Pengangkutan awam percuma selama seminggu di Bangkok bagi tangani pencemaran
- Admin UKK
- Berita
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, mengarahkan khidmat pengangkutan awam diberikan secara percuma di Bangkok selama seminggu bermula hari ini.
Tindakan itu dilihat sebagai usaha terdesak kerajaan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas serta kabus asap yang menyelubungi bandar itu dengan pencemaran selama beberapa hari.
Bas dan laluan kereta api elektrik di ibu negara akan diberikan percuma, kata Timbalan Perdana Menteri, Suriya Juangroongruangkit, dalam satu taklimat di Bangkok semalam sambil menambah arahan berkenaan datang daripada perdana menteri.
Kerajaan akan memberi pampasan kepada pengendali BTS Group Holdings dan Bangkok Expressway serta Metro, bersama pengendali bas yang dikawal kerajaan.
Langkah itu menunjukkan betapa seriusnya masalah pencemaran di Bangkok, yang memaksa banyak sekolah ditutup minggu lalu dan orang ramai digesa bekerja dari rumah.
Perdana Menteri turut dikritik oleh pembangkang kerana menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos sementara bandar itu bergelut dengan masalah pencemaran yang teruk, sehingga tersenarai sebagai antara bandar paling tercemar didunia.
Pencemaran udara yang semakin teruk itu berlaku menjelang cuti Tahun Baharu China di sebahagian besar Asia, berkemungkinan akan membawa ribuan pelancong tambahan ke bandar dan pantai berhampiran.
Kos ekonomi akibat kualiti udara yang semakin buruk, disebabkan oleh tahap zarah halus tidak sihat dikenali sebagai PM2.5, dijangka mencecah sekurang-kurangnya 3 bilion baht (RM390 juta) sebulan.
Anggaran berdasarkan perbelanjaan kesihatan dan kos berkaitan itu dikeluarkan oleh Pusat Penyelidikan Kasikorn yang berpangkalan di Bangkok, dalam nota penyelidikan pada 24 Januari.
Selain daripada pengangkutan percuma di Bangkok, perdana menteri turut mengarahkan pihak agensi untuk mempertingkatkan usaha menangani masalah jerebu dengan menggalakkan orang ramai untuk bekerja dari rumah.
Kerajaan turut melakukan pembenihan awam, serta mengetatkan pemantauan bagi mengurangkan asap kenderaan dan debu dari tapak pembinaan, menurut beberapa hantaran di X.
"Kerajaan tidak hanya berpeluk tubuh, sebaliknya akan mengambil setiap tindakan yang munasabah dilakukan untuk memperbaiki keadaan ini dengan segera," ciap Paetongtarn, menggambarkan kabus PM2.5 sebagai isu nasional.
Walaupun sebahagian daripada kabus asap dihasilkan dalam negeri, negara itu turut terkesan dengan asap daripada kebakaran yang dilakukan oleh petani di seluruh Asia Tenggara, termasuk di Kemboja dan Laos.
Namun, kerajaan Thailand berharap inisiatif menyediakan pengangkutan awam secara percuma akan memberi kesan positif.
"Kami menjangka ini akan membantu mengurangkan penggunaan kereta persendirian sebanyak 20 hingga 30 peratus.
"Kami akan menilai semula sama ada kerajaan perlu melanjutkan langkah ini," kata Suriya. - AGENSI