Manila: Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr pada Jumaat memaklumkan kerajaan memindahkan lebih 45,000 penduduk dari kampung-kampung berhampiran Gunung Berapi Kanlaon yang aktif, selepas ia meletus pada Isnin, lapor Xinhua.
Marcos berkata, kerajaan menyasarkan untuk memindahkan kira-kira 84,000 penduduk yang berada dalam zon bahaya sejauh enam kilometer dari gunung berapi itu.
Beliau berkata, kerajaan bersedia membantu penduduk yang terjejas akibat letusan gunung berapi itu, yang menyebabkan beberapa kampung diselubungi abu serta mencemari sumber air minuman komuniti terbabit.
"Kami akan bertindak. Sebarang peningkatan kerosakan dan kemusnahan akan dihadapi dengan tindak balas lebih baik daripada kerajaan," kata Marcos.
Gunung Kanlaon, yang terletak di antara wilayah Negros Oriental dan Negros Occidental di Pulau Negros, Filipina Tengah, menghamburkan abu setinggi lebih 4,000 meter ke udara pada petang Isnin.
Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina memberi amaran kemungkinan berlakunya letusan lebih besar, sekali gus menggesa penduduk dalam zon bahaya dan kawasan sekitarnya untuk berpindah ke tempat selamat.
Marcos turut merayu kepada penduduk, terutama mereka yang enggan meninggalkan rumah dan ladang, agar segera berpindah ke kawasan selamat, termasuk pusat pemindahan sementara seperti sekolah yang diubah menjadi tempat perlindungan.
Kali terakhir Gunung Kanlaon, satu daripada 24 gunung berapi paling aktif di negara itu meletus pada Jun.
KOTA BHARU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjangkakan lembangan sungai utama di 10 jajahan di Kelantan akan berlaku banjir bermula Isnin ini hingga 19 Disember.
Kenyataan amaran itu susulan ramalan hujan berterusan tahap waspada oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hari ini membabitkan jajahan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh, Kuala Krai, Jeli, dan Gua Musang.
Di Tumpat, kawasan yang dijangka banjir ialah lembangan Sungai Golok (Sungai Pengkalan dan Sungai Mentua), lembangan Sungai Kelantan dan lembangan Sungai Pengkalan Nangka.
Pasir Mas pula membabitkan lembangan Sungai Golok (Sungai Lemal Mati, Sungai Lemal, Sungai Rengas, Sungai Lacang, Sungai Tasik Danau To’Uban, Sungai Tasek Garu, Sungai Lanchang, Sungai Bunut Susu dan Sungai Meranti) dan Lembangan Sungai Kelantan.
Di Kota Bharu membabitkan lembangan Sungai Kelantan (Sungai Banggol Chicha, Sungai Gutong, Sungai Ketereh, Sungai Che Latif, Sungai Kemasin, Sungai Keseng, Sungai Melor, Sungai Mulong, Sungai Pengkalan Chepa, Sungai Pengkalan Datu, Sungai Raja Gali, Sungai Seribong dan Sungai Tikat).
Di Tanah Merah membabitkan lembangan Sungai Golok (Sungai Jegor dan Sungai Lanas) dan lembangan Sungai Kelantan (Sungai Jegor, Sungai Air Bujing, Sungai Kusial, Sungai Manal dan Sungai Jedok).
Turut terbabit lembangan Sungai Gali, lembangan Sungai Kemasin (Sungai Jelawat) dan lembangan Sungai Semerak (Sungai Lubuk Nibong dan Sungai Melor) di Bachok.
Di Machang melibatkan lembangan Sungai Kelantan (Sungai Abal, Sungai Bagan, Sungai Dalu, Sungai Galang, Sungai Hala, Sungai Hau, Sungai Joh, Sungai Kemudu, Sungai Kerak, Sungai Kerawang, Sungai Kweng Hitam, Sungai Maka, Sungai Panyit, Sungai Penasa, Sungai Penggam, Sungai Pertok, Sungai Pulai Condong, Sungai Rengas, Sungai Sat, Sungai Tanah Liat, Sungai Wek dan Sungai Sal).
