OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Jumlah mangsa bah tiga negeri kekal

Jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak, Johor dan Pahang masih kekal setakat pagi semalam.

Di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan, jumlah mangsa yang terjejas akibat bencana itu kekal dengan 186 individu membabitkan 57 keluarga di daerah Manjung setakat jam 8 pagi semalam dan kesemua mereka ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Beruas.

Pada masa sama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan turut memaklumkan paras air Sungai Rui di daerah Hulu Perak berada pada tahap amaran iaitu setinggi 165.79 meter berbanding paras normal 165.10 meter.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan hujan berterusan dijangka di sekitar kawasan Hulu Perak.

Situasi banjir di Johor juga tidak menunjukkan perubahan dengan jumlah mangsa kekal 40 orang daripada 12 keluarga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan kesemua mangsa terjejas akibat bencana itu masih ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak di Segamat.

“Selain itu hanya satu sungai di daerah Segamat dilaporkan melepasi paras amaran iaitu stesen Sungai Muar di Buloh Kasap dengan bacaan 8.85 meter,” katanya.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir kekal 41 orang daripada 12 keluarga yang ditempatkan di tiga membabitkan dua daerah terjejas iaitu Bera dan Maran.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan 30 mangsa berada di PPS di Bera iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Gemuruh dan Balai Raya Kampung Seberang Guai, sementara 11 orang di PPS Balai Raya Kampung Baru Pertanian, Maran.

Banjir cetus 7 penyakit bawaan organisma sangat berbahaya

Bencana banjir yang sering berlaku sejak kebelakangan ini dibimbangi membawa sekurang-kurangnya tujuh jenis penyakit bawaan organisma seperti bakteria dan parasit, yang dikesan sangat berbahaya kepada kesihatan manusia.

Antara penyakit paling ditakuti, namun sering dipinggirkan ialah demam kepialu, kolera dan leptospirosis, berpunca daripada bakteria serta demam denggi dan Hepatitis A yang disebabkan oleh virus.

Jangkitan parasit bawaan air seperti giardiasis, cryptosporidiosis dan blastosistosis juga berisiko menimbulkan pelbagai masalah kesihatan, kerana ia sering terlepas pandang, terutama selepas banjir berakhir.

Pensyarah Kanan Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Vinoth Kumarasamy, berkata kejadian banjir yang meningkat akibat perubahan cuaca ekstrem global serta diburukkan lagi dengan kehadiran monsun mampu meningkatkan risiko kesihatan secara signifikan.

Katanya, banjir mempercepatkan penularan pelbagai patogen seperti bakteria, virus dan parasit yang berkembang dalam air tercemar.

“Sebagai contoh, pada Mei 2024, banjir di selatan Brazil mencetuskan wabak leptospirosis terutama di kawasan bandar dengan tahap sanitasi rendah.

“Penemuan serupa menunjukkan banjir mempercepatkan penyebaran bakteria, virus dan parasit yang berkembang dalam air tercemar.

“Kajian diterbitkan dalam jurnal Water tahun lalu mendapati populasi bakteria di sungai meningkat secara ketara sewaktu monsun, sekali gus meningkatkan risiko penyakit bawaan air.

“Penduduk di kawasan bandar pertengahan sungai lebih terdedah kerana keadaan persekitaran yang menggalakkan penularan penyakit,” katanya kepada BH, baru-baru ini.

Penyakit bakteria

Menurut Dr Vinoth, penyakit bakteria seperti demam kepialu, kolera dan leptospirosis adalah antara yang paling membimbangkan ketika banjir.

Kejadian banjir yang meningkat akibat perubahan cuaca ekstrem global serta diburukkan lagi dengan kehadiran monsun mampu meningkatkan risiko kesihatan Dr Vinoth Kumarasamy,

“Demam kepialu disebabkan oleh Salmonella enterica serotip Typhi, yang ditularkan melalui makanan atau air tercemar. Gejalanya termasuk demam tinggi, sakit kepala serta masalah pencernaan seperti loya dan sakit perut. Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan komplikasi serius seperti perforasi usus atau septisemia.

