Amaran cuaca peringkat waspada di Sarawak
- Admin UKK
- Berita
KUCHING, 25 Jan: Pejabat Meteorologi Sarawak mengeluarkan amaran cuaca peringkat waspada melibatkan sebahagian besar kawasan di Sarawak.
Pengarahnya Khairul Najib Ibrahim berkata, amaran tersebut dikeluarkan berikutan keadaan cuaca lembap dan hujan berterusan yang berpotensi menyebabkan risiko banjir di beberapa kawasan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka terhadap perkembangan semasa dan memantau sebarang amaran dikeluarkan pihak berkuasa
“Pihak MetMalaysia telah mengeluarkan amaran peringkat waspada pada 24 Januari 2025 yang melibatkan sebahagian besar kawasan Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Mukah, Betong, Bintulu dan Miri. Justeru itu, orang ramai dinasihatkan supaya peka dengan amaran yang dikeluarkan.” katanya ketika dihubungi TVS, pada Sabtu.
Di samping itu katanya, orang ramai hendaklah bersedia menghadapi risiko kejadian banjir dan mematuhi arahan pihak berkuasa serta pastikan segala maklumat yang diperoleh adalah dari sumber sahih dan elakkan menyebarkan berita yang diragukan terutama semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, analisis terhadap model ramalan cuaca menunjukkan Luruan Monsun dijangka memasuki rantau negara bermula 26 hingga 30 Januari 2025.
Katanya, cuaca sejuk dan lembap diramalkan semasa sambutan Tahun Baharu Cina 2025, dengan hujan berterusan dijangka melanda Sarawak dari 27 hingga 30 Januari.
Tambahnya, keadaan tersebut berpotensi menyebabkan hujan lebat dan berterusan di Sarawak dan Sabah, serta amaran angin kencang dan laut bergelora di perairan Laut China Selatan dalam tempoh sama.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa merujuk laman web rasmi www.met.gov.my, media sosial MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih. -TVS