Pasir Puteh pula melibatkan lembangan Sungai Kelantan (Sungai Semerak dan Sungai Tasek) dan lembangan Sungai Semerak (Sungai Belida, Sungai Besut, Sungai Daran Buaya, Sungai Jelor, Sungai Kelong, Sungai Tasek Pauh, Sungai Cherang Ruku, Sungai Bukit Abal, Sungai Buaya Ikat, Sungai Jeram dan Sungai Rasau).
Di Kuala Krai yang terbabit ialah lembangan Sungai Kelantan (Sungai Durian, Sungai Tagor, Sungai Galas, Sungai Sedulek, Sungai Geh, Sungai Nal, Sungai Lebir, Sungai Mel, Sungai Mesek, Sungai Pahi, Sungai Rek, Sungai Sam, Sungai Mas, Sungai Bedal, Sungai Geh, Sungai Kesang, Sungai Gatal, Sungai Lata Tunggil, Sungai Temalir, Sungai Pergau, Sungai Pertang, Sungai Salor, Sungai Sok, Sungai Cucuh Puteri dan Sungai Kerai).
Di Jeli melibatkan lembangan Sungai Golok (Sungai Buloh, Sungai Lanas, Sungai Legeh dan Sungai Satan), lembangan Sungai Pergau (Sungai Chenedoh, Sungai Senolek, Sungai Kuak, Sungai Repang dan Sungai Buloh) dan lembangan Sungai Kelantan (Sungai Pergau, Sungai Belahat, Sungai Jeli, Sungai Jentiang dan Sungai Taduh).
Gua Musang melibatkan lembangan Sungai Kelantan (Sungai Aring, Sungai Chalil, Sungai Chiku, Sungai Cindai, Sungai Galas, Sungai Keneras, Sungai Ketil, Sungai Lebir, Sungai Nenggiri, Sungai Paloh dan Sungai Tupai).
JPS memaklumkan banjir yang diramalkan itu boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada masa dijangkakan.
Amaran itu dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama yang di kawasan yang dijangka banjir mengambil langkah waspada dan mengikuti arahan pihak berkuasa. – BERNAMA
SHAH ALAM - Malaysian Relief Agency (MRA) menyalurkan bantuan berjumlah hampir RM430,000 ke tujuh negeri yang dilanda bencana itu.
Presidennya, Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, bantuan itu melibatkan 2,795 bungkusan makanan, 1,700 pek makanan masak, 5,935 pek makanan sedia dimakan dan 100 bungkusan lain-lain bahan makanan.
Selain itu menurutnya, sebanyak 2,200 helai pakaian, 40 pek barang keperluan bayi, 2,700 pek peralatan kebersihan dan 900 bungkus bantuan bukan makanan turut disediakan.
"MRA berjaya menyalurkan bantuan banjir ke 25 lokaliti tambahan menjadikan jumlah keseluruhan lokasi yang menerima bantuan adakah 41 lokasi membabitkan Pahang, Kedah, Johor, Kelantan, Melaka, Perlis dan Terengganu.
"MRA juga menyediakan bantuan perkhidmatan pencucian dan pembesihan di perpustakan awam, surau dan 72 buah rumah melibatkan 737 orang," katanya menerusi kenyatan pada Jumaat.
Sebelum ini media melaporkan, seramai 6,407 mangsa banjir terdiri daripada 1,597 keluarga dilapor di lima negeri dilanda banjir dengan Terengganu merekodkan 5,844 mangsa (1,447 keluarga), diikuti Kelantan dengan 307 mangsa (72 keluarga) serta Johor melibatkan 155 mangsa (41 keluarga).