“Kolera pula berpunca daripada Vibrio cholerae, dengan gejala cirit-birit berair akut yang boleh menyebabkan dehidrasi, kejutan dan kematian jika tidak ditangani segera.

“Leptospirosis atau jangkitan zoonotik yang tersebar melalui air tercemar dengan air kencing tikus, sering ditemui dalam air banjir. Ia biasanya menunjukkan gejala seperti demam tinggi dan sakit otot, namun dalam kes teruk, boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, kegagalan hati, meningitis atau komplikasi pernafasan,” katanya.

Mengulas lanjut Dr Vinoth berkata, banjir memburukkan lagi penularan penyakit bawaan vektor seperti demam denggi.

“Air bertakung selepas banjir menyediakan tempat pembiakan ideal bagi nyamuk Aedes yang menyebarkan virus denggi. Ia mengakibatkan pesakit mengalami demam teruk, sakit sendi dan otot, serta dalam beberapa kes, demam berdarah yang boleh mengancam nyawa.

“Satu lagi risiko kesihatan ialah Hepatitis A, yang tersebar melalui makanan atau air tercemar. Penyakit ini menyebabkan gejala seperti penyakit kuning, keletihan, loya, sakit perut dan masalah pencernaan,” katanya.

Mengulas mengenai ancaman parasit bawaan air seperti Giardia, Cryptosporidium dan Blastocystis, beliau berkata parasit ini boleh menyebabkan penyakit gastrousus seperti giardiasis, cryptosporidiosis, dan blastosistosis.

“Parasit ini biasanya ditularkan melalui sisa atau telur dalam air tercemar dan boleh menyebabkan gejala seperti cirit-birit, loya, muntah dan sakit perut.

“Kanak-kanak dan warga emas lebih terdedah kepada dehidrasi teruk akibat jangkitan ini yang boleh membawa kepada komplikasi kesihatan serius jika tidak dirawat segera.

“Kanak-kanak yang mungkin menelan air banjir ketika bermain perlu dipantau dengan teliti. Jika menunjukkan gejala seperti kekejangan perut, cirit-birit atau demam, rawatan perubatan segera diperlukan. Rawatan awal boleh mencegah komplikasi dan memperbaiki proses pemulihan,” katanya.

 

353 premis KEMAS rosak akibat banjir, babit kerugian RM6J

Alor Setar: Sebanyak 353 premis Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di seluruh negara mengalami kerosakan membabitkan kerugian kira-kira RM6 juta akibat banjir yang melanda sejak November lalu.

Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man, berkata daripada jumlah itu, premis yang terjejas merangkumi 339 premis Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) dan Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA), 11 premis pendidikan kemahiran dan tiga Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM).

Katanya, ia membabitkan lapan negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Sarawak.

“Bencana banjir ini sedikit sebanyak menjejaskan sesi pengajaran dan pembelajaran (PDP), membabitkan seramai 7,673 kanak-kanak tabika dan taska dan 855 kakitangan KEMAS di negeri-negeri terbabit terutama di Kelantan dengan kerosakan yang agak serius berbanding negeri lain.

“Di Kelantan sebanyak 212 premis terjejas banjir diikuti Terengganu membabitkan 96 premis dan Kedah sebanyak 19 premis.

“Kita sudah menggerakkan Skuad Ihsan MADANI di seluruh negeri untuk melaksanakan misi bantuan banjir, termasuk kerja-kerja pembersihan premis dan kediaman terjejas. Keutamaan kami adalah memastikan operasi premis KEMAS dapat disambung seperti biasa dengan segera,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kesan banjir di TABIKA KEMAS Alor Gunung di sini, semalam.

Mohd Hanafiah berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sudah mengarahkan permohonan mendapatkan bajet baik pulih untuk premis KEMAS yang terbabit.

