OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Hujan lebat diramal membadai 5 negeri petang ini

KUALA LUMPUR: Hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang diramal membadai Perak, Selangor, Johor, Sarawak dan Sabah sehingga jam 6 petang hari ini.

Selain Muallim di Perak, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam hantaran di Facebook memaklumkan cuaca itu diramal di Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor di Selangor.

Selain itu, katanya, keadaan cuaca itu di Johor dijangka membadai Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.

"Di Sarawak pula membabitkan kawasan Kuching (Bau dan Kuching), Samarahan, Sri Aman, Betong (Pusa dan Betong), Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu (Sibu), Kapit (Song), Bintulu (Bintulu dan Sebauh) dan Miri (Subis).

"Di Sabah, cuaca sama dijangka melanda Kawasan Pantai Barat (Papar) dan Tawau (Tawau dan Semporna)," katanya.

METMalaysia berkata, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Katanya, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

 

Banjir Kelantan: Operasi perniagaan di Rantau Panjang tutup

RANTAU PANJANG: Operasi perniagaan di bandar ini ditutup sementara susulan semua jalan masuk utama ke pekan itu dinaiki air separas 0.4 hingga 0.8 meter sejak tengah hari tadi.

Tinjauan di tiga pintu penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) juga mendapati hanya satu pintu boleh dilalui kenderaan berat, manakala pintu dua di Kampung Parit Air serta pintu tiga di Kampung Kubang Rambutan ditutup sepenuhnya.

Peniaga, Amran Abdullah, 45, berkata dia sempat membuka kedai pakaian miliknya jam 10 pagi tadi kerana keadaan dilihat tenang, namun pada jam 12 tengah hari tadi, beberapa jalan masuk mula dinaiki air.

"Ramai rakan peniaga yang membuka kedai separuh hari sahaja dan mengambil keputusan mengemas barangan kerana bimbang paras banjir semakin meningkat dan memasuki bahagian dalam premis ini.

"Tambahan pula, pelanggan tidak dapat memasuki pekan ini dan saya dimaklumkan jalan utama Rantau Panjang - Pasir Mas dan Rantau Panjang - Panglima Bayu juga sudah terputus akibat ditenggelami air," katanya.

Sementara itu, Siti Aminah Zakaria, 38, mengambil keputusan menutup terus kedai miliknya kerana bimbang turut terperangkap dalam pekan berkenaan.

"Sebaik diberitahu jalan masuk sudah digenangi air saya segera menutup kedai dan pulang memandangkan saya menunggang motosikal. Biasanya air di sini arusnya deras jadi saya risau perkara buruk terjadi jika tidak keluar awal," katanya.

Menurutnya, dia berharap banjir kali ini tidak terlalu lama memandangkan berniaga di pekan Rantau Panjang adalah punca pendapatan utama dia sekeluarga.

 

Banjir di Kelantan makin buruk, mangsa naik mendadak hampir 10,000 orang di 89 PPS

KOTA BHARU: Keadaan banjir di Kelantan makin buruk apabila jumlah mangsa meningkat mendadak kepada 9,868 orang sehingga jam 3 petang ini, berbanding 3,844 orang pagi tadi.

Semua mangsa membabitkan 3,020 keluarga itu ditempatkan di 89 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah iaitu Pasir Mas, Kuala Krai, Jeli, Machang, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kota Bharu, Bachok dan Tumpat.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa berada di 16 PPS di Pasir Mas, 15 PPS di Kuala Krai, masing-masing 14 PPS di Kota Bharu, Tanah Merah dan Pasir Puteh, enam PPS di Machang, masing-masing empat PPS di Bachok dan Jeli serta dua PPS di Tumpat.

