaku di Condore dan Barat laut Reef North.

Metmalaysia turut menasihatkan orang ramai supaya kekal waspada dan sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web dan media sosial rasminya, selain aplikasi mobile mycuaca atau talian hotline 1-300-22-1638.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Norazam Khamis, berkata pihaknya akan menggunakan dron bagi memantau dan menilai paras air sungai, terutama di kawasan berisiko banjir di negeri di Pantai Timur.

Beliau berkata, dron itu juga akan diterbangkan di kawasan berisiko dan pedalaman yang terputus hubungan sekiranya berlaku banjir besar.

“Kita akan menggerakkan unit dron untuk membantu negeri membuat pemantauan melalui darat jika hujan berterusan dan pemantauan itu lebih sesuai menggunakan dron.

“Pada asasnya, kita akan menggerakkan unit dron Bahagian Udara (ibu pejabat) dan dron yang ada di negeri untuk sama-sama buat pemantauan banjir, terutama di kawasan pedalaman atau berhampiran sungai dan kawasan yang rendah

serta mudah dinaiki air,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Wakaf Tapai, Marang, semalam.

 

39 pesawah rugi RM1 juta

Selain itu, seramai 39 pesawah dari Kampung Luar dan Kampung Tersang, di Rantau Panjang, Kelantan, menanggung kerugian hampir RM1 juta selepas sawah padi seluas 121 hektar ditenggelami banjir sejak minggu lalu.

Ketua Unit Pertubuhan Peladang Kawasan Kampung Luar dan Kampung Tersang, Azli Jaafar, berkata keseluruhan padi berkenaan sudah masak dan sepatutnya dalam fasa penuaian.

Beliau berkata, padi biasanya akan rosak selepas ditenggelami air selama tiga atau empat hari, sekali gus mensia-siakan usaha pesawah yang sudah menyemai benih sejak empat bulan lalu.

“Sebenarnya kami mula menyemai agak lewat susulan banjir fasa lalu yang pulih pada Februari. Kami menjangkakan sempat untuk proses menuai sebelum musim tengkujuh tiba, tetapi jangkaan meleset apabila bah melanda lebih awal.

“Tambahan pula, pembinaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok yang mana berdekatan dengan kawasan ini turut menyebabkan air naik dengan cepat berbanding biasa,” katanya ketika ditemui di Kampung Luar, Gual Periok, di sini, semalam.

Azli yang sudah lebih 20 tahun bekerja sebagai pesawah berharap kerajaan dan pihak bertanggungjawab dapat membantu mereka demi kelangsungan untuk meneruskan tanaman baharu pada musim akan datang.

 

5 dewan gantian SPM jika pusat peperiksaan ditenggelami banjir

Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menyediakan lima dewan gantian bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekiranya sekolah yang dijadikan pusat peperiksaan itu ditenggelami banjir.

Pengarahnya Jelani Sulong berkata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih dan SMK Mak Lagam di Kemaman antara lima pusat peperiksaan SPM yang dikenal pasti mudah ditenggelami banjir.

Katanya, turut dikenal pasti mudah dinaiki air adalah SMK Tengku Ampuan Afzan, Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah dan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu di Hulu Terengganu.

“Calon SPM yang menduduki peperiksaan di sekolah itu akan dipindahkan ke pusat berhampiran jika lokasi berkenaan ditenggelami banjir.

“Kita juga sudah mengenal pasti laluan ke pusat peperiksaan SPM yang mudah ditenggelami air dan calon akan ditempatkan di asrama sekolah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Jelani mengulas persiapan pihaknya bagi peperiksaan SPM dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL).

Terengganu mempunyai 18,907 calon di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang akan bermula pada 2 Disember hingga 6 Februari depan di 166 pusat peperiksaan di seluruh negeri.

Menurutnya lagi, 1,684 pengawas dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan tahunan itu, manakala enam hospital turut menjadi pusat peperiksaan untuk calon berkeperluan, dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.

“JPNT juga sentiasa berkolaborasi dengan agensi lain untuk membawa calon SPM yang terkandas akibat banjir, yang mana pengetua sekolah akan menghubungi calon untuk makluman jika laluan ke pusat peperiksaan ditenggelami air,” katanya.

13 bukit lokasi pindah kecemasan

Sebanyak 13 bukit dikenali pasti sebagai lokasi perpindahan kecemasan penduduk, sekiranya banjir besar berlaku yang menyebabkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tenggelam.