Katanya, KEMAS sudah mengangkat permohonan kepada Ketua Setiausaha (KSU) kementerian dan tindakan segera mendapat maklum balas pada dasarnya peruntukan yang dipohon diluluskan dan akan disalurkan sedikit masa lagi.

“Cuma kalau peruntukan yang dapat itu tidak mencapai kepada jumlah yang ada, sekurang-kurangnya kita hendak pastikan ia boleh digunakan semula untuk anak anak dan kita utamakan faktor keselamatan dan kebersihan.

“Isu keselamatan itulah yang paling penting, kita tak nak nanti anak-anak masuk bangunan itu tidak selamat untuk mereka, selain itu kita juga sedang meneliti bangunan yang terjejas sama ada selamat atau tidak untuk digunakan, setakat ini, kerja-kerja pembersihan giat dilaksanakan dan 93 peratus dapat diselesaikan dapat waktu terdekat sebelum anak-anak meneruskan sesi pembelajaran ,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hanafiah berkata pihaknya bersama KKDW sedang mengusahakan sesuatu supaya program pratahfiz yang dilaksanakan di tabika KEMAS ketika ini dapat diteruskan kepada pelajar meskipun mereka sudah menginjak ke sekolah kebangsaan.

Katanya, antara langkah termasuk membenarkan anak-anak itu dihantar ke TABIKA berkenaan pada waktu petang bagi menyambung kelas tahfiz ikuti di situ.

Lembangan sungai utama di Kelantan dijangka bah

Lembangan sungai utama di 10 jajahan di Kelantan dijangka berlaku banjir bermula esok hingga 19 Disember, menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Kenyataan amaran yang disiarkan BERNAMA itu adalah susulan ramalan hujan berterusan tahap waspada oleh Jabatan Meteorologi (Metmalaysia) semalam, membabitkan jajahan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh, Kuala Krai, Jeli, dan

Gua Musang.

Di Tumpat, kawasan yang dijangka banjir ialah lembangan Sungai Golok (Sungai Pengkalan dan Sungai Mentua), lembangan Sungai Kelantan dan lembangan Sungai Pengkalan Nangka.

Pasir Mas pula membabitkan lembangan Sungai Golok (Sungai Lemal Mati, Sungai Lemal, Sungai Rengas, Sungai Lacang, Sungai Tasik Danau To'uban, Sungai Tasek Garu, Sungai Lanchang, Sungai Bunut Susu dan Sungai Meranti) dan Lembangan Sungai Kelantan.

Di Kota Bharu membabitkan lembangan Sungai Kelantan (Sungai Banggol Chicha, Sungai Gutong, Sungai Ketereh, Sungai Che Latif, Sungai Kemasin, Sungai Keseng, Sungai Melor, Sungai Mulong, Sungai Pengkalan Chepa, Sungai Pengkalan Datu, Sungai Raja Gali, Sungai Seribong dan Sungai Tikat).

Di Tanah Merah membabitkan lembangan Sungai Golok (Sungai Jegor dan Sungai Lanas) dan lembangan Sungai Kelantan (Sungai Jegor, Sungai Air Bujing, Sungai Kusial, Sungai Manal dan Sungai Jedok).

Turut terbabit lembangan Sungai Gali, lembangan Sungai Kemasin (Sungai Jelawat) dan lembangan Sungai Semerak (Sungai Lubuk Nibong dan Sungai Melor) di Bachok.

Di Machang membabitkan lembangan Sungai Kelantan (Sungai Abal, Sungai Bagan, Sungai Dalu, Sungai Galang, Sungai Hala, Sungai Hau, Sungai Joh, Sungai Kemudu, Sungai Kerak, Sungai Kerawang, Sungai Kweng Hitam, Sungai Maka, Sungai Panyit, Sungai Penasa, Sungai Penggam, Sungai Pertok, Sungai Pulai Condong, Sungai Rengas, Sungai Sat, Sungai Tanah Liat, Sungai Wek dan Sungai Sal).