Seterusnya, Pahang dengan 67 mangsa (26 keluarga) dan Perak seramai 34 mangsa (11 keluarga).
Dalam pada itu Mohd Daud memaklumkan, sebanyak 131 klinik bergerak untuk kanak-kanak, dewasa dan warga emas turut disediakan.
"MRA merakamkan ucapan terima kasih kepada individu, korporat dan pelbagai pihak yang sudi menyumbang kepada Tabung Bantuan Banjir MRA 2024/2025.
"MRA menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk turut serta menyokong usaha murni ini melalui sumbangan dan solidariti bagi meringankan beban mangsa banjir," ujarnya.
Orang ramai yang ingin menyumbang kepada Tabung Bantuan Banjir anjuran MRA boleh hubungi talian 603-91744672 atau menerusi akaun bank RHB 2642 4500 0072 70 atas nama Malaysian Relief Agency Foundation.
BAYAN LEPAS: Hujan lebat lebih sejam jam menyebabkan beberapa laluan sekitar Bayan Baru, Relau dan Bayan Lepas, di sini, dilanda banjir kilat.
Antara laluan terbabit ialah Jalan Mayang Pasir, Jalan Mahsuri, Jalan Tun Dr Awang, Sunway Tunas dan Jalan Relau.
Banjir kilat berlaku pada waktu puncak menyebabkan kesesakan apabila beberapa kenderaan terpaksa berhenti di bahu jalan berikutan bimbang untuk meredah air.
Pemilik bengkel dan alat ganti kereta, Wong Wei Chun, berkata air banjir mula memasuki premisnya di Jalan Mahsuri jam 6.30 petang.
“Kali terakhir premis ini digenangi air pada September lalu dan ia berlaku dua kali dalam sebulan. “Ketika itu kerugian dialami lebih RM6,000 untuk setiap kali kejadian.
“Hari ini air meningkat hingga paras lutut (mencecah 0.7 meter) dan menenggelamkan tayar kereta,” katanya ketika dihubungi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol berkata banjir kilat berlaku susulan keadaan paras air sungai yang tinggi dan longkang tersumbat dengan sampah.
“Saya dan kakitangan pejabat turut meninjau di beberapa lokasi dan paling terkesan ialah di Persiaran Mahsuri, Sunway Tunas dan Spice Arena (Jalan Tun Dr Awang), namun di beberapa lokasi air sudah surut selepas 45 minit.
“Kita sedang menunggu projek tebatan banjir yang akan berjalan bila-bila masa dan diharap ia dijalankan segera bagi mengatasi masalah ini,” katanya.
Video dan gambar kejadian turut tular di media sosial, dikongsi pengguna jalan raya yang terkandas ketika waktu puncak.
Difahamkan, sekitar lokasi berkenaan sering dinaiki banjir kilat setiap kali hujan lebat, sejak lapan tahun lalu.
IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyalurkan sumbangan kepada 19 ketua isi rumah mangsa banjir kilat yang melanda empat kampung di kawasan Parlimen Tambun.
Sumbangan Perdana Menteri itu disampaikan melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad, dan Pegawai Khas Pejabat Ahli Parlimen Tambun, Mohamad Hairul Amir Sabri.
Hujan lebat berterusan pada 1 Disember lalu menyebabkan banjir kilat melanda Kampung Cheh, Kampung North Ward, Kampung Masjid serta Kampung Bakar Bata.
Mohamad Hairul Amir berkata, bantuan itu dihulur Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, bagi meringankan beban mereka yang terkesan akibat bencana berkenaan.
“Apabila berlaku banjir pada hari itu, beliau telah meminta saya dan pihak Pejabat Parlimen Tambun untuk turun menyampaikan bantuan awal kepada mangsa yang terjejas,” katanya kepada pemberita, di sini.
Beliau berkata, setiap ketua isi rumah terbabit menerima sumbangan RM1,000. – BERNAMA