Ketua Jajahan Gua Musang yang juga Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Nik Raisnan Daud berkata, inisiatif itu mengambil iktibar daripada bah besar berlaku pada 2014 yang menyebabkan penduduk terpaksa menyelamatkan diri di atas bukit dan ada antaranya terputus bekalan makanan.

“Antara lokasi yang dikenal pasti di Kampung Batu Papan, Lebir, Kampung Limau Kasturi dan Aring. Ketika kejadian banjir besar yang berlaku 10 tahun lalu di luar jangka dan kita tidak ada persiapan awal.

“Jadi di lokasi yang sudah dikenali pasti ini, pihak kami menyediakan pelbagai kelengkapan untuk kegunaan mangsa banjir termasuk makanan, peralatan memasak, lampu suluh, tali dan khemah,” katanya semalam.

Nik Raisnan berkata, lokasi semua bukit itu akan dihebahkan ketika solat Jumaat dengan bantuan penggawa dan penghulu apabila tiba masanya.

Dalam masa sama katanya, beliau meminta semua masjid dan surau mengadakan solat hajat mendoakan tidak berlaku musibah besar pada Monsun Timur Laut ini.

“Kesiapsiagaan kita bagi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka banjir basar sudah bermula awal dan pada bulan lalu kami menganjurkan program simulasi banjir yang membabitkan

semua agensi keselamatan.

“Selain terdapat lima bot daripada pelbagai agensi, terdapat juga 25 bot persendirian sudah didaftarkan sebagai persediaan banjir di daerah ini,” katanya meminta semua penduduk terutama di kawasan rendah supaya berwaspada dan peka.

Bina rakit dalam rumah elak perkakas ditenggelami air

Bertahun menghadapi banjir dan menanggung banyak kerugian menyebabkan pasangan warga emas ini membina rakit di dalam rumah mereka di Kampung Pengkalan Ajal, di sini.

Ia bagi menyelamatkan pelbagai barang dan perkakas rumah yang mudah rosak jika ditenggelami air.

Menurut Zainun Abdullah, 65, kediaman mereka terletak berhampiran sungai boleh ditenggelami air sehingga lima meter setiap kali musim tengkujuh.

Katanya, disebabkan itu dia dan suami, Mohd Sulong, 73, membina rakit di dalam rumah sejak empat tahun lalu.

“Sebelum ini, kami bina rumah rakit di luar untuk meletakkan barangan termasuk motosikal yang akan dipindahkan sebelum banjir, dan rakit itu perlu diangkat untuk diletakkan di dalam rumah.

“Namun, memandangkan suami kurang sihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan saya tidak larat untuk angkut barang dari atas rumah ke rakit di luar, jadi timbul idea bina rakit di dalam rumah.

“Ada dua rakit dibuat, satu untuk meletak barangan berat seperti peti sejuk dan mesin basuh, manakala satu lagi untuk meletakkan barang dapur dan bahan keperluan harian seperti beras, tepung, minyak, gula dan bahan masakan dan pakaian,” katanya.

Menurutnya, rakit itu berukuran 1.5 meter lebar dan 2.5 meter panjang dengan bahagian bawah diapungkan dengan sembilan tong plastik kecil yang dilekatkan dengan paku dan tali.

Bomba uses drones to help monitor water levels in Terengganu

The Malaysian Fire and Rescue Department will deploy drones to help monitor floods in Terengganu during this northeast monsoon season.

Its air division director Datuk Norazam Khamis said two drone units will be based at the department’s forward operations base at the Malaysian Fire and Rescue Academy Eastern Region, Wakaf Tapai here.

He said the technology can be used to monitor flood developments from the air, especially in rural areas and locations near rivers within a 16km distance.

“We will deploy drones to assist the state in ground monitoring if the rain continues.

“It is more suitable to monitor using drones,” he said after conducting aerial monitoring using the AW189 helicopter in the flood-affected areas yesterday, Bernama reported.

“We will send two drones from the state Fire Department, while the Terengganu government also has two drones. Each unit will be operated by two certified personnel with the expertise.”

Norazam said the department will also add helicopter facilities at the base if the need arises for rescue operations, to deliver food and necessities and provide medical services.

A total of 58 members of the Rapid Action Team (Red Team) are also fully prepared to be deployed at any time in case of a disaster.

Meanwhile, the Meteorological Department (Metmalaysia) has issued a warning of dangerous levels of continuous heavy rain in several areas in Terengganu and Pahang until Friday.

The public can get the latest weather information via the department’s official website, mycuaca mobile application and its official social media pages, as well as the Metmalaysia hotline at 1300-22-1638 for further enquiries.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search