Jumlah mangsa banjir paling ramai di daerah Pasir Mas iaitu 2,290 orang membabitkan 734 keluarga diikuti Pasir Puteh (1,605 orang, 530 keluarga); Kota Bharu (1,570 orang, 484 keluarga); Kuala Krai (1,347 orang, 402 keluarga); Tanah Merah (815 orang, 255 keluarga); Tumpat (691 mangsa, 186 keluarga); Bachok (600 orang, 148 keluarga); Jeli (544 orang, 146 keluarga) dan Machang pula 406 mangsa daripada 135 keluarga.

Mangsa banjir ditempatkan termasuk di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Ketereh di Kota Bharu iaitu 534 mangsa daripada 152 keluarga, SK Chica Tinggi (426 mangsa, 157 keluarga) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial di Pasir Mas (331 mangsa, 120 keluarga).

Sementara itu, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Teluk Mesira, Bachok terpaksa dihenti tugas sementara berikutan limpahan air banjir telah memasuki kawasan dan bangunan sistem rawatan loji, bermula pagi tadi.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan bekalan air hampir 1,300 akaun pengguna terjejas. 

Antara kawasan terbabit ialah Teluk Mesira, Taman SPP, Kampung Jembal, Kampung Tok Jawa, Kampung Budi, Kampung Pintu Gerbang, Kampung Wakaf Zin, Kampung Desa Kerian, Kampung Dusun Durian, Kampung Chicha Menyabung dan Kampung Gajah Mati.

"AKSB akan menggerakkan lori tangki untuk membantu pengguna terjejas. AKSB melalui PINTAS juga akan membuat pemakluman kepada pengguna terlibat melalui sistem Infoblast dan akan dikemas kini dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.

AKSB akan memaklumkan perkembangan lanjut situasi berkenaan dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi di laman sesawang www.airkelantan.com.my, aplikasi MyAKSB, Facebook, Instagram atau hubungi PINTAS melalui talian 15777 jika pengguna mempunyai sebarang pertanyaan dan aduan.

 

Laluan ditenggelami air 2 meter, jenazah di bawa ke kubur naik bot

KUALA KRAI: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menggunakan bot untuk membawa jenazah seorang warga emas selepas laluan ke kubur ditenggelami air sedalam dua meter.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Krai, Kapt (PA) Abd Fatah Abd Aziz, berkata Faizah Ismail, 74, meninggal dunia di rumahnya akibat strok dan sakit tua.

Katanya, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.26 tengah hari daripada Penghulu Mukim Batu Jong bagi bantuan membawa jenazah dari Taman Sri Nal ke Tanah Perkuburan Islam Mukim Batu Jong.

"Seramai 10 anggota bergegas ke lokasi dan tiba di rumah arwah pada pada jam 2.15 petang.

"Laluan dari rumah arwah ke tanah perkuburan sejauh lima kilometer dinaiki air sedalam dua meter menyebabkan pasukan penyelamat terpaksa menggunakan bot bagi membawa jenazah ke tanah perkuburan," katanya ketika dihubungi.

Katanya, pasukan penyelamat tiba di tanah perkuburan pada jam 2.30 petang dan membantu pengurusan pengebumian jenazah. "Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.30 petang," katanya.

 

Amaran hujan lebat berterusan peringkat bahaya hingga Jumaat

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya, yang dijangka berlaku di seluruh Kelantan dan Terengganu serta daerah Kuantan dan Jerantut di Pahang hingga Jumaat ini.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling), Perak (Hulu Perak) dan beberapa kawasan di Pahang melibatkan Cameron Highlands, Lipis, Maran, Pekan dan Rompin diramal mengalami hujan lebat berterusan tahap buruk bagi tempoh sama.

Hujan berterusan tahap waspada pula dijangka melanda Raub, Bentong, Temerloh dan Bera di Pahang; Pulau Pinang; Kedah (Langkawi, Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu) serta Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar).

Amaran sama juga dikeluarkan bagi Segamat, Mersing dan Kota Tinggi di Johor; serta Telupid, Beluran, Sandakan dan Kudat, Sabah hingga 29 November ini.-BERNAMA

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search