Pasir Puteh pula membabitkan lembangan Sungai Kelantan (Sungai Semerak dan Sungai Tasek) dan lembangan Sungai Semerak (Sungai Belida, Sungai Besut, Sungai Daran Buaya, Sungai Jelor, Sungai Kelong, Sungai Tasek Pauh, Sungai Cherang Ruku, Sungai Bukit Abal, Sungai Buaya Ikat, Sungai Jeram dan Sungai Rasau).

Di Kuala Krai yang terbabit ialah lembangan Sungai Kelantan (Sungai Durian, Sungai Tagor, Sungai Galas, Sungai Sedulek, Sungai Geh, Sungai Nal, Sungai Lebir, Sungai Mel, Sungai Mesek, Sungai Pahi, Sungai Rek, Sungai Sam, Sungai Mas, Sungai Bedal, Sungai Geh, Sungai Kesang, Sungai Gatal, Sungai Lata Tunggil, Sungai Temalir, Sungai Pergau, Sungai Pertang, Sungai Salor, Sungai Sok, Sungai Cucuh Puteri dan Sungai Kerai).

Di Jeli membabitkan lembangan Sungai Golok (Sungai Buloh, Sungai Lanas, Sungai Legeh dan Sungai Satan), lembangan Sungai Pergau (Sungai Chenedoh, Sungai Senolek, Sungai Kuak, Sungai Repang dan Sungai Buloh) dan lembangan Sungai Kelantan (Sungai Pergau, Sungai Belahat, Sungai Jeli, Sungai Jentiang dan Sungai Taduh).

Gua Musang membabitkan lembangan Sungai Kelantan (Sungai Aring, Sungai Chalil, Sungai Chiku, Sungai Cindai, Sungai Galas, Sungai Keneras, Sungai Ketil, Sungai Lebir, Sungai Nenggiri, Sungai Paloh dan Sungai Tupai).

Kumpul maklumat mangsa

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata kerajaan negeri dalam proses meneliti dan mengumpul maklumat mangsa yang terkesan akibat banjir untuk mengenal pasti bantuan sesuai yang boleh disampaikan kepada mangsa.

Katanya, kemusnahan teruk membabitkan kediaman memerlukan kos yang besar, justeru perlu kerjasama kerajaan Persekutuan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Bagaimanapun, katanya, pihaknya kini dalam usaha untuk mengatasi masalah segera dan semasa memandangkan musim Monsun Timur Laut (MTL) masih belum berakhir dengan jangkaan gelombang seterusnya dalam masa terdekat.

 

Over RM429,000 in flood aid distributed to seven states, says M'sian Relief Agency

KUALA LUMPUR: The Malaysian Relief Agency (MRA) has channelled flood aid amounting to over RM429,000 across 41 areas affected by floods in seven states.

The states receiving aid are Pahang, Kedah, Kelantan, Terengganu, Johor, Melaka, and Perlis.

The MRA said that the donations included both food and non-food aid, along with various services.

"The food aid distribution consists of 2,795 packs of basic food, 1,700 packs of cooked food, 5,935 packs of ready-to-eat food, and 100 packages of other food items," the agency said.

 

In terms of non-food aid, the MRA has donated 2,200 pieces of clothing, 40 packs of baby items, 2,700 hygiene packs, and 900 packages of other essential items.

The MRA also provided cleaning services for public libraries, various surau, and 72 homes, benefiting 737 residents. In addition, 131 mobile clinics were dispatched to care for children, adults, and the elderly.

In a statement, the MRA expressed appreciation to individuals, corporates, and various parties who contributed to the MRA2024/2025 Flood Relief Fund.

The agency also urged Malaysians to continue supporting efforts to help flood victims through donations and solidarity.

Donations can be made to the MRA through the RHB bank account, 26424500007270, under the name of the Malaysian Relief Agency Foundation. For more information, contact the MRA head office at 03-91744672. – Bernama

 
 
